Lesen Judi: Kerajaan Perlu Beri Penjelasan Terbuka - Majoriti Rakyat Bantah, Tunggu Apa Lagi...

Suara bantahan kepada isu kelulusan lesen judi bolasepak semakin lantang.

Terbaru, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengulangi desakan agar pemberian lesen judi Piala Dunia 2010 oleh kerajaan pusat kepada Kumpulan Berjaya ditarik balik.

Menurut presidennya, Muhammad Razak Idris, Abim berpandangan bahawa sudah tiba masanya kerajaan memberi penjelasan secara terbuka sebagai reaksi kepada keprihatinan, desakan dan bantahan yang disuarakan oleh banyak pihak.

“Abim menyokong kenyataan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang baru-baru ini menggesa kerajaan menilai semula pemberian lesen tersebut.

“Siri-
siri bantahan serta kenyataan-kenyataan keprihatinan tersebut, memberikan mesej yang jelas kepada pimpinan negara bahawa masyarakat Malaysia memandang berat implikasi dan kesan negatif pertaruhan judi ini kepada masyarakat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media.

Katanya, Abim juga telah menghantar memorandum keprihatinan kepada para mufti di seluruh negara sejak seminggu yang lalu sebagai usaha menggesa kerajaan menarik balik pemberian lesen berkenaan.

“Dari pemerhatian pihak Abim, aktiviti-aktiviti pertaruhan serta perjudian haram sudah mula berleluasa menjelang kejohanan yang bakal menjelang nanti.

"Abim yakin tindakanlegalization – iaitu mengiktiraf secara sah di sisi undang-undang sesuatu aktiviti haram (seperti kes pertaruhan judi) yang tidak mampu dikawal melalui penguatkuasaan undang-undang dan permintaan berterusan di pasaran gelap tidak akan menyelesaikan masalah. Bahkan sebaliknya, ia memberikan pengiktirafan kepada sesuatu yang illegal hanya kerana kegagalan kita mengawalnya.”

Katanya, Abim juga menggesa umat Islam di seluruh negara agar menjauhi sebarang bentuk aktiviti perjudian serta pertaruhan memandangkan ia hanya akan meruntuhkan sahsiah individu, serta keutuhan institusi keluarga, masyarakat, dan secara khususnya, sistem ekonomi.


“Sebarang aktiviti perjudian serta pertaruhan adalah haram di sisi Islam. Ia jelas mendatangkan kemudaratan kepada institusi kekeluarga, masyarakat dan rakyat terbanyak,” katanya.

Menurut Razak, berdasarkan kepada prinsip berkenaan, Abim membantah sekeras-kerasnya usaha untuk membudayakan unsur-unsur perjudian di kalangan setiap lapisan masyarakat di negara ini.

Alhamdulilah Stabil: Exco Johor Jalani Pembedahan Pintasan Jantung

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Abd Aziz Kaprawi, 51, yang dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Baharu, Sabtu lalu selepas mengadu sakit dada, selamat menjalani pembedahan pintasan jantung.

Pembedahan yang bermula pukul 2 petang semalam itu selesai pada pukul 10 malam, kata pembantu peribadinya Kamaluddin Suib.

"Beliau selamat menjalani pembedahan dan berada dalam keadaan stabil," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya isteri Abd Aziz, Sabariah Tokimin bersama lima anak dan anggota keluarganya yang lain berada di hospital ketika ini.

Yang melawat beliau semalam ialah Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil, Anggota Dewan Undangan Negeri Kempas Datuk Osman Sapian dan ketua polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif.

Abd Aziz adalah juga ADUN Parit Raja.

- Bernama

Hakim Menghadap Sultan Untuk Pengesahan Lafaz Talak 3 Kepada Isteri Ke 2


KOTA BHARU: Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, di sini akan menghadap Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra bagi mendapatkan pengesahan baginda sendiri mengenai lafaz talak tiga yang didakwa dibuatnya terhadap isteri kedua, Cik Puan Elia Suhana Ahmad, 31.

