Perbicaraan Kes Liwat Anwar Selasa Ini?


KUALA LUMPUR: Selasa ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi akan memohon kepada Mahkamah Tinggi supaya perbicaraan kes liwatnya ditangguhkan, manakala pihak pendakwaan pula bersiap sedia untuk memulakan perbicaraan kes itu pada hari yang sama.

Sama ada perbicaraan yang telah beberapa kali tertangguh dan ditunggu-tunggu itu akhirnya akan bermula, bergantung kepada keputusan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang terlebih dahulu akan mendengar permohonan Anwar bagi penangguhan.

Dalam permohonannya yang difailkan hanya lima hari lepas sebelum penetapan tarikh perbicaraan itu, Anwar berkata kes itu perlu ditangguhkan sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak untuk menggugurkan pertuduhan liwat terhadapnya.

Mahkamah Rayuan masih belum menetapkan tarikh bagi pendengaran rayuan itu.

Pada 1 Disember tahun lepas, Hakim Mohamad Zabidin menolak permohonan Anwar dan menetapkan sebulan dari 25 Januari bagi perbicaraan.

Namun perbicaraan itu ditangguhkan ke 2 Februari oleh Mahkamah Persekutuan sementara menunggu keputusan sama ada membenarkan permohonan Anwar bagi pihak pendakwaan membekalkan dokumen kepadanya bagi membuat persediaan pembelaannya.

Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas menolak permohonan Anwar.

Berikutan itu, Selasa ini tumpuan beralih semula ke Mahkamah Tinggi Jenayah 3 di Tingkat 5, Kompleks Mahkamah Jalan Duta apabila Hakim Mohamad Zabidin mendengar permohonan Anwar untuk menangguhkan prosiding.

Sebelum ini, Hakim Mohamad Zabidin menetapkan 1 Julai hingga 24 Julai, 2009 untuk perbicaraan tetapi ditangguhkan selepas beberapa permohonan dikemukakan oleh Anwar yang pertama kali dihadapkan ke mahkamah bagi pertuduhan itu pada 7 Ogos, 2008.

Ini ekoran laporan polis yang dibuat oleh bekas pembantunya yang berumur 23 tahun, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa Anwar meliwatnya.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan anggota Parlimen Permatang Pauh itu yang kini berusia 63 tahun dituduh meliwat Mohd Saiful Bukhari di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Ini adalah kali kedua Anwar menghadapi pertuduhan liwat.

Pada 2000, beliau dituduh meliwat Azizan Abu Bakar, pemandu isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos, 2000, tetapi dibebaskan pada September 2004 selepas menghabiskan hampir enam tahun di penjara selepas Mahkamah Persekutuan menggugurkan sabitan dan mengenepikan hukuman penjara itu.

Anwar dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dituduh meliwat Azizan antara Januari dan Mac 1993 di apartmen Sukma di sini.

Kali ini, Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan, ketika dihubungi, berkata pasukannya telah membuat persediaan rapi tanpa mengira sama ada perbicaraan itu diteruskan atau ditangguhkan.

Beliau akan dibantu lima Timbalan Pendakwa Raya iaitu Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Noorin Badaruddin dan Shamsul Sulaiman.

Anwar juga telah menghimpunkan sekumpulan 13 peguam untuk membelanya.

Mereka ialah peguam bela utama Raja Aziz Addruse, Datuk Param Cumaraswamy, Karpal Singh, Datuk C.V. Prabakharan, S. N. Nair, Wan Anuar Shadat, R.Sivarasa, Leela Jesuthasan, Edmund Bon, Saiful Idham Ramli, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Koya dan Mohd Radzlan Jalaludin.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.