DAP pecat Tee Boon Hock, Ahli Majlis Perbandaran Kelang



PETALING JAYA, 31 Julai 10: DAP hari ini memecat ahli Majis Perbandaran Klang (MPK) Tee Boon Hock ekoran dakwaan amalan rasuah memperoleh kontrak RM1 juta daripada pihak berkuasa tempatan itu dengan menggunakan surat sokongan Exco Kerajaan Negeri.

Keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Disiplin DAP bermesyuarat hari ini.

Naib Presiden DAP, Tan Kok Wai berkata tindakan itu dibuat selaras dengan perinsip parti yang menekankan integriti dan kebolehpercayaan.

"Ini merupakan kali pertama Jawatankuasa Disiplin DAP memulakan penyiasatan berdasarkan laporan media kerana ini melibatkan kepentingan masyarakat awam dan sebagai satu tindakan yang mencerminkan prinsip asas parti DAP yang mementingkan integriti dan kebolehpercayaan," tegas Kok Wai yang juga merupakan Ahli Parlimen Cheras.

Boon Hock sebelum ini didakwa menggunakan kepala surat dan cop rasmi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Kajian Selangor, Ronnie Liu bagi mengeluarkan surat sokongan untuk kroni dan anggota keluarganya bagi mendapatkan kontrak MPK.

Menurut Kok Wai lagi, walaupun tiada aduan bertulis dibuat oleh mana-mana ahli mahupun pemimpin DAP, namun dakwaan yang dilemparkan berkait dengan kepentingan awam dan memerlukan siasatan terperinci.

Ronnie Liu dan Tee akan dipanggil memberi keterangan kepada jawatankuasa disiplin yang akan memanggil mesyuarat tergempar dalam masa tiga hari.

Tee sebelum ini diminta mengambil cuti oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Tan Kok Wai selepas kes itu dilaporkan oleh akhbar awal minggu ini.

Pada sidang media di sini petang ini, Tan berkata parti mendapati ada asas yang kukuh terhadap dakwaan ke atas Tee (gambar).

“Sementara nilai kontrak belum ditentukan, kami dimaklumkan oleh jawatankuasa negeri Selangor bahawa salah satu syarikat yang anda berikan surat sokongan dikaitkan dengan anggota keluarga anda dan dilakukan tanpa kelulusan YB Ronnie Liu,” kata parti dalam surat pemecatan kepada Tee.

Tan memberitahu pemberita bahawa jawatankuasa disiplin sebulat bersetuju bahawa wujud elemen konflik kepentingan di mana Tee menyalahgunakan pejabat Liu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Kajian Selangor bagi kepentingan diri.

Beliau menambah perbuatan Tee boleh dianggap sebagai satu kesalahan jenayah dan telah menjejaskan imej parti.

Jawatankuasa disiplin juga telah mengarahkan Liu supaya membuat aduan polis.

Tan berkata DAP akan meminta agar Tee disingkirkan sebagai ahli majlis MPK dengan segera.

Jawatankuasa disiplin juga akan mengadakan sesi pendengaran kedua untuk menentukan dakwaan bahawa Liu telah mengarahkan salah satu surat sokongan dikeluarkan.

Kelmarin, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Tee telah diarahkan bercuti sementara siasatan dilakukan ke atas dakwaan yang mengaitkan beliau dengan penyalahgunaan kepala surat dan cap rasmi Liu bagi mengeluarkan surat sokongan untuk kontrak MPK.

Tee bercuti bermula semalam sehingga satu tempoh yang akan diberitahu kelak.

“Tee sendiri telah maklum dengan perkara ini dan beliau bersetuju dengan rela hati untuk bercuti buat sementara waktu,” kata Khalid.

Kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Audit Negeri menyiasat dakwaan seorang ahli majlis MPK telah menyalahgunakan kepala surat dan cap rasmi Liu bagi mengeluarkan surat sokongan untuk kroni dan anggota keluarganya untuk mendapatkan kontrak MPK.

Tee, ahli majlis penggal ketiga itu telah menafikan dakwaan itu sambil meminta MPK membentuk pasukan petugas khas untuk menentukan kebenaran.

Liu juga menafikan kepala surat beliau telah disalahgunakan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, DAP juga mengecam tindakan pengeluaran surat sokongan bagi tujuan perniagaan oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) dan pegawai-pegawai mereka yang tidak dipilih.

“Kesemua pegawai PR termasuk agensi-agensi negeri harus mengetepikan surat sokongan perniagaan yang dikeluarkan bagi memastikan kesemua urusan komersial mengikut aturan dan juga bagi mengelakkan persepsi negatif rakyat tentang wujudnya salah guna kuasa atau pilih kasih,” kata DAP. (AK)


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.