Yusof Nor Didesak Dedah Pendapatan Terajui Felda

KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Selepas cubaan pertamanya gagal, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sivarasa Rasiah sekali lagi mendesak Tan Sri Mohd Yusof Nor agar mendedahkan kepada umum jumlah ganjaran yang diterima beliau selaku Pengerusi Felda.

Bagaimanapun Sivarasa menegaskan beliau tidak akan membuat pendedahan itu terlebih dahulu, tetapi mahu Yusof sendiri menjelaskan jumlah sebenar pendapatannya.

Sivarasa berkata, Yusof (gambar) sepatutnya mendedahkan ganjaran yang diterima kerana beliau bekerja dengan sebuah agensi ditubuhkan dengan menggunakan dana rakyat.

“Felda adalah badan berkanun yang ditubuhkan dengan menggunakan wang rakyat, jadi sebagai seorang pengerusi beliau (Yusof) patut dedahkan pendapatan tahunannya kepada umum terutamanya kepada peneroka.

“Lagipun ia sudah menjadi amalan biasa seorang pengerusi yang bekerja dengan badan berkanun dedahkan pendapatan mereka,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau berkata pendedahan itu penting kepada peneroka untuk mengetahu ganjaran sebenar yang diterima Yusof selaku pengerusi Felda.

“Jumlah ganjaran yang saya nak tahu termasuk gaji, elaun dan faedah yang diperoleh beliau setiap tahun.

“Saya cuma nak tahu jumlah sebenarnya yang saya pasti bukan hanya saya tapi rakyat lain juga ingin mengetahuinya.

“Jadi saya harap beliau dapat memberikan jumlah tepat tersebut bukan kata jumlah lebih kecil daripada RM2 juta,” katanya.

Pada Sabtu lalu Sivarasa mencabar Yusof agar mendedahkan kepada umum jumlah ganjaran yang diterima beliau selaku Pengerusi Felda.

Sivarasa mendakwa maklumat diterima pihaknya menunjukkan Yusof memperoleh pendapatan mencecah RM2 juta setahun termasuk gaji dan juga elaun.

Namun Yusof yang dihubungi The Malaysian Insider menafikan jumlah tersebut dan mengatakan pendapatan tahunannya selaku Pengerusi Felda adalah jauh lebih kecil berbanding jumlah didakwa Sivarasa.

Yusof bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sebenar pendapatan beliau.

“Beliau (Yusof) seolah-olah nampak marah apabila ditanya soal pendapatan tahunannya. Jadi saya minta beliau supaya tidak terlalu sensitif.

“Sebelum ini beliau tuduh kita paksa peneroka bayar RM500 kepada peguam sebagai kos khidmat.

“Tapi kita telah pun menjawab tuduhan itu jadi mengapa beliau juga tidak boleh berikan jawapan kepada soalan yang saya ajukan kepadanya?,” kata Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang.

Perkara ini ditimbulkan di sebalik dakwaan PKR bahawa Felda akan muflis manakala lebih 700 peneroka dari dua Felda menyaman agensi persekutuan RM200 juta berhubung isu penipuan dalam kiraan perahan minyak sawit.

Dua bulan lalu Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa aliran wang tunai semasa Felda telah merosot berbanding lima tahun lalu.

“Jadi saya harap Yusof dapat memberikan jumlah tepat tersebut bukan hanya kata jumlah lebih kecil daripada RM2 juta.

“Saya nak dengar jawapan daripada beliau bukan orang lain. Saya akan terima jumlah yang dikatakan beliau,” tegas Sivarasa lagi.

Tidak logik dakwaan wujud ‘perlembagaan baru’ - Prof Aziz

KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Penganalisis politik Prof Abdul Aziz Bari menegaskan tidak logik ada pihak mengeluarkan perlembagaan baru kerana dokumen sedemikian tidak boleh dibuat secara sembunyi-sembunyi dan tanpa melalui proses perundangan sewajarnya.

Justeru tambah beliau, oleh kerana perlembagaan tidak boleh dipinda atau dimansuh tanpa persetujuan atau proses yang sah, maka soal wujudnya perlembagaan baru tidak timbul sama sekali.

“Ia perlu melibatkan Parlimen, Raja-raja dan Yang Dipertua Sabah dan Sarawak.

“Ini kerana peruntukan-peruntukan tertentu khususnya yang menyentuh kedudukan Raja-raja, Islam, Melayu, bahasa serta negeri-negeri Borneo tidak boleh dipinda dan mansuh tanpa persetujuan atau proses yang melibatkan semua pihak tadi,” kata beliau dalam ulasannya hari ini.

