SABAN tahun, masyarakat antarabangsa meraikan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac. Pada tahun ini, tema yang digagaskan adalah “Equal Rights, Equal Opportunities: Progress for All”. Dalam laporan terbaru yang dikeluarkan, didapati kebanyakan negara masih mengamalkan dasar atau undang-undang yang mendiskriminasi wanita. Tidak hairanlah jika tema Hari Wanita Sedunia tahun ini meminta kita semua merefleksi samada wanita diberikan hak serta peluang yang sama rata sama ada dalam bidang pendidikan, kerjaya mahupun pembuatan keputusan.
Selaku ahli Parlimen, tugasan di kawasan mendedahkan saya kepada wanita-wanita yang saban hari menempuh pelbagai cabaran besar. Wanita yang bergelut dengan kerjaya demi menyara keluarga dan diri, sedangkan pada masa yang sama, turut menjadi seorang ibu mahupun isteri di rumah. Di Lembah Pantai, saya mendapati kehidupan di tengah kota yang sarat dengan cabaran sementara taraf hidup yang meningkat turut menyebabkan wanita terpaksa bertungkus-lumus mencari nafkah bersama-sama suami mahupun bersendirian sehinggakan ada ketikanya, mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada tanggungjawab membesarkan anak sepenuhnya.
Kes penderaan serta kehilangan anak di pusat jagaan pastinya menambah kegusaran para ibu yang bekerja tentang keselamatan serta kebajikan anak yang ditinggalkan di pusat-pusat sedemikian. Pada masa yang sama, kos menghantar anak ke pusat jagaan atau didikan awal yang menawarkan perkhidmatan atau kemahiran tambahan agak tinggi. Hal ini menyebabkan kaum wanita bukan sahaja berdepan dengan cabaran sedia ada di tempat kerja dan rumah, bahkan dalam membuat keputusan terbaik untuk anak mereka.
Oleh kerana itulah, perkhidmatan jagaan anak mahupun didikan awal kanak-kanak yang berkualiti dan sesuai dengan kemampuan keluarga merupakan prasyarat penting kepada wanita yang bekerjaya. Keperluan ini lebih-lebih lagi meruncing apabila mengingatkan kepada penderaan yang meragut nyawa adik-adik Syafia dan Haresvarra baru-baru ini.
Penyediaan pusat jagaan atau pendidikan awal kanak-kanak merupakan prasyarat ke arah memaksimakan bakat dan kemahiran wanita yang menyumbang kepada sektor ekonomi negara. Pelan tindakan mungkin ada – hanya pelaksanaanya belum meluas sehingga ke akar umbi lagi.
Justeru, sempena Hari Wanita 2010, marilah kita, tidak kira wanita ataupun lelaki membantu mereleasasikan pelaksanaan langkah-langkah yang membantu para ibu yang bekerjaya. Kerana dedikasi serta semangat jatidiri yang ditonjolkan bukan sahaja sebagai seorang ibu dan isteri, tetapi selaku pendukung aspirasi politik dan ekonomi negara.
Saya turut berasa bangga dan meyokong penuh usaha serta hasrat gerakan wanita di Malaysia yang tidak pernah gentar dan mengalah dalam memperjuangkan kesaksamaan gender dan hak wanita di Malaysia. Saya berharap agar kita dapat bekerjasama dalam merangka strategi ke arah mewujudkan dasar atau program yang dapat membantu wanita terutamanya ibu-ibu yang bekerja samada di kawasan saya mahupun seluruh negara.
Salam Hari Wanita!
Nurul Izzah Anwar & Raja Shahrir, Nur Safiyah dan Ahmad Harith
0 comments:
Post a Comment