Ribut Di Kuala Ketil : Lebih 200 Buah Rumah Rosak Teruk







BALING: Lebih 200 buah rumah di sekitar pekan Kuala Ketil dekat sini rosak teruk akibat dipukul ribut malam tadi.

Antara kawasan perumahaan yang terbabit ialah Taman Desa Bidara, Taman Dato Muslim, Kampung Batu Pekaka, Pekan Lama, Kampung Kubang Hong, Kampung Tanjong Puteri dan Kampung Sisik Lantai.

Seorang mangsa ribut, Saripan Karsono, 62, dari Taman Desa Bidara, berkata beliau bersama lapan anggota keluarganya terselamat daripada maut apabila rumahnya dihempap tiga batang pokok dalam kejadian ribut itu.

"Ketika ribut melanda, kami sekeluarga berkumpul di bahagian pintu untuk menyelamatkan diri jika sesuatu berlaku, tiba-tiba bumbung rumah roboh akibat ditimpa pokok halban dan diikuti pokok petai dan kemudiannya pokok asam jawa sebesar pemeluk juga menghempap bahagian bumbung rumah saya," katanya.

Katanya, mereka hanya berpelukan dan meminta bantuan jiran sebelum keluar dari rumah selepas hujan reda.

Seorang lagi mangsa Rahimah Bahari, 36, dari Taman Desa Bidara berkata sebahagian bumbung rumahnya diterbangkan oleh ribut dan semua perkakasan elektrik di rumah itu rosak kerana ditimpa hujan lebat.

"Saya tidak sempat menyelamat perkakas eletrik kerana tiada di rumah semasa kejadian," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.