Billionaire Singapura Meninggal Dunia


TOKOH terkaya di Singapura, hartawan hartanah Encik Ng Teng Fong, 82 tahun, meninggal dunia pagi semalam selepas mengalami pendarahan cerebral 10 hari yang lalu.

Menurut kenyataan Far East Organization, pengerusinya itu dikejarkan ke hospital pada 23 Januari bagi menjalani pembedahan.

Hartawan itu adalah pengasas firma hartanah Far East Organization dan Sino Group, yang tersenarai di Hongkong.

Encik Ng menubuhkan Far East Organization pada 1960 dan pada 1980-an, beliau dikenali sebagai 'Raja Orchard Road'.

Beliau dinamakan tokoh terkaya dalam senarai Forbes Asia Singapore Rich buat tiga tahun berturut-turut dengan nilai kekayaan mencapai $11.3 bilion.

Encik Ng telah membangunkan lebih 700 hotel, pusat beli-belah komersial dan kondominium privet di Singapura dan Hongkong.

Firmanya juga menguasai firma pengeluar makanan dan minuman Yeo Hiap Seng dan antara hartanahnya yang terkenal di sini termasuk The Fullerton dan Orchard Parade Hotel.

Encik Ng dilahirkan di Putien, di wilayah Fujian, China, dan datang ke Singapura semasa usianya baru enam tahun.

Meskipun memiliki kekayaan, beliau menjalani cara hidup yang sederhana.

Walaupun Encik Ng menguasai sekurang-kurangnya suku daripada pasaran perumahan di Singapura, Encik Ng tetap menetap di rumah yang sama di Watten Estate di Bukit Timah Road selama 30 tahun, yang merupakan antara kawasan projeknya yang paling awal.

Beliau juga sering membawa makanan tengah harinya sendiri apabila menaiki pesawat.

Encik Ng meninggalkan seorang balu dan lapan orang anak. Anak sulungnya, Encik Robert Ng Chee Siong, telah membina perniagaan hartanah di Hongkong di bawah arahan bapanya.

Encik Robert kini adalah pengerusi Sino Land Group sejak 1981 manakala anak lelakinya yang kedua, Encik Phillip, bertanggungjawab ke atas perniagaannya di Singapura.

Dalam kenyataan semalam, kaum keluarga Encik Ng melahirkan rasa terima kasih kepada teman dan rakan perniagaan yang telah menyampaikan ucap takziah.

Majlis menghormati mayat mendiang Ng diadakan sejak semalam di kediaman beliau di No 2, Watten Estate, dan akan diadakan setiap malam pada 8 malam.

Upacara pengebumian Encik Ng akan diadakan pada Sabtu ini.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.