Lima orang sukarelawan yang cerdera parah akibat serangan brutal tentera komando Zionis Israel ke atas kapal kemanusiaan Mavi Marmara pada 31hb May lalu masih dirawat di sebuah hospital di Ankara, Turki. Salah seorang dari mereka masih dalam keadaan sangat kritikal dan tidak sedarkan diri.
Demikian menurut kenyataan Ketua Pasukan Medik kapal Mavi Marmara, Dr. Mevlit Yurtseven, yang telah dikeluarkan oleh Sahabat Al-Aqsha, sebuah NGO di Indonesia yang turut menghantar sukarelawan menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza itu. Menurut Dr Mevlit, sukarelawan yang masih tidak sedarkan diri itu mengalamai kecederaan parah di bahagian otak akibat tembakan di kepala. Manakala empat orang lagi mengalami kecederaan di kepala, dada dan juga perut.
Dalam serangan tentera komando ke atas sukarelawan-sukarelawan yang tidak bersenjata di atas kapal Mavi Marmara itu, sekurang-kurangnya 50 orang tercedera. 7 orang daripada mereka berbangsa Arab manakala 2 lagi daripada Indonesia. Manakala masih ramai lagi dilaporkan masih hilang dan tidak pulang ke tanahair masing-masing.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Arief Rachman, iaitu sukarelawan MER-C yang turut berada di atas kapal Mavi Marmara, telah menyerahkan laporan perubatan ke atas Surya Fachrizal kepada Dr Mevlit. Surya, seorang petugas media yang cedera parah setelah ditembak di bahagian dadanya kini masih terlantar di sebuah hospital di Amman, Jordan. Sejurus selepas kejadian, beliau telah dibawa ke Hospital Universiti Rambam di Haifa, Israel.
Manakala seorang lagi sukarelawan Indonesia yang tercedera, Okvianto Emil Baharudin, telah selamat menjalankan pembedahan lanjut di sebuah hospital di Indonesia bagi membuang sejumlah 12 serpihan peluru dari dalam lengannya. Beliau ditembak oleh komando Israel ketika mengambil gambar peristiwa serangan tersebut.
0 comments:
Post a Comment