Hakim Syarie, Abdullah Man, berkata tindakan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat untuk mengesahkan lafaz talak cerai tiga itu, sebagaimana didakwa pihak ketiga yang juga plaintif kes terbabit, Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60.

“Bagi mengesahkan lafaz cerai talak tiga dilakukan Sultan Kelantan terhadap Cik Puan Elia Suhana, mahkamah akan memohon kebenaran mengadap Sultan dan dijangka dilaksanakan pada akhir perbicaraan nanti.
“Tujuan menghadap adalah sebagai siasatan lanjut berhubung lafaz cerai talak tiga terhadap isteri keduanya, Cik Puan Elia Suhana seperti didakwa serta difail plaintif,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian dalam keputusannya menolak bantahan awal Elia Suhana, untuk membatalkan permohonan pengesahan lafaz cerai talak tiga yang difailkan Nik Rorhana bagi pihak Tuanku Ismail Petra pada 9 Mac lalu.

Pada prosiding semalam, Elia Suhana sebagai defendan diwakili Peguam Syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan, manakala Zainul Rijal Abu Bakar, mewakili Nik Rorhana, selaku plaintif.

Abdullah berkata, mahkamah berpuas hati dengan hujah serta dokumen diberikan kedua-dua pihak terbabit.
“Mahkamah mengambil kira dua pandangan sebelum membuat keputusan iaitu dari segi undang-undang serta hukum syarak dan mendapati tindakan plaintif (Nik Rorhana) memfailkan kes tidak bercanggah dari segi hukum syarak kerana pengesahan cerai, termasuk dalam hak Allah.

“Tindakan plaintif menepati hukum syarak kerana dikatakan mendengar lafaz itu dilakukan dan meminta hak Allah itu supaya diselesaikan segera,” katanya.

Beliau berkata, defendan diberi 14 hari untuk menfailkan rayuan terhadap keputusan itu dan mahkamah menetapkan 13 Jun ini bagi perbicaraan kes induk (tuntutan melawat Sultan Kelantan).

Sementara itu, hasrat Cik Puan Elia Suhana untuk melawat Tuanku Ismail Petra yang gering di Istana Mahkota tidak kesampaian dalam cubaan keduanya semalam.

Lebih mengecewakan, beliau yang tiba sambil ditemani peguamnya, Fakhrul Azman jam 12.55 tengah hari, diarah berurusan menerusi pintu belakang Istana Mahkota.

Ketika kunjungan pertama pada 13 Mac lalu, beliau tersekat di pintu masuk utama Istana Mahkota.

SPRM Ambil Dokumen Syarikat Konsesi Balak Jabatan Perhutanan Kelantan, Lepaih Nie Kedah La Pulak... Negeri Lain Depa Tak Minat???

KOTA BARU: Sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ahad mengambil dua dokumen membabitkan syarikat konsesi balak daripada Jabatan Perhutanan Kelantan.

Pasukan yang terdiri daripada empat pegawai SPRM dari Putrajaya itu tiba di Kompleks Kota Darul Naim, dekat sini kira-kira pukul 10 pagi dan keluar pada pukul 3.30 petang dengan membawa dokumen penting dipercayai bagi membantu siasatan berhubung kes pembalakan.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Datuk Abdullah Sani Shaffie ketika ditemui berkata, pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada SPRM yang datang ke pejabatnya selama hampir lima jam setengah dengan menyediakan fail dan dokumen yang diperlukan SPRM.

"Mereka datang untuk mendapatkan dokumen penting (membabitkan syarikat pembalakan) dan tadi mengambil dua fail membabitkan dua syarikat konsesi balak," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa terbuka dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk membantu SPRM melaksanakan proses siasatan dengan memberikan maklumat diperlukan.

Bagaimanapun, Abdullah Sani enggan menjawab pertanyaan pemberita berhubung kes yang berlaku sehingga menyebabkan SPRM menjalankan siasatan itu.

"Pada saya, ini hanya prosedur biasa, kalau ada orang buat aduan, mereka (SPRM) tentu akan datang untuk menjalankan siasatan, saya tiada masalah jika SPRM datang, kami sentiasa memberikan kerjasama penuh seperti diminta. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.