Ekin Jelas Perkahwinan Kedua Mawi Dalam Diam

Mawi ketika meniup lilin kek hari jadinya.

SEMALAM tarikh paling bermakna dalam hidup penyanyi Asmawi Ani atau Mawi apabila dia menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 29 tahun. Mawi lahir pada 25 Ogos 1980.

Bagaimanapun ketika sedang meniti bahagia pada ketika ini, rumah tangga Mawi dan isterinya, Nora’asikin Rahmat atau Ekin diuji apabila timbul desas-desus Mawi kononnya berkahwin lain dalam diam.

Malah faktor ketiadaan anak selepas berumah tangga mungkin penyebab kepada desas-desus itu.

Hal tersebut turut diakui oleh Ekin yang mendengar gosip sedemikian tetapi wanita ini tetap percaya terhadap kejujuran suaminya itu.

Ujar Ekin, dia pernah mempunyai perasaan curiga dan mahu bertanyakan hal berkenaan kepada Mawi tetapi hatinya tertutup setiap kali melihat wajah suami setiap kali dia pulang dari bekerja.

“Saya pernah mahu bertanyakan hal itu kepada Mawi tetapi bila saya tengok muka dia, saya tidak sampai hati untuk bertanya kerana takut mengguris hatinya.

“Bukannya apa, saya sebenarnya amat percaya kepada kejujuran Mawi. Kalaulah dia betul-betul kahwin, tentulah saya tahu,” katanya.

Menurut Ekin, dia memahami tugas Mawi sekarang amat sibuk di lokasi penggambaran kerana dia bukan sahaja mencuba peluang menjadi pengarah sebaliknya penerbit drama.

Kesibukan Mawi selama ini kata Ekin hanyalah di lokasi penggambaran dan tidak mungkin dia mahu menduakan isterinya itu.

"Setiap hari dia sibuk di lokasi jadi bila masa dia dikatakan berkahwin seorang lagi? Saya faham itu semua gosip yang tidak berasas,” katanya yang menghadiahkan Mawi sebuah alat permainan X-box sempena hari lahirnya itu.

Bagi Mawi pula bukan mudah untuknya bergelar seorang pengarah kerana sehingga ke hari ini dia masih belajar bidang berkenaan dan berharap masyarakat akan menerima setiap produk yang dihasilkan melalui syarikat produksinya, Mawi World Entertainment.

"Saya masih baru untuk mencuba dalam bidang ini dan mahu melihat penerimaan masyarakat terhadap telefilem saya. Impian saya tinggi iaitu untuk menerbitkan sebuah filem pula suatu hari nanti,” kata Mawi selepas pra tonton drama pertama arahannya, Pak Nil... Ibu Kirim Salam yang akan bersiaran pada 17 September akan datang di saluran Astro Prima, pukul 12 tengah hari.

Sebelum ini syarikat produksi Mawi itu telah menerbitkan sebuah drama berjudul Jiwa Kacau yang disiarkan menerusi saluran Astro Prima lakonan Syed Ali dan Intan Ladyana.

Kemana Perginya Saham Khas Bumiputera berjumlah RM52 Bilion - Siasat Segera

Oleh Sidiqin Omar

PETALING JAYA 27 Ogos - Serangan Umno-Barisan Nasional terhadap Pakatan Rakyat dengan menggunakan sentimen perkauman adalah untuk menutup penyelewengan dan kegagalan mereka mengurus khazanah negara termasuk skandal rompakan saham yang dikhaskan bagi Bumiputera dan rakyat termiskin bernilai RM52 bilion.

Sehubungan itu Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar mendesak satu suruhanjaya diraja ditubuhkan segera bagi menyiasat secara terperinci kehilangan jumlah saham sebegitu besar kepada Bumiputera.

Anwar berkata isu ini pernah dibangkitkan tahun lalu oleh beberapa orang ahli parlimen termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

"Bagi saya, isu yang melibatkan hak orang Melayu dan kaum Bumiputera ini masih belum dapat diselesaikan. Mana pergi agihan saham untuk Bumiputera dan faedahnya kepada siapa?.

