Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mendakwa negara akan "dikecohkan" oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya PKR berjaya mengekalkan kerusi parlimen Hulu Selangor.
Katanya, Pakatan Rakyat akan menggunakan kemenangan tersebut sebagai sokongan kepada perjuangan Anwar.
"Sebaliknya sekiranya BN menang, akan beri rangsangan lebih untuk (Datuk Seri) Najib (Razak) untuk bekerja," katanya yang disusuli oleh paluan gong dan tepukan para hadirin.
"Tapi kalau Barisan (BN) pun (bertindak) tidak betul, Barisan pun saya akan tibai juga, biasalah tu," kata Ibrahim menjelaskan kedudukannya sebagai wakil bebas di Dewan Rakyat.
Ibrahim menegaskan demikian ketika berceramah di Prima Beruntung malam tadi. Kira-kira 100 orang menghadiri majlis tersebut yang turut diserikan dengan persembahan ghazal dan juga dikir barat.
Dua pemimpin Umno Kelantan - bekas timbalan menteri besar Datuk Ahmad Rastom Ahmad Maher dan Datuk Fatmi Salleh - turut berucap di majlis tersebut.
Turut hadir ialah sepasukan 50 "wira" bermotosikal yang terdiri daripada anak-anak muda yang membawa lambang BN.
Pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor menyaksikan pertembungan calon BN P Kamalanathan dengan calon PKR Datuk Zaid Ibrahim, selepas dua calon bebas menarik diri.
Kerusi itu kosong ekoran kematian penyandangnya dari PKR, DatukZainal Abidin Ahmad kerana barah otak bulan lalu.
Sementara itu, dalam ceramahnya, Fatmi mendakwa Zaid bertindak umpama kacang lupakan kulit setelah digantung oleh Umno.
"Dia masih MP umno pada masa itu, tapi sebab sudah tidak ada kepentingan, dihambatnya Umno bahagian (Kota Bharu) dari pejabat itu. Kita terpaksa pindah ke bahagian lain," katanya.
Mengulas mengenai tekanan yang dihadapi PKR sekarang, Fatmi berkata, setakat ini empat wakil DUN dan lima ahli parlimen parti itu telah keluar parti.
"Sebab parti PKR cuma untuk (Datuk Seri) Anwar Ibrahim. Calon itu (Zaid) bukan untuk Hulu Selangor tapi untuk Anwar, sebab itu semua keluar tanpa sebarang dorongan," katanya.
Menurut Fatmi lagi, PAS lebih baik daripada PKR kerana wakil DUN tersebut di Kelantan tegas dengan pendirian mereka.
PAS sebelum ini memerintah Kelantan dengan majoriti hanya satu kerusi.
"Kalau di Kelantan pada masa itu diperintah PKR, sudah lama berguling," katanya.
Ahmad Rastom, dalam ceramahnya, pula mendakwa Zaid - ketika dalam Umno - enggan bertanding di kerusi DUN walaupun badan perhubungan Umno negeri menetapkan demikian bagi semua ketua bahagiannya.
"Dia hendak jadi MP sebab hendak jadi menteri," dakwanya lagi.
0 comments:
Post a Comment