Mengapa Waheeda Berpurdah Selepas 2 Hari Berkahwin Dengan Ust Akhil Hayy?


AKHIL Hayy dan Waheeda ketika ditemui di majlis pelancaran program raya Astro, Macam-Macam Ada di Sungai Penchala baru-baru ini.


SELAMA ini hanya kedengaran berita saja yang isteri kepada penyanyi dan pendakwah bebas, Akhil Hayy, Waheeda kini sudah berpurdah.

Foto-fotonya juga diedarkan secara meluas menerusi internet.

Namun, tuan punya badan tidak pula memberi sebarang reaksi, sebaliknya, dia lebih senang berdiam diri.

Bagi pelantun lagu Wassini itu, adalah lebih manis jika dia berdiam diri dan memberi tumpuan pada rumah tangga berbanding daripada melayan pertanyaan mereka yang kurang senang dengan personaliti terbarunya itu.

Kata Waheeda, dia tidak pernah mengambil kisah dengan dakwaan kononnya keputusannya berpurdah untuk mengelakkan diri daripada pandangan umum .

Selepas bernikah dengan Akil setahun lalu, Waheeda atau nama sebenarnya Nor Wahidah Abdul Wahab mengambil keputusan untuk berhijrah dari dunia glamor.

Selama tempoh itu juga, dia tidak pernah menghadiri mana-mana majlis yang dihadiri oleh suaminya.

Namun, minggu lalu pada majlis pelancaran program raya Astro, Macam-Macam Ada di Bora Asmara, Sungai Penchala, Kuala Lumpur, dia muncul menemani suaminya.

Kehadiran tuan empunya badan yang hanya kelihatan sepasang matanya sahaja ternyata mencuri tumpuan ramai yang hadir.

Kelihatan tenang seperti sebelum ini, cerita Waheeda, dia menyangkal segala tuduhan yang kononnya pemakaian purdah atau niqab itu atas sebab ingin melarikan diri dari pandangan orang ramai.

Jelasnya, keputusannya untuk berubah itu atas pilihan sendiri demi lebih kearah kebaikan dan mengikut sunah sebanyak yang mungkin.

Waheeda mula mengenakan niqab dua hari selepas majlis resepsi perkahwinannya di rumah keluarga suaminya di Gopeng, Perak.

Kata Waheeda, hasratnya untuk berniqab sudah lama iaitu sebelum bernikah lagi.

Bagaimanapun, ketika itu, Waheeda mendengar nasihat ibu dan bapanya yang mencadangkan padanya agar tidak berubah secara mengejut.

“Selepas bernikah, saya berbincang dengan suami. Alhamdulillah dia memberi kebenaran untuk niat baik saya itu.

“Saya meminta kebenaran daripada suami untuk mengenakan niqab. Suami saya tidak pernah memaksa tetapi dia suka kerana saya sendiri yang berniat untuk melakukan perubahan. Dakwaan saya cuba lari dari tatapan umum itu tidak benar,” tegas Waheeda.

Sehubungan itu, Waheeda berkali-kali menegaskan, dia tidak pernah ‘lari’ bahkan sering keluar bersiar-siar bersama keluarga.

Yang membezakan hanyalah, Waheeda tidak muncul ke acara-cara hiburan kerana dia merasakan dunia glamor bukan lagi miliknya.

“Seperti yang saya katakan dulu, sebaik saja bergelar isteri saya akan bersara dari dunia hiburan dan tanggungjawab saya adalah untuk suami, keluarga dan Allah.

“Malam ini saya datang pun kerana menuruti permintaan suami yang ingin saya menemaninya,” ujar Waheeda yang cukup bergaya walaupun auratnya dilitupi niqab.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.