1Malaysia pun gagal capai "win-win situation"



Adat berunding secara ‘bilateral’, objektifnya agar kedua-dua pihak mendapat keadilan dan kesaksamaan dan tidak berat sebelah. Jika sebelah pihak sahaja yang meraut manfaat yang banyak manakala pihak yang satu lagi tidak memperolehi faedah yang sama maka hasil rundingan itu tidak dianggap sebagai "win-win situation".

Dalam banyak peristiwa dan kejadian, rundingan di antara Malaysia dengan negara-negara lain khususnya dengan Singapura, kita kecundang dalam rundingan. Namun tewas dalam rundingan boleh dikesan sejak negara mencapai kemerdekaan lagi.

Lapan tahun selepas mencapai kemerdekaan, Perdana Menteri yang pertama, Tuanku Abdul Rahman al Haj "menyerahkan Singapura" begitu sahaja tanpa ada asas rundingan yang kukuh dan tanpa ada apa-apa pertukaran, baik dalam bentuk kewangan, barangan atau faedah-faedah lain sebagai ganti atas ‘kehilangan’ pulau tersebut.

Pada zaman pemerintahan Perdana Menteri yang keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau pernah membuat kenyataan yang bernada kecewa bahawa "rundingan dengan Singapura ni sampai kiamat pun tak boleh selesai."
Nada kecewa dan putus harap ini membuktikan kita tidak mencapai "win-win situation" apabila berunding dengan Singapura, walaupun Dr Mahathir berpeluang mentadbir negara ini lebih 23 tahun, satu jangka masa yang paling lama berbanding perdana menteri yang lain.

Apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menerajui negara ini selepas Dr Mahathir, Malaysia juga tidak mencapai "win-win situation" dalam rundingan mengenai penemuan minyak dan gas di perairan Limbang/Brunei yang menjadi pertikaian.

Menjelang perletakan jawatan sebagai perdana menteri, Pak Lah dilaporkan telah menyerahkan begitu sahaja Blok L & M kepada Brunei, yang "isi perutnya" bernilai RM320 bilion tanpa mendapat apa-apa.

Nilai sebanyak itu, jika diuruskan dengan betul dan tidak ada ketirisan, salah urus, penyelewengan dan rasuah maka ia dapat melangsaikan hutang negara yang jumlahnya hampir sama banyak, iaitu RM326 bilion. Jika jumlah hutang ini terus meningkat pada kadar 12% setahun berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar maka Malaysia akan bangkrap menjelang tahun 2019.

Semasa pentadbiran Abdullah juga Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh (atau Pedra Branca) kepada Singapura dalam satu pertikaian hingga membawa kes ini kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Malaysia tewas kali ini kerana wakil-wakil negara tidak kompeten dalam undang-undang perairan antarabangsa berbanding Singapura.
Kes yang didengar di ICJ telah menimbulkan persepsi buruk dan curiga oleh para hakim memandangkan Malaysia bukan sahaja gagal menyediakan dokumen yang lengkap dan tepat malah menggunakan teknik lensa foto untuk menunjukkan gambar yang agak mengelirukan.

Tewas dalam "win-win situation"

Sebaliknya Malaysia diberi pulau kecil, saiz separuh padang bolasepak "Middle Rocks", yang kedudukannya lebih jauh dari Malaysia berbanding Pulau Batu Puteh. Walaupun tewas dalam perebutan mendapat hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, ia masih dianggap "win-win situation" oleh Dr Rais Yatim, kini Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia.

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih teraju negara pada April 2009, "tradisi" tewas dalam rundingan diwarisi beliau dengan membuat kesilapan, khususnya apabila berunding dengan Singapura. Najib dengan begitu mudah menyerahkan tanah Stesen Keretapi Tanjung Pagar kepada Singapura dan digantikan dengan sebidang tanah di kawasan perjudian Woodlands.

Meskipun tanah itu akan dibangunkan secara usahasama menerusi sebuah syarikat M & S Pte Ltd, dengan Malaysia dan Singapura masing-masing memegang ekuiti 60% dan 40% tetapi cara rundingan itu dijalankan dan kata sepakat yang dimudah dicapai menimbulkan tanda tanya. Ini kerana Najib membuat keputusan secara berseorangan, tidak pernah dibentang dalam kabinet, apatah lagi di Parlimen.

Kalau Dr Mahathir, yang dianggap sebagai seorang negarawan yang unggul gagal mencapai "win-win situation" dalam rundingan dengan Singapura bagaimana Najib dengan mudah dapat mencapai keputusan itu. Kenapa tidak dipakejkan tanah itu dengan isu-isu lain yang sudah sekian lama berlarutan dan sehingga kini masih menemui jalan buntu.

Bagaimana dengan isu air yang sekian lama dinikmati oleh Singapura dengan kadar bayaran 5 sen seliter, ruang udara yang dicerobohi oleh jet-jet pejuang Singapura dan wang Simpanan Pekerja Malaysia yang masih terperap di negara itu?

Dalam keadaan sebegini, sukar hendak dipercayai, Malaysia mencapai "win-win situation" dalam rundingannya dengan Singapura. Lebih-lebih lagi memandangkan negara pulau itu mempunyai kekuatan dari segi ekonomi dan ketenteraan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, menteri besar Kelantan mengingatkan kita dalam kuliahnya baru-baru ini di Kota Bharu, mengenai persoalan kenapa PAS tidak boleh bekerjasama dengan Umno untuk menyatu-padukan bangsa Melayu dan umat Islam. Jawab beliau dengan ringkas, "kita tidak dapat berunding dengan parti yang lebih kuat (Umno) berbanding PAS (parti yang lemah).

Kata hikmah Nik Aziz ini mengingatkan kita kepada zaman Rasulullah saw yang tidak pernah mengadakan rundingan dengan kaum musyrikin Quraisy di Mekah kecuali setelah baginda berjaya membentuk kerajaan Islam di Madinah.

Begitu juga golongan Hizbullah di Lebanon yang tidak pernah berunding dengan zionis Israel. Hamas di Palestin juga tidak pernah berunding dengan Israel yang jauh lebih kuat daripadanya.

Berdasarkan situasi ini, bagaimana mungkin kita boleh mencapai "win-win situation" dalam keadaan kita yang lemah dari segi ekonomi dan ketenteraan dan tanpa adanya "padang permainan yang sama rata" (the same level of playing field)?

- FMT.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.