36 Anggota Exco UMNO bahagian Bukit Bendera letak jawatan



Umno bahagian Bukit Bendera hari ini mengumumkan peletakan jawatan 36 anggota exconya bagi membolehkan pemilihan baru diadakan semula.

Peletakan jawatan beramai-ramai itu bagi membolehkan bekas ketua mereka, Datuk Ahmad Ismail untuk kembali menerajui bahagian berkenaan.

Semua 36 anggota exco itu menandatangani surat peletakkan jawatan yang akan dikemukakan pada mesyuarat jawatankuasa Umno Pulau Pinang yang akan diadakan pada minggu ketiga bulan April.

Majlis Tertinggi (MT) Umno pada September 2008 memutuskan Datuk Ahmad Ismail digantung dan dilucutkan hak-haknya dalam parti selama tiga tahun.

Ia berikutan kontroversi yang dicetuskan oleh ketua Umno Bukit Bendera itu, yang didakwa membuat kenyataan yang berbaur perkauman terhadap masyarakat Cina.

Ahmad telah menimbulkan kemarahan masyarakat Cina apabila didakwa berkata bahawa kaum itu "menumpang" di negara dan meminta mereka supaya tidak menjadi seperti orang Yahudi di Amerika yang mahu menguasai ekonomi dan kuasa politik.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Ahmad membuat kenyataan menggesa Gerakan supaya keluar dari BN dan manakala seorang penyokongnya telah bertindak mengoyak gambar pemangku presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) kemudiannya memutuskan untuk menyerahkan kepada Umno untuk menentukan tindakan terhadap Ahmad.

Bagaimanapun pada Disember tahun lalu, Majlis Tertinggi Umno mengambil keputusan untuk menarik semula penggantungan itu.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.