Batalkan projek insinerator

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) membantah pembinaan loji insinerator di Cameron Highlands kerana ia akan mencemar alam sekitar, menjejas kesihatan dan bekalan makanan dengan bahan toksik. Ada alternatif insinerator yang lebih murah, fleksibel dan mesra alam sekitar.

Laporan Kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling cadangan projek insinerator di Cameron Highlands melaporkan bahawa teknologi yang dicadangkan ini telah diuji di loji perintis.

Ini menunjukkan bahawa teknologi yang dicadangkan ini adalah semata-mata dari ujikaji makmal dan tidak terbukti dalam skala besar dan keadaan biasa.

Memandangkan tidak wujud data sebenar bagi pelepasan gas, keupayaan, feasibiliti dan kecekapan-kos untuk loji insinerator berkapasiti sama seperti yang dicadangkan di Cameron Highlands, bagaimanakah boleh dipastikan bahawa loji yang dibina ini akan beroperasi dengan baik dan mematuhi standard pelepasan?

Bagaimanakah penilaian boleh dilakukan berdasarkan kepada andaian dan tanpa sebarang petunjuk sebenar sama ada sistem kawalan pencemaran udara yang akan dipasang akan berfungsi dengan berkesan?

Penilaian tidak sempurna berdasarkan andaian mungkin membawa kepada kesan buruk kepada kesihatan dan alam sekitar.

Setiap insinerator melepaskan campuran bahan kimia dalam operasinya. Pelepasan gas ini kadang-kadang adalah dalam kuantiti besar, iaitu semasa gangguan atau pelepasan tidak disangka dan kadang-kadang dalam kuantiti kecil.

Walaupun gas dari insinerator melalui sistem penapis, insinerator moden masih melepaskan tahap signifikan gas toksik, nitrogen oksida dan partikel halus.

Nano-partikel adalah memudaratkan kerana ia mampu melalui lapisan paru-paru dan menembusi organ (termasuk janin dalam ibu mengandung).

Sesetengah bahan kimia seperti dioksin dan sebatian semacam dioksin yang merupakan bahan penyebab barah adalah dilepaskan dalam kuantiti kecil yang lazimnya dikatakan industri sebagai amaun yang tidak signifikan.

Memandangkan dioksin adalah toksik dan tegar, amaun yang amat sedikit pun adalah sangat merbahaya. Amaun ini akan berganda dalam alam sekitar, tisu dan lemak manusia dan seterusnya menjadi amaun besar dalam badan dan alam sekitar.

Jadi, untuk pencemar seperti dioksin, sebarang pelepasan adalah tidak boleh diterima.

Wujud banyak bukti bahawa pelepasan gas dan abu dari insinerator adalah merbahayakan. Barah, kelahiran abnormal, masalah kesuburan, kerosakan saraf, masalah pernafasan dan lain-lain masalah kesihatan berlaku walaupun bagi pendedahan rendah kepada logam berat, organoklorin dan bahan pencemar lain yang dilepaskan dari insinerator.

Banyak bahan pencemar yang dilepaskan dari insinerator didapati terkumpul dalam dan atas tanaman. Ini amat membimbangkan untuk pengguna kerana Cameron Highlands merupakan sumber penting untuk sayur-sayuran di Malaysia.

Mencuci sayur boleh menyingkirkan sebahagian bahan pencemar pada permukaan sayuran tetapi amaun yang signifikan mungkin tertinggal.

Kita perlu menghentikan teknologi pelupusan sisa menggunakan insinerator atau tapak pelupusan. Wang rakyat tidak mesti digunakan untuk membiayai projek yang akan melepaskan gas rumah hijau dan bahan pencemar lain.

Kami menggesa kerajaan untuk membatalkan projek insinerator di Cameron Highlands. Pihak berkuasa tempatan perlu memberi perhatian kepada pengurangan sisa, meningkatkan aktiviti pengkomposan, kitar semula dan menyediakan pengumpulan sisa yang diasingkan.

Lokasi insinerator di Cameron Highlands boleh digunakan untuk membangunkan kemudahan pengumpulan dan pengasingan bahan yang boleh diguna dan dikitar semula.

Penulis adalah Presiden, Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan boleh dihubungi menerusi emel: idrismd@tm.net.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.