Ke Hadapan: PAS Timbang Lantik Bukan Islam Sebagai Senator


KLANG, 23 Mei — PAS kemungkinan akan melantik orang bukan Islam sebagai anggota Dewan Negara sebagai iktirafan tambahan kepada pemilihan mereka sebagai calon pilihan raya, kata Naib Presidennya Salahuddin Ayub.

PAS sedang mempertimbangkan perkara tersebut selepas ia meletakkan calon bukan Islam dalam pilihan raya umum 2008.

Selepas ini kata beliau, PAS akan membolehkan calon bukan Islam menggunakan lambang parti itu dalam pilihan raya.

“Kita akan membuka lembaran baru dalam politik negara ini,” kata beliau pada majlis pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS di sini hari ini.

Salahuddin, Ahli Parlimen Kubang Kerian merupakan penasihat dewan itu.

Dalam pada itu, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Dr Mujahid Yusuf Rawa pula berkata,

ahli-ahli PAS tidak harus melihat Dewan Himpunan Penyokong PAS yang dilancarkan hari ini sebagai entiti berasingan dengan memisahkan anggota sayap baru sebagai “orang lain.”

“Saya minta ahli-ahli PAS supaya jangan pisahkan kita orang PAS, anda bukan orang PAS.

“Dewan Himpunan Penyokong PAS ini baru lahir, jadi ahli-ahli PAS tolonglah bimbing mereka (ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS),” katanya.

Ia dilancarkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar).

Sayap baru ini lahir dengan keputusan PAS menaikkkan taraf Kelab Penyokong PAS yang wujud sejak 2004 dengan keahlian hampir 20,000 orang.

Raja Petra : Dakwa Saya di Mahkamah UK Kalau Mahu.. Mungkin Tak Percaya Kat Mahkamah Malaysia Kut???...


Pengendali Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin muncul di khalayak di sini semalam dengan mencabar pihak berkuasa Malaysia agar membawa segala tuduhan yang dikenakan ke atasnya di mahkamah United Kindom (UK).

Dengan diapit dua lelaki yang berkaca mata hitam, Raja Petra Kamaruddin yang mesra dengan panggilan dengan “RPK” berkata, beliau sanggup berhadapan dengan tuduhan fitnah dan hasutan, malah rayuan terhadap pembebasan daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika diberikan hak perundangan yang sama rata.

“Saya akan berhadapan dengan kerajaan dan saya akan lawan tetapi saya akan buat apa yang Sun Tzu berkata ‘lawan dia di wilayah anda’.

“Jadi wilayah saya ialah di sini di UK,” kata Raja Petra dengan menerima tepukan hadirin dianggarkan 300 orang, yang beg mereka diperiksa teliti sebelum dibenarkan masuk ke dalam dewan di BPP Law School di sini.

Kebanyakan daripada hadirin sanggup untuk berdiri kira-kira dua jam mendengar cerita Raja Petra.

Kemunculan semalam dilihat yang pertama selepas lebih setahun berada dalam buangan kendiri.

Pada November lalu, Raja Petra dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya daripada tuduhan menerbitkan kata-kata hasutan di laman web kerana polis masih gagal mengesan beliau.

Hakim Rozina Ayub yang membuat keputusan itu berkata perkara ini amat memalukan semua pihak sehingga menyebabkan kes itu terpaksa dilepaskan kerana pihak pendakwaan gagal menyerahkan waran tangkap yang menyebabkan kes itu tergantung dan masih tiada penghujung.

Keputusan itu dibuat selepas kesnya ditangguhkan tiga kali iaitu pada 22 Mei, 17 Julai dan 12 Oktober.

Pada 6 Mei 2008, Raja Petra, 60, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan berhubung sebuah artikel dalam laman web Malaysia Today pada 25 April 2008.

Ia salah satu kes dihadapi beliau.

Dalam ucapannya, Raja Petra menolak pandangan bahawa beliau harus pulang ke tanah air untuk membuktikan yang beliau tidak bersalah terhadap tuduhan-tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

“Pelajar tahun pertama jurusan undang-undang akan memberitahu anda bahawa ia bukan kerja pihak tertuduh untuk membuktikan yang dia tidak bersalah. Ia ada kerja pendakwa raya untuk membuktikan yang dia bersalah.

“Ada mahkamah UK di sini. Tidak perlu ada panggilan telefon ataupun panggilan telefon daripada isteri seseorang,” kata Raja Petra dengan merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, yang beliau seringkali menuduh mencampuri institusi kehakiman.

Meskipun ada gesaan daripada pelbagai pihak kerajaan tidak menyahut desakan agar Raja Petra diekstradisikan untuk meneruskan tindakan perundangan di Malaysia.
Raja Petra juga menjelaskan bahawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhadapan dengan tuduhan liwat, yang Pakatan Rakyat mendakwa beliau diperangkap, berada di situasi yang berbeza.

“Anwar menerima hakikat bahawa beliau perlu kekal memandangkan beliau bercita-cita mahu menjadi perdana menteri akan datang. Saya tiada aspirasi politik,” kata beliau sambil menambah, “kemungkinan saya orang yang lebih bebas berbanding Anwar.”

Anggota kerabat diraja Selangor ini merujuk kepada beberapa kes bagi membuktikan dakwaannya bahawa bidang kehakiman di Malaysia tidak bebas.

Beliau juga mempersoalkan mengapa Mahkamah Persekutuan belum membuat keputusan berhubung rayuan terhadap pembebasannya dari ISA walaupun ia dibuat lebih setahun lalu.

Katanya, beliau juga cuba mendapatkan panel penuh sembilan hakim dan menjangkakan bahawa akan memperoleh tujuh tetapi berakhir dengan tiga sahaja.- MalaysianInsider

Mahkamah tolak bantahan awal isteri kedua Sultan Kelantan

Tuanku Ismail Petra (duduk) berangkat dari Hospital Universiti Sains Malaysia untuk kembali ke Istana Makhota 11 Mei, 2010. — Gambar Bernama

KOTA BAHARU, 23 Mei — Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menolak permohonan bantahan awal isteri kedua Sultan Kelantan Cik Puan Elia Suhana Ahmad bagi membatalkan permohonan lafaz cerai talak tiga yang difailkan seorang wanita Datin Nik Rorhana Wan Abdul Rahman pada 9 Mac lalu.

Hakim Syarie, Abdullah Man ketika membuat keputusan itu berkata apa yang dilakukan Nik Rorhana, 60, (plaintif) itu telah menepati hukum syarak bagi membolehkan mahkamah membuat keputusan terhadap lafaz cerai baginda itu.

“Apa yang dilakukan oleh plaintif tidak bercanggah dengan hukum syarak kerana mendakwa telah mendengar lafaz berkenaan yang memohon agar hak Allah SWT itu dapat diselesaikan dengan baik.

“Ini bagi mengelak berlakunya perkara yang tidak baik dan mahkamah boleh membuat keputusan dengan mengambil kira pelbagai pandangan,” katanya ketika membacakan penghakimannya selama kira-kira 15 minit.

Elia Suhana, 31, yang hadir kemudiannya dilihat mengalirkan air mata selepas keputusan itu. Nik Rorhana juga turut hadir mendengar kes tersebut.

Bagaimanapun, Abdullah juga berkata daripada segi perundangan adalah tidak wajar plaintif membawa kes ini ke mahkamah kerana Sultan Kelantan selaku ketua agama, baginda dilindungi hak-hak mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan.

Beliau berkata dengan itu mahkamah hanya akan mendengar kes induk iaitu perbicaraan lafaz cerai itu pada 13 Jun depan.

“Mahkamah juga akan memohon untuk menghadap Ke bawah Duli Tuanku (Sultan Kelantan) bagi membolehkan siasatan dilakukan bersabit dakwaan lafaz cerai baginda itu.

“Mulai hari ini pihak defendan dibenarkan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah ini dalam tempoh 14 hari,” katanya.

Peguam syarie yang mewakili Elia Suhana, Fakhrul Azman Abu Hassan yang ditemui di luar mahkamah berkata pihaknya bersetuju untuk tidak membuat rayuan sebaliknya telah bersedia untuk menghadapi perbicaraan pada 13 Jun itu.

Sementara itu, peguam syarie mewakili plaintif, Zainul Rijal Abu Bakar pula berkata pihaknya akan mengemukakan tujuh saksi sepanjang perbicaraan kes induk itu nanti.

Pada 9 Mac lalu Zainul Rijal yang mewakili Nik Rorhana itu telah memfailkan permohonan pengesahan cerai talak tiga terhadap Elia Suhana yang dikahwini baginda pada penghujung 2007.

Lafaz cerai berkenaan didakwa dilafazkan baginda ketika masih dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 12 Feb lepas di hadapan beberapa orang saksi termasuk Nik Rorhana. — Bernama

Kerajaan Akan Teliti Lesen Pertaruhan Piala Dunia.. Demo Tiap Minggu Hampa Baru Nak Teliti, Batal TerusLa...


Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan meneliti reaksi masyarakat berhubung pemberian semula lesen menjalankan kegiatan pertaruhan pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 bulan depan kepada Berjaya Group baru-baru ini.

Menurut Mingguan Malaysia, hari ini, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, walaupun beliau belum dimaklumkan mengenai reaksi masyarakat berhubung perkara itu secara umumnya, kerajaan memberi jaminan akan sentiasa mengambil kira pandangan semua termasuk dari kalangan Islam dan bukan Islam.

''Secara jujurnya saya belum lagi dimaklumkan mengenai situasi tersebut tetapi kita (kerajaan) memang mengambil kira reaksi orang awam, Islam dan bukan Islam.

“Saya percaya kerajaan akan mengambil kira perkara itu (reaksi masyarakat tentang kelulusan lesen judi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Muhyiddin menjawab soalan pemberita tentang bantahan masyarakat terhadap langkah kerajaan itu seperti laporan sebuah akhbar berbahasa Cina pada 11 Mei lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung yang tampil menjelaskan mengenai perkara itu memberitahu, lesen tersebut bukan lesen baru yang dikeluarkan kerajaan tetapi diberi semula kepada Berjaya.

Selain itu, Chee Heung berkata, penganjur turut diletakkan syarat supaya tidak mengambil pekerja dan menjual tiket pertaruhan kepada pelanggan yang beragama Islam.

Kelulusan itu ditentang oleh beberapa tokoh sukan tempatan seperti bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Abdul Ghani Minhat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh melalui laporan Bernama baru-baru ini.

Selain itu, pakatan pembangkang pula mengecam langkah tersebut dengan Pas bertindak menganjurkan siri demonstrasi bantahan perkara tersebut di beberapa negeri Jumaat lalu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.