Ekspo Fama, IKS Berakhir Meriah


GUAR CEMPEDAK - Ekspo Lembaga Pemasaran :Pertanian Persekutuan (Fama) bersama peniaga Industri Kecil Sederhana (IKS) anjuran Fama Daerah Yan/Pendang dan Nazrina Beauty yang berlangsung selama sebulan di pekarangan tempat letak kereta Kompleks Pasar Tani Guar Chempedak, berakhir dengan meriah.

Ekspo berkenaan telah menarik orang ramai untuk memeriahkan Pasar Tani Guar Cempedak sekali gus mempromosikan Pasar Tani berkenaan yang sebelum ini kurang mendapat sambutan.

Penyelia Pasar Tani Guar Chempedak, Muhamad Zaidi Hussain berkata, program berkenaan berjaya mencapai sasarannya walaupun terpaksa bersaing dengan beberapa program seumpama itu di sekitar kawasan berhampiran kerana ia mempunyai ‘auranya’ yang tersendiri.

“Di samping pengunjung dapat membeli produk di ekspo berkenaan, pengunjung juga dapat membeli barangan keperluan harian dengan harga borong seperti ikan, ayam, sayur di Kompleks Pasar Tani Guar Chempedak ini.

“Tujuan ekspo ini diadakan adalah lebih kepada mempromosi Pasar Tani Guar Chempedak sebagai Pasar Tani Pilihan di daerah ini kepada orang ramai di luar sana,” katanya.

Menurutnya, berbalik kepada acara penutupan ekspo berkenaan, pelbagai acara menarik telah diadakan antaranya pertandingan akhir Karaoke Bintang Pasar Tani Guar Chempedak, penyampaian sijil penghargaan kepada semua yang terlibat dalam ekspo itu dan Auto Show dari Zone Auto Car Gurun yang melibatkan hampir 30 kenderaan mempamerkan kreativiti masing-masing dalam penjagaan kenderaan.

Sementara itu, Pengurus Nazrina Beauty, Sharifah Mat Yusuf berkata, Nazrina Beauty akan terus menganjurkan lagi ekspo sebegini pada masa terdekat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Kompleks Pasar Tani Guar Chempedak atas sokongan yang tidak berbelah bahagi sepanjang ekspo ini berlangsung.

“Semoga kerjasama sedia terjalin ini dapat dieratkan dalam perancangan program akan datang,” katanya.

Salah seorang peserta peniaga Pasar Tani Guar Chempedak, Abu Kassim A Rahman berkata, dengan adanya ekspo seperti ini secara tidak langsung gerai jualannya turut menjadi terkenal.

“Jualan di gerai saya turut meningkat sejak adanya ekspo kerana sebelum ini orang luar tidak mengetahui bahawa di dalam kompleks ini ada gerai makanan yang beroperasi sehingga jam 12 malam setiap hari. Bagi saya secara peribadi, ini satu perkembangan yang bagus,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.