Malah menurut beliau, perlembagaan ialah instrumen yang melahirkan Parlimen, mahkamah dan apa jua institusi di negara ini.

“Jadi, bagaimana ia boleh dibuat oleh pihak-pihak tertentu saja?” soal beliau.

Bagaimanapun beliau yang juga pakar perundangan dari Universiti Islam Antarabangsa mengakui siapa pun boleh memberi tafsiran, cuma yang boleh dilaksanakan ialah tafsiran mahkamah meskipun tafsiran hakim tidak semestinya betul.

Oleh itu kata Aziz, beliau tidak faham apa yang Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dakwa dan disiarkan oleh beberapa akhbar.

Awal minggu lalu, Harussani mendakwa sudah ada “perlembagaan baru” dibuat oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi teras kemakmuran negara selama ini.

Menurut Harussani, perlembagaan baru itu menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan siapa yang mengeluarkannya.

Pelajat IPT di Melaka Buang Bayi Ke Tong Sampah Hasil Hubungan Terlarang


SEORANG anggota polis memeriksa mayat bayi lelaki (dalam bulatan) yang ditemui di pusat pengumpulan sampah Hospital Melaka semalam. Gambar kecil pula ialah bayi lelaki yang ditemui di Seberang Takir, Kuala Terengganu.


MELAKA - Tembelang sepasang kekasih yang membuang bayi lelaki berusia lima bulan ke dalam tong sampah Hospital Melaka di sini terbongkar apabila kedua-dua mereka ditahan ketika ibu bayi itu mendapatkan rawatan di hospital tersebut kelmarin.

Kejadian pukul 4 petang itu terbongkar apabila kakitangan hospital berasa curiga melihat keadaan wanita tersebut seperti baru bersalin walaupun pada mulanya dia menafikannya.

Selepas didesak, wanita tersebut akhirnya mengaku yang dia baru sahaja melahirkan anak di dalam tandas hospital sebelum membuangnya di dalam tong sampah.

Bagaimanapun, pencuci bangunan kemudian secara tidak sengaja telah memindahkan sampah yang mengandungi bayi tersebut ke dalam tong sampah besar.

Sehubungan itu, polis terpaksa mengambil masa selama dua hari untuk mencari mayat bayi tersebut dengan menyelongkar lebih 20 buah tong sampah sebelum ia ditemui pukul 1.50 petang semalam di pusat pengumpulan sampah hospital.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, siasatan mendapati pasangan tersebut berusia dalam lingkungan 20-an dan merupakan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

"Sebaik menerima maklumat, kita telah melancarkan operasi mencari mayat bayi tersebut. Polis bernasib baik kerana menemuinya semula," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka semalam.

EXCO Pemuda MIC Cedera Ditembak

KUALA LUMPUR, 18 Ogos — Exco Pemuda MIC Pusat A. Kalaiarasu cedera ditembak di perut dan tangan kiri ketika sedang minum bersama rakannya di sebuah kedai kopi di Jalan Datuk Harun, Kajang dekat sini hari ini.

Ketua Polis Kajang ACP Sakaruddin Che Mood berkata dalam kejadian pada pukul 6.45 petang itu, Kalaiarasu, 49, ditembak dengan sepucuk pistol automatik oleh seorang lelaki yang memakai topi keledar dengan penutup muka penuh dan jaket hitam.

“Dua tembakan dilepaskan ke arah mangsa dan mengenai badannya. Suspek kemudian melarikan diri menaiki motosikal bersama-sama rakannya yang sedang menunggu di luar kedai itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sejurus kejadian itu, beliau berkata mangsa melarikan diri melalui pintu belakang kedai dan meminta bantuan di Balai Polis Kajang yang terletak kira-kira 200m dari tempat kejadian.

“Mangsa membuat aduan pada anggota di balai polis itu sebelum anggota saya menghantar mangsa ke Hospital Kajang.

“Menurut mangsa, kedua-dua suspek berumur lingkungan 20an dan melarikan diri menaiki motosikal kapcai. Bagaimanapun mangsa tidak dapat mengecam nombor pendaftaran motor itu,” katanya.

Sakaruddin berkata mangsa kini dalam keadaan stabil dan polis akan mengambil keterangan daripada saksi di tempat kejadian dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan.

Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

— Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.