Ada pemimpian UMNO Kedah Tak Buat Kerja : Timb Pengerusi UMNO Kedah Nak Repot Kepada Ibu Pejabat


ALOR SETAR: Pemimpin UMNO Kedah yang mempunyai banyak kerenah dan tidak menjalankan tugas sebagai pemimpin dengan baik akan dikenakan tindakan kerana sikap mereka menyebabkan pembangkang semakin kuat di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata jika terdapat pemimpin yang hanya mementingkan diri tanpa menjalankan tugas dengan dedikasi, maka kredibiliti Umno akan terjejas.

"Saya tahu ada sesetengah pemimpin bawahan sering mempersoalkan macam-macam perkara sedangkan dia sendiri tidak menggerakkan ahli-ahli di bawahnya bagi melaksanakan sesuatu program yang telah dirancang.

"Kita akan membuat laporan kepada ibu pejabat supaya mereka mengambil tindakan kepada pemimpin yang tidak bertanggungjawab itu," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Alor Setar di sini, hari ini.

Tanpa menamakan pemimpin terbabit, beliau berkata, perkara seperti itu tidak harus berlaku jika mahu melihat Umno terus kuat.

"Jika perkara itu tidak dibendung, ia akan melemahkan Umno dan memberi peluang kepada pembangkang untuk terus bertapak di Kedah hanya kerana kelemahan pemimpin UMNO. Kita tidak mahu perkara itu berlaku," katanya.

Ahmad Bashah berkata, ahli UMNO akan teraniaya jika mempunyai pemimpin seperti itu dan Umno akan mengetepikan ketua yang bersikap pentingkan diri tanpa memikirkan kepercayaan yang telah diberikan oleh ahlinya.
Beliau berkata, UMNO perlu bergerak dalam satu pasukan jika mahu mengambil semula pentadbiran negeri Kedah pada pilihan raya akan datang.

"Ketepikan perkara-perkara remeh dan bekerjasama dalam pasukan bagi memastikan jentera Umno kukuh dan kuat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah turut mendesak kerajaan supaya tidak menyambung pemberian lesen menjalankan operasi pertaruhan judi bola sepak di negara ini.

"Tindakan menyambung lesen perjudian itu hanya memberi kesan negatif terhadap institusi keluarga, masyarakat dan rakyat secara keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata, kerajaan hendaklah meningkatkan penguatkuasaan dan mengambil pendirian yang tegas mencegah orang Islam daripada terbabit dengan sebarang aktiviti perjudian. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.