Akhirnya Wee Cho Keong Tinggalkan PKR, Sememangnya Telah Diduga


SHAH ALAM 14 Mei - Tindakan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang mengumumkan keluar parti sememangnya sudah diduga dan pilihan raya kecil Sibu dipilih sebagai waktu yang sesuai oleh Umno-Barisan Nasional.

Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Fuziah Salleh berkata ahli Majlis Pimpinan Pusat telah memerhatikan gerak-geri ahli parlimen tersebut dan sememangnya Choo Keong berada di dalam senarai teratas ahli parlimen yang akan melompat.

"Saya ingatkan Choo Keong akan mengumumkan keluar parti semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor tetapi mungkin tawaran semasa itu tidak lumayan maka beliau mendiamkan diri seketika.

"Gelagat Choo Keong yang cenderung mencari salah parti dan komen beliau di parlimen dan di dalam blog bukan untuk kepentingan parti tetapi lebih bersifat kepentingan diri.

"Ini merupakan tindakan terdesak Umno-Barisan Nasional dalam mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen," tegas Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan.

Beliau menambah, tindakan tidak bermoral dan beretika Umno-BN ini didalangi oleh ahli parti yang telah mengumumkan keluar parti sebelum ini.

"Saya yakin ini adalah usaha berterusan pihak tertentu untuk melumpuhkan KEADILAN dan ini mempunyai hubung kait dengan PRK Sibu.

"Saya yakin Choo Keong mendapat habuan yang lebih besar apabila mengumumkan keluar parti ketika Pakatan Rakyat akan menghadapi PRK Ahad ini," katanya kepada Suara Keadilan.

Sebelum ini, bekas pemimpin DAP dan Ahli Parlimen Bukit Bintang ini telah berkali-kali menafikan spekulasi mahu keluar parti.

Dengan keputusan itu, Choo Keong akan menyertai empat rakannya yang sudah pun memperoleh status sebagai Ahli Parlimen Bebas setakat ini termasuk wakil rakyat Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang dipecat Mac lalu.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.