Mahkamah Tolak Saman Pemula: 'PPSMI tidak bercanggah dengan perlembagaan'


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman pemula oleh empat pelajar termasuk anak bekas menteri besar Perak untuk mengisytiharkan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah sejak 2003 sebagai batal dan tidak sah.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas, Datuk Mohd Zawawi Salleh hari ini.

Beliau membuat keputusan tersebut setelah mendapati surat pekeliling ikhtisas yang dikeluarkan berhubung PPSMI di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, tidak bercanggah dengan Perlembagaan.

Keempat-empat pelajar terbabit telah mengemukakan permohonan menerusi saman pemula yang difailkan pada 21 Januari 2006.

Mohammad Syawwaal Mohammad Nizar yang ketika itu pelajar tahun empat, mengemukakan permohonan melalui bapanya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, seorang jurutera yang juga bekas menteri besar Perak.

Selain Mohammad Syawwaal, pemohon terdiri daripada dua pelajar tingkatan tiga, Mohammad Fadzil Nor Mohd. Rosni dan Nur Najihah Muhaimin serta Syazaira Arham Yahya Ariff, pelajar tingkatan empat, melalui bapa masing-masing. Mereka menamakan kerajaan Malaysia yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan selaku responden.

Pemohon dalam saman pemula antaranya mendakwa, hak mereka sebagai pelajar untuk mempelajari dua mata pelajaran itu dalam bahasa kebangsaan telah dinafikan dengan adanya dasar tersebut.

Sehubungan itu, mereka memohon agar mahkamah memerintahkan pihak responden menukar semula dasar itu menurut kehendak dan peruntukan Perlembagaan dan Undang-Undang Bertulis.

Pemohon turut memohon perisytiharan bahawa responden tiada kuasa melaksanakan dasar pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris seperti yang terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas bertarikh 27 November 2002.

Jika Belum Ajal...Cuping Telinga Penyelamat Dari Jatuh Dari Tingkat 8

Budak tersangkut kerana cuping telinga


GAMBAR (dalam bulatan) menunjukkan tempat Ming Ming tersangkut pada palang besi.

BEIJING - Seorang budak lelaki China berusia enam tahun, Ming Ming terselamat daripada jatuh dari flat lapan tingkat di Yichang hanya disebabkan oleh cuping telinganya yang besar menyebabkan dia tersangkut pada palang besi di tepi tingkap, lapor sebuah akhbar semalam.

Kejadian berlaku ketika mangsa dipercayai cuba menjenguk dari tingkap untuk melihat datuknya yang keluar bekerja pada waktu pagi sebelum dia tergelincir, baru-baru ini.

Namun, Ming Ming bernasib baik apabila kedua-dua belah telinganya tersangkut pada penghadang palang besi menyebabkan dia menjerit dengan kuat untuk meminta pertolongan.


MING MING berdoa semasa dia diselamatkan oleh seorang anggota bomba.


Anggota-anggota bomba kemudiannya bertungkus-lumus menyelamatkan Ming Ming dengan menggunakan sejenis alat pengembang tekanan bagi membesarkan palang besi itu.

Dia berjaya ditarik semula ke dalam rumah tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap pasukan bomba, Wang Shen berkata, usaha menyelamat Ming Ming amat menakjubkan.

Menurutnya, budak itu mungkin terjatuh atau mengalami sesak nafas semasa tergantung di palang tersebut. - Agensi

Kelab Penyokong PAS Akan Di Naik Taraf.. Hebat La Kalau Macam Nie.. Apa Nak Tunggu Lagi Isi Borang Laaa...


ALOR SETAR, 6 Mei: Status Kelab Penyokong PAS akan dinaikkan taraf kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) tidak lama lagi, kata Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa. Menurutnya, tindakan menaikkan taraf kelab kepada dewan itu adalah ekoran sambutan yang begitu menggalakkan daripada masyarakat bukan Islam terhadap PAS.

"Selain daripada itu ia juga adalah bagi menembusi sokongan pengundi bukan Melayu dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang. Kelab ini juga telah diiktiraf sebagai entiti sayap seiring dengan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat yang sedia ada.

