SIBU, 16 Mei — Gelanggang pengundian pilihan raya kecil yang ke-11 sejak Mac 2008 sudah dibuka dengan tumpuan memfokus siapa bakal muncul di garisan penamat malam ini di Sibu. Barisan Nasional (BN) telah memenangi dua pilihan raya kecil yang terakhir sebelum ini iaitu DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan dan kerusi Parlimen Hulu Selangor, Selangor tiga minggu lalu.
Satu-satunya pilihan raya kecil di Sarawak iaitu DUN Batang Ai pada April tahun lalu dimenangi oleh BN.
Setakat ini, skor pilihan raya kecil termasuk kerusi Penanti yang tidak ditandingi BN ialah tujuh memihak Pakatan Rakyat manakala tiga pergi kepada BN.
Masing-masing BN dan Pakatan Rakyat merampas satu kerusi yang disandang pihak lawan.
PAS merampas Kuala Terengganu manakala BN pula Hulu Selangor.
Kedua-dua BN dan Pakatan Rakyat meletakkan sasaran untuk memenangi kerusi Sibu hari ini sebagai petunjuk populariti dan sokongan kepada mereka sebelum menghadapi pilihan raya umum negeri Sarawak dan untuk menyusun kekuatan mereka di Dewan Rakyat.
Bagi Pakatan Rakyat, terutama komponennya Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhadapan dengan situasi kemerosotan wakilnya di Parlimen, kemenangan hari ini akan membawa pengertian signifikan.
PKR telah kehilangan enam kerusi Dewan Rakyat sejak Februari lalu termasuk empat keluar dan masing-masing satu akibat dipecat dan satu tercicir. BN pula mahu meneruskan kemenangan dalam apa jua cara pun sekali gus mengekalkan kerusi Sibu.
Sebagai penutup kempen BN yang berakhir tengah malam tadi, Najib diterbangkan ke sini untuk menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di kawasan perumahan Rejang Park dan Capetown di jeti di bandar ini sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
Selain membuat janji dana RM5 juta saat-saat akhir malam tadi ketika singgah di Rejang Park, Najib juga berucap di Sibu Gateway.
Di Sibu Gateway beliau menggunakan kejayaan negara mencapai pertumbuhan ekonomi pada suku pertama tahun ini, yang diumumkan kelmarin, sebagai bahan kempen.
Katanya, ketika beberapa negara termasuk di Eropah masih belum pulih dari kegawatan ekonomi, Malaysia kini kembali di landasan yang betul untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.
Najib juga mencipta sejarah apabila menjadi Perdana Menteri pertama melawat Rejang Park, kawasan yang sekian lama dianggap kubu kuat parti DAP.
DAP yang mewakili Pakatan Rakyat menarik lebih 10,000 hadirin — perhimpunan terbesar sejak kempen bermula Sabtu lalu, sekali gus menjanjikan saingan sengit.
Kesemua pemimpin Pakatan Rakyat iaitu Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berucap pada majlis itu yang berlangsung di pinggi bandar.
Ini pilihan raya kecil pertama bagi DAP. Penganalisis melihat majoriti kali ini kemungkinan sekitar separuh daripada yang direkodkan pada 8 Mac 2008. Sejumlah 52,158 pemilih berdaftar mula keluar mengundi sejak pukul 8 pagi ini untuk memilih wakil rakyat mereka yang baru dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu selepas tempoh berkempen selama seminggu.
Sementara 2,537 pengundi pos, terdiri daripada 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis, mengundi pada Khamis dan Jumaat llau di kem tentera di Rascom dan Oya dan Ibu Pejabat Polis Daerah di sini.
Sebanyak 45 pusat pengundian, dengan 110 saluran, akan dibuka di 39 buah sekolah, dua tadika dan sebuah pusat latihan, sebuah rumah panjang, sebuah perpustakaan awam dan sebuah pusat rekreasi awam untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar.
BN menurunkan Robert Lau Hui Yew yang menghadapi saingan calon DAP Wong Ho Leng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek dan calon Bebas, Narawi Haron. Hui Yew, yang mempertahankan kerusi Parlimen di kawasan bandar yang penduduknya majoriti Cina itu bagi BN berikutan kematian Timbalan Menteri Pengangkutan dan Ahli Parlimen Sibu selama lima penggal, Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April, dijadual mengundi di SMK Rosli Dhoby di sini pada kira-kira 9 pagi manakala Wong akan mengundi di SJKC Goung Ann.
Keputusan dalam pertandingan tiga penjuru itu dijangka diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Dewan Suarah Sibu di sini selewat-lewatnya pukul 9 malam. SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi sekitar 80 peratus.
Pada pilihan raya umum 2008, Hoi Chew mengekalkan kerusi Sibu dengan majoriti 3,549 undi, mengalahkan Ho Leng dan Lim Chin Chuang dari PKR dalam pertandingan tiga penjuru.
Mengikut senarai pemilih berdaftar, dikemas kini setakat 9 April lalu, pengundi Cina adalah hampir 67 peratus daripada jumlah pemilih diikuti Melayu/Melanau (10.5 peratus) dan Bumiputera Sarawak (22 peratus).
0 comments:
Post a Comment