Kes saman isteri kedua Sultan Kelantan tegang, kes ditangguh
KOTA BARU, 7 Mac — Mahkamah Tinggi Syariah mengarahkan peguam plaintif dan defendan kes saman terhadap Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid oleh isteri kedua Sultan Kelantan, Elia Suhana Ahmad agar mengemukakan hujah bertulis ekoran penafian berhubung soal penerimaan notis saman.
Oleh itu Hakim Mahkamah Syarie Mohamed Yusoff Awang memutuskan perbicaraan ditangguhkan sehingga 4 April ini.
Prosiding mahkamah hari ini tegang seketika apabila peguam Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Tengku Anis menafikan ada menerima notis saman daripada Suhana, yang diwakili Fakhrul Azman Abu Hassan.
“Bagi pihak defendan, saya belum menerima apa-apa penyampaian daripada pihak plaintif.
“Dan, saya dengan tegasnya menafikan kenyataan plaintif yang mengatakan bahawa penyampaian itu (notis) sudah pun dibuat,” kata Zainul Rijal.
Fakhrul Azman menegaskan, penyampaian notis sudah dibuat.
“Sekiranya peguam defendan tidak menerima penyampaian tersebut masakan mereka boleh hadir ke mahkamah untuk sebarang perbicaraan tanpa affidavit,” katanya.
Plaintif memfailkan saman terhadap defendan pada 12 Feb lalu setelah dinafikan hak untuk melawat Sultan Ismail Petra semasa menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura walaupun mahkamah telah membenarkan plaintif melaksanakan perintah ex-parte pada 4 Feb lalu.
Dalam perintah tersebut, plaintif telah mendapat perintah hak giliran eksklusif bersama suaminya selama dua hari dalam seminggu, bermula Sabtu pukul tujuh pagi sehingga Isnin waktu yang sama.
Bagaimanapun, perintah tersebut didakwa tidak dapat dilaksanakan kerana dihalang oleh defendan, Raja Perempuan Kelantan.
Sementara itu Fakhrul Azman semasa ditemui di luar mahkamah berkata sehingga hari ini palintif masih belum dapat melawat suaminya.
“Sehingga hari ini Cik Puan belum dapat melawat dan bersama dengan suaminya,” katanya.
Ketika menjawab soalan pemberita sama ada plaintif hadir untuk menyambut keberangkatan pulang Sultan Kelantan di lapangan terbang Khamis lalu, Fakhrul Azman memberitahu “plaintif tidak pergi kerana hari itu bukan hari yang jatuh pada hari yang telah ditetapkan mahkamah.”
“Kita punya hak lawatan hari Sabtu sampai Isnin... jadi kita patuh pada perintah itu,” jelasnya.
Berhubung soalan kemungkinan beliau akan membawa anak guamnya melawat Sultan Kelantan seperti mana tempoh yang ditetapkan mahkamah, Fakhrul berkata akan mengambil kira dari segala aspek termasuk faktor keselamatan dan kesihatan.
“Kemungkinan... saya akan beritahu kemudian perkara itu,” ujarnya ringkas.
Plaintif yang berkaca mata hitam ditemani keluarganya berada di luar mahkamah sebelum pukul 9 pagi.
Defendan tidak hadir tetapi hanya diwakili peguam baginda.
Semasa bercakap kepada pemberita Suhana yakin segala apa yang dilakukannya itu adalah benar.
“Insya-Allah, Allah akan bersama saya. Sebab saya yakin apa yang saya buat ini adalah benar,” jelasnya.
Pada 21 Feb lalu, Suhana memfailkan saman menghina mahkamah ke atas Raja Perempuan kerana ingkar mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan beliau menziarahi baginda di hospital di Singapura.
Sultan Kelantan telah berkahwin dengan Suhana pada 31 Dis 2007.
Pada akhir Dis lalu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan juga telah mengesahkan Sultan Kelantan telah berkahwin dengan Suhana.
Sultan Kelantan menjalani rawatan di Singapura sejak pertengahan tahun 2009 dan pulang ke Kota Baru Khamis lalu.
Suhana mendakwa dihalang oleh Raja Perempuan Kelantan dan dua pengawal peribadinya, Mohamad Shahriman Zainal Abidin dan Zaiton Hussein Marican yang turut dinamakan sebagai responden dalam afidavitnya. - MalaysianInsider
0 comments:
Post a Comment