Tahi Mesin Padi Boleh Sebab Kemalangan


Musim menuai padi kembali lagi. Bagi petani sama seperti ayahku, ketika ini masing-masing boleh tersenyum lega memandangkan hasil mereka dapat dituai. Namun, di sebalik kegembiraan hasil dapat dituai, ada masalah yang merunsingkan pengguna jalan raya yang terpaksa berkongsi jalan dengan jentera berat mesin padi itu.

Tanah yang melekat pada roda jentuai padi dan dikenali sebagai 'tahi mesin' sering terjatuh di jalan raya sehingga menyebabkan kenderaan terbabas. Tahi mesin berupa tanah yang berketul-ketul di sepanjang jalan yang dilalui oleh jentuai padi.

Bagi penduduk Batu 18, Mohd Nazri Mohd Hashim, 50, berkata, tanah yang terjatuh dari jentuai padi boleh menyebabkan kemalangan dan mengundang maut jika tidak dipandang serius.

“Masalah mesin padi ini apabila tanah yang ada di mesin padi itu terjatuh ke jalan raya dan membahayakan pengguna. Misalnya, ketika melalui jalan raya, tanah jatuh berlonggok-longgok, bagi kenderaan besar mungkin tiada masalah. Tetapi bagi motosikal ia mendatangkan masalah sehingga boleh menyebabkan terbabas,” katanya.

Menurutnya, penduduk membenarkan mesin padi melalui jalan raya untuk mengambil padi tetapi diharapkan agar ada pihak yang bertanggungjawab membersihkan kembali tanah yang bertaburan itu kerana boleh mendatangkan bahaya.

Sementara itu, Umar Halim, 48, berkata, pengusaha mesin padi tiada kesedaran sivik dan mengabaikan tanggungjawab sehingga membahayakan semua lalu lintas yang melalui jalan raya.

“Ketika musim menuai berlangsung, beginilah keadaan jalan raya. Tayar kereta menjadi licin apabila melalui di atas tanah itu dan kereta tidak dapat dikawal dengan baik.

“Tiada orang yang mengambil tindakan terhadap pengusaha-pengusaha ini, disebabkan itu, mereka tidak ambil kisah mengenai masalah ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang jururawat, Sharifah Len, 45, menceritakan pengalamannya yang pernah terbabas ketika menaiki ambulan dalam perjalanan pulang dari menghantar pesakit.

“Ketika itu waktu malam, ambulan terbabas kerana tanah melekat pada tayar ambulan. Waktu itu malam, justeru tanah itu tidak kelihatan. Ia tanah sawah seakan tanah liat yang terjatuh dari ‘tayar lipan’ mesin padi. Mujurlah hanya terbabas biasa sahaja tanpa mendatangkan apa-apa kecederaan atau kerosakan, ”katanya.

Sehubungan itu, Sharifah berharap masalah itu harus dipandang serius oleh pihak yang berkenaan kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna.

Bagi saya perkara ini adalah lumrah, jalan mana lagi depa nak pi, bendang dah tepi jalan. Cuma kita harapkan broker atau tuan punya mesin pi la round bawa cangkul sekali, kalau ada taik mesin tu ubah la ke tepi, taklah orang lain nak marah... kan baguih kalau masing-masing menjaga hak masing-masing. Sebagai pengguna jalanraya tentulah depa marah, maklumlah kerana tanah (taik mesin) kecelakaan boleh berlaku.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.