"Dengan pengiktirafan ini, maka ruang bagi bukan Islam yang menyokong perjuangan PAS untuk melibatkan diri mereka dalam aktiviti PAS atau sebagai aktivis adalah terbuka luas,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Sehingga ini, katanya keahlian kelab itu telah mencapai jumlah 20,000 orang.
“Daripada jumlah ini, 70 peratus adalah masyarakat keturunan India manakala 20 peratus lagi adalah masyarakat Cina dan 10 peratus adalah mewakili kaum-kaum lain," katanya.

Mujahid berkata, PAS mengiktiraf peranan dan sumbangan yang telah diberikan oleh masyarakat bukan Islam terutamanya dalam kempen pilihan raya yang telah diadakan sebelum ini.

"Ketika ini mereka adalah ahli dewan dan bukannya ahli PAS,” ujarnya.
Namun begitu, jelasnya keahlian mereka tetap mendapat pengiktirafan perlembagaan parti.

Sehubungan itu, tambahnya pada masa depan perkara itu akan dibincangkan sama ada perlu atau tidak untuk mereka menjadi ahli parti.

"Bagi peringkat awal ini, maka PAS Pusat akan melantik pimpinan dan ahli jawatankuasa DHPP sebelum ia diserahkan kepada ahli sendiri untuk membuat pemilihan kepimpinan mereka. Ia juga akan dipantau dari segi perjalanan, aktiviti dan program sebelum DHPP ini mampu bergerak sendiri," ujarnya lagi.

Syidatina Fatimah r.ha : Penghulu Wanita Syurga.. Moga Para Isteri dan Anak2 Perempuan Kita Akan Bersamanya Di Sana...



gambar hiasan






Dia membesar dalam suasana kesusahan. Bondanya pergi ketika usianya terlalu muda dan masih memerlukan kasih sayang seorang ibu. Sejak itu, dialah yang mengambil alih tugas menguruskan rumahtangga seperti memasak, mencuci, mengemas rumah dan menguruskan keperluan ayahandanya.

Di sebalik kesibukan itu, dia juga adalah seorang yang paling kuat beribadah. Keletihan yang ditanggung akibat seharian bekerja menggantikan tugas ibunya yang telah pergi itu, tidak pula menghalang Sayidatina Fatimah daripada bermunajata dan beribadah kepada Allah SWT. Malam- malam yang dilalui, diisi dengan tahajud, zikir dan siangnya pula dengan sembahyang, puasa, membaca Al Quran dan lain-lain. Setiap hari, suara halusnya mengalunkan irama Al Quran.

Di waktu umurnya mencapai 18 tahun, dia dikahwinkan dengan pemuda yang sangat miskin hidupnya. Bahkan oleh kemiskinan itu, untuk membayar mas kahwin pun suaminya tidak mampu lalu dibantu oleh Rasulullah SAW. Setelah berkahwin kehidupannya berjalan dalam suasana yang amat sederhana, gigih dan penuh ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Digelar Singa Allah, suaminya Sayidina Ali merupakan orang kepercayaan Rasulullah SAW yang diamanahkan untuk berada di barisan hadapan dalam bala tentera Islam. Lalu, seringlah Sayidatina Fatimah ditinggalkan oleh suaminya yang pergi berperang untuk berbulan-bulan lamanya. Namun dia tetap redha dengan suaminya. Isteri mana yang tidak mengharapkan belaian mesra daripada seorang suami. Namun bagi Sayidatina Fatimah r.ha, saat-saat berjauhan dengan suami adalah satu kesempatan berdampingan dengan Allah SWT untuk mencari kasih-Nya, melalui ibadah-ibadah yang dibangunkan.

Sepanjang pemergian Sayidina Ali itu, hanya anak-anak yang masih kecil menjadi temannya. Nafkah untuk dirinya dan anak-anaknya Hassan, Hussin, Muhsin, Zainab dan Umi Kalsum diusahakan sendiri. Untuk mendapatkan air, berjalanlah dia sejauh hampir dua batu dan mencedoknya dari perigi yang 40 hasta dalamnya, di tengah bahang mentari padang pasir yang terik. Kadangkala dia berlapar sepanjang hari. Sering pula dia berpuasa dan tubuhnya sangat kurus hingga menampakkan tulang di dadanya.

Pernah suatu hari, sedang dia tekun bekerja di sisi batu pengisar gandum, Rasulullah datang berkunjung ke rumahnya. Sayidatina Fatimah yang amat keletihan ketika itu lalu meceritakan keperitan hidupnya itu kepada Rasulullah SAW. Betapa dirinya teruk bekerja, mengisar tepung, mengangkat