"Kalau benar kita ambil berat untuk menjamin hak mereka, orang Melayu yang miskin dan terpinggir itu harus dibantu. Kini hanya tinggal RM2 bilion sahaja yang tinggal bagi pegangan ekuiti Melayu," kata Anwar pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat di inu pejabat KEADILAN di Tropicana di sini semalam.

Ketika ditanya mengenai isu undang-undang hudud di negara ini, Anwar berkata sistem perundangan di negara ini mengamalkan sistem demokrasi, tetapi agama Islam mendapat tempat yang istimewa sebagai agama Persekutuan, selain jaminan hak kepada penganut agama lain untuk mengamalkan ajaran mereka.

"Kita memperkukuh institusi yang ada melalui dialog peradaban dan sebagainya. Kita turut menekankan muafakat dan kerjasama antara budaya, agama dan memperbaiki hubungan kaum.

"Oleh yang demikian, berkenaan pertindihan antara undang-undang sivil dan syariah, kita menuntut untuk ditubuhkan suruhanjaya diraja bagi mengkaji perkara tersebut."Kita mesti berikan ruang untuk setiap parti mengungkap pandangan mereka mengikut prinsip parti. Tetapi dalam Pakatan Rakyat, kita terikat dengan konsensus atau persefahaman yang kita meterai bersama, perkara ini telah dijelaskan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat yang lalu," tegas Ketua Pembangkang lagi.

Beliau juga menyelar tindakan Umno-BN yang mengapikan sentimen perkauman sempitdan agama dengan tujuan memecah belahkan keharmonian masyarakat di negara ini.

"Politik usang yang bersifat peras ugut dan memesongkan fakta ini digunakan oleh pemimpin Umno-BN, kerana mereka kini berada dalam keadaan terdesak untuk teruskan kelangsungan kuasa mereka. Demi mencapai cita-cita politik tersebut, pelbagai jentera kerajaan seperti Biro Tatanegara dan media seperti Utusan Malaysia diperkuda untuk menggugat kesejahteraan rakyat," kata Anwar.

Turut sama pada sidang media itu termasuk Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

-SK

Sime Darby Terus Menjunam Catat Penurunan 43% Untung

KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Kerugian dalam unit minyak dan gas dan kejuruteraan menyebabkan konglomerat Sime Darby Bhd mencatatkan penurunan 43 peratus dalam keuntungan sebelum cukainya kepada RM1.74 bilion bagi tahun yang berakhir pada 30 Jun, 2010, berbanding RM3.07 bilion pada tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai bagi suku keempat menjunam sebanyak 98 peratus kepada RM25.04 juta berbanding RM1.107 bilion pada suku yang sama 2009, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kumpulan itu mencatatkan kerugian selepas cukai RM53.3 juta dalam suku keempat berbanding keuntungan RM1.009 bilion sebelumnya.

Pendapatan tahun penuh meningkat kepada RM32.95 bilion daripada RM31.013 bilion manakala pendapatan bagi suku keempat naik kepada RM9.21 bilion daripada RM7.53 bilion.

Mengumumkan keputusan itu di sini, hari ini, Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Bakke Salleh berkata kumpulan itu telah mengenal pasti masalah dalam perniagaan minyak dan gas dan menanganinya bagi memulihkan perniagaan.

Beliau berkata kumpulan itu akan menumpukan untuk memulihkan bahagian Tenaga dan Utiliti di mana perniagaan minyak dan gas berada di bawahnya, memaksimumkan potensi dalam semua perniagaan teras, menyemai budaya prestasi tinggi dan mengkaji semula campuran portfolio.

“Banyak lagi yang kami boleh lakukan dalam perniagaan perladangan untuk meningkatkan hasil dan mengurangkan kos operasi.

“Bagi perniagaan hartanah kami akan menumpukan kepada bagaimana kami boleh meningkatkan margin bagi projek pembangunan hartanah di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Kumpulan itu juga mencadangkan dividen akhir tiga sen sesaham menjadikan jumlah dividen bagi tahun itu kepada 10 sen sesaham.

Bahagian tenaga dan utiliti di mana minyak dan gas dan kejuruteraan merupakan perniagaan utama, mencatatkan kerugian operasi RM1.752 bilion bagi tahun kewangan 2010 selepas membuat peruntukan tambahan RM777.3 juta bagi suku keempat.

Termasuk peruntukan RM1,308.4 juta sehingga suku ketiga, jumlah peruntukan bagi kerugian dan susut nilai dapat dijangka bagi tahun penuh berjumlah RM2,085.7 juta.

Peruntukan tambahan berjumlah RM777.3 juta berkait dengan tiga projek minyak dan gas iaitu Qatar Petroleum, Maersk Oil Qatar dan Marine dan termasuk peruntukan dan susut nilai aset-aset lain. — Bernama

Noh Omar Mencari Populariti Hinggakan Kefahaman Syariat Diketepi

imbalan pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar bagai meludah ke langit, apabila mendakwa PAS takutkan DAP berhubung penutupan kilang arak di Selangor, lapor HarakahDaily.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, Noh yang juga menteri pertanian tidak sedar bahawa perkara dibangkitkan tersebut seperti meludah ke muka sendiri.

"Saya nak tanyalah, kalau kilang Carlsberg itu tak tutup sebab PAS takutkan DAP, maka Umno waktu buka kilang tu diorang melutut pada siapa?" soalnya.

Beliau menyoal demikian ketika diminta mengulas kenyataan Noh dalam wawancara dengan
Malaysiakini.

Noh dalam wawancara itu secara khusus mengaitkan nama Khalid dalam isu penutupan kilang arak berkenaan.

'Berenang dalam arak'

Khalid katanya ada berjanji mahu menutup kilang arak jika Pakatan Rakyat memerintah Selangor, namun gagal berbuat demikian.

Khalid bagaimanapun menjelaskan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor masih baru dan dalam fasa memberi kefahaman kepada rakyat negeri itu dan tidak boleh bertindak melulu.

Jelasnya, lawatannya ke kilang Carlsberg baru-baru ini kerana mahu bertanya sama ada pengusaha kilang berkenaan mempunyai perancangan untuk berpindah tapak atau tidak.

"Berbanding Umno, mereka bangga letak kilang Carlsberg di pintu masuk Shah Alam.

"Seperti didedahkan bekas ahli Umno, Saifudin Nasution di parlimen, pemuda Umno ni 'berenang' dalam arak, sebab itu diorang tak peduli," katanya lagi.

Mengulas isu 'berbeza kitab' antara Selangor dan Kelantan yang turut dibangkitkan oleh Noh ketika diwawancara
Malaysiakini, Khalid berkata bukan kitab yang berbeza tetapi suasana.

"Saya rasa Noh Omar tak mengaji siasah Syar'iyyah, ini bukan masalah kitab berbeza, tetapi suasana dan realiti itu berbeza," katanya.

PAS Selangor, katanya sedang berusaha memberi kefahaman berhubung syariat Islam termasuk kepada bukan Islam negeri itu.

"Bukan orang bukan Islam je menolak syariat lslam sebab tidak faham, tetapi orang Islam sendiri yang menyokong Umno pun menolak.

"DAP tak halang kita memberi kefahaman Islam tetapi yang banyak halang kita dulu dan sekarang adalah Umno," katanya lagi.

Mengulas kesan kempen 'Selamatkan Selangor' yang dibuat Umno negeri itu, Khalid berkata beliau yakin rakyat Selangor adalah bijak, bermaklumat dan mampu menilai.

"Kita tak nampak akan menjejaskan kedudukan kita dan kita tidak akan halang kerja mereka," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.