Bekas penjaga gol Singapura didakwa subahat pecah amanah RM23 juta

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Bekas penjaga gol simpanan pasukan bola sepak Singapura hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap lima pertuduhan bersubahat melakukan penipuan dan pecah amanah membabitkan hampir RM23 juta.

A. Eswaramoorthy Pillay, 44, didakwa bersubahat dengan seorang bekas pengarah syarikat pembinaan LFE Corporation Berhad, J. Alan Rajendran, 54, menyalahgunakan RM9 juta milik syarikat itu bagi membeli sembilan juta unit saham.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd, Aras 15, Exchange Square, Bukit Kewangan di sini, antara 4 Januari dan 8 Februari 2007, mengikut Akta Perindustrian Sekuriti 1983 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM1 juta, jika sabit kesalahan.
Grab a Celcom Blue Bear(TM) and stand to walk away with RM10,000!

Penjaga gol era 90-an itu turut menghadapi pertuduhan alternatif bersubahat melakukan pecah amanah wang RM9 juta itu di Standard Chartered Bank Berhad, Jalan Ampang di sini.

Bagi pertuduhan kedua, Eswaramoorthy didakwa bersubahat dengan Rajendran melakukan pecah amanah wang RM9.99 juta milik LFE Corporation Berhad di bank yang sama, antara 11 Jan dan 16 Jan 2007.

Bagi tiga pertuduhan lagi, dia didakwa bersubahat dengan Chin Soong Jin, 53, dan Liew Kiam Woon, 57, menipu EON Bank Berhad untuk melepaskan bayaran sebanyak RM870,000, RM1.8 juta dan RM1.298 juta kepada Contour Trade Sdn Bhd dan Right Meridian Sdn Bhd, bagi pembelian palsu oleh LFE Engineering Sdn Bhd, antara 16 Okt dan 19 Okt 2006.

Hakim Rozana Ali Yusuff membenarkan Eswaramoorthy diikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin warga Malaysia dan menetapkan 27 Julai untuk menyebut semula kes itu.

Rozana juga mengarahkan tertuduh yang juga adalah pengarah eksekutif sebuah syarikat, menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.

Eswaramoorthy diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ros Mawar Rozain yang dibantu Pegawai Pendakwa Zul Aida Zulkifli dan Chong Loong Meng dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Pada 24 Jun lalu, Rajendran juga mengaku tidak bersalah terhadap sembilan pertuduhan termasuk menipu dan pecah amanah yang membabitkan RM24 juta. – Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.