RM50,000 untuk setiap bahagian MCA : Perak Makin Pincang


IPOH, 4 Mei: Pentadbiran Kerajaan Negeri Perak yang diterajui BN yang tidak direstui oleh rakyat secara majoriti semakin pincang dengan penyalahgunaan wang rakyat untuk disumbangkan kepada setiap bahagian MCA sebanyak RM50,000.

Setiausaha Sekretariat Pakatan Rakyat negeri, Drs Khalil Idham Lim (gambar) berkata, kerajaan yang dibina dengan rampasan kuasa itu sangat jelas dan serius bertindak gelojoh untuk mempertahan kuasa ‘haram’ melalui tindakan tersebut.

Beliau menyatakan demikian dengan merujuk laporan Sinar Harian hari ini dengan tajuk ‘kunjungan’ dan apakah kewajaran sebuah kerajaan menyumbang wang daripada dana kerajaan atau dengan nama lain sebagai wang rakyat kepada sebuah parti politik.

Menurutnya, seperti yang dilaporkan di mana dikatakan kerajaan negeri bersetuju memberi peruntukan berjumlah RM50,000 pada tahun ini kepada setiap bahagian MCA di negeri ini.

Katanya, tidakkah Datuk Seri Dr Zambry selaku ketua kerajaan tahu bahawa antara kerajaan dengan parti adalah sesuatu yang berbeza dan salah sekiranya wang kerajaan yang menjadi milik semua rakyat termasuk bagi yang tidak berparti disumbangkan untuk sesuatu parti politik.

“Dalam hal ini ianya juga membuka peluang bahawa parti politik yang lain juga perlu disumbangkan kepada semua komponen BN yang lain dan ianya membawa kepada suasana pengurusan wang kerajaan yang lebih parah dan tidak mematuhi peraturan,” ujarnya.

Beliau yang juga Adun Titi Serong berkata, sekiranya sumbangan sebanyak itu untuk satu bahagian MCA di mana terdapat 24 bahagian di negeri ini, bererti sebanyak RM1.2 juta diperlukan untuk tujuan itu.

Tambahnya, jumlah yang sebanyak itu kalau diambil kira untuk satu komponen BN di Perak dan merupakan satu jumlah yang besar.

“Saya mempersoalkan dari manakak peruntukan itu diambil dan pada jumlah Bajet mana yang diluluskan seperti yang dibentangkan dalam ‘Bajet Mi Segera’ yang cuma memerlukan masa 20 minit dengan dikendalikan oleh Speaker ‘Haram’ Ganesan pada tahun lepas,” ujarnya.

Sehubungan itu, tegasnya Pakatan Rakyat Perak menuntut supaya penjelasan yang terperinci diberikan dengan kadar segera kepada persoalan itu supaya rakyat tahu dari mana dana sebanyak itu diambil.

Selain itu, katanya adakah agensi dan badan kerajaan negeri yang ada di negeri Perak sudah tidak berfungsi dan boleh diharapkan lagi sehingga program untuk menarik sokongan rakyat kepada BN memerlukan penyaluran dana kepada komponen BN secara langsung waaupun ianya bertentangan dengan peraturan yang sedia ada.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.