PM Najib Pertikai Keputusan Mahkamah - Pengerusi Anak Buat Laporan Polis

SHAH ALAM 3 Sept - Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperlekehkan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes saman peneroka Felda Kemahang 3 di Kelantan dianggap sebagai keterlaluan dan menghina mahkamah.

Justeru itu, Pengerusi Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata satu laporan polis telah dibuat terhadap Najib selepas mendapati beliau mengatakan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) itu kalah dalam kes tersebut disebabkan peguam mewakili agensi itu tidak hadir.

Turut dinamakan dalam laporan polis itu ialah Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Yusof Nor.

Menurut beliau, tidak timbul persoalan samada peguam Felda hadir atau tidak pada prosiding kerana kes tersebut telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu dan juga Mahkamah Persekutuan.

"Perdana Menteri dan Pengerusi Felda tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh hakim dan saksi-saksi yang dikemukakan oleh mahkamah.

"Bagi saya, kenyataan yang dibuat oleh Najib dan Yusof Nor itu keterlaluan dan tidak boleh diterima. Mereka tidak boleh menghina keputusan yang telah diputuskan mahkamah.

"Mereka seperti memperlekehkan fakta yang diberikan kepada mahkamah dan keterangan yang diberikan oleh saksi berhubung harga kadar perahan gred yang ditipu oleh kilang Felda ke atas sawit yang dibekalkan peneroka," komen Mazlan kepada Suara Keadilan.

Laporan polis tersebut dibuat oleh yang DiPertua PAS Jempol, Abd Rahman Ramli di Balai Polis Dang Wangi di ibu negara pada pukul 10.45 pagi semalam.

Beliau diringi oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Mazlan serta Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Mohd Omar dan empat peneroka Felda Jempol.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.