Menurut sumber, pemilihan Zaid itu dibuat oleh biro politik PKR yang bermesyuarat di rumah ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini.
“Keputusan memilih Zaid buat sebulat suara,” kata sumber itu lagi kepada wartawanMalaysiakini di luar rumah ketua pembangkang di Segambut, Kuala Lumpur.
Sumber itu berkata PKR menamakan Zaid kerana beliau dilihat sebagai calon berwibawa yang mampu mempertahankan kerusi Hulu Selangor itu.
Zaid adalah bekas menteri yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal perundangan ketika dalam barisan kabinet bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum berpaling tadah ke PKR.
Beliau dijangka akan diperkenalkan secara rasmi sebagai calon Pakatan Rakyat di sebuah ceramah di Serendah, malam ini.
Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong selepas penyandangnya Datuk Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada 25 Mac lalu akibat barah otak.
Pada pilihan raya umum 2008, wakil rakyat PKR itu menewaskan calon Barisan Nasional Datuk G Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mengesahkan bahawa BN akan meletakkan calon daripada MIC untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu yang akan diadakan 25 April ini.
BN dijangka mengumumkan calonnya pada 15 April, iaitu dua hari sebelum penamaan calon, dan desas-desus mengatakan Palanivel akan diberi peluang kedua untuk merampas kembali kerusi yang pernah disandangnya sebanyak tiga penggal itu.
0 comments:
Post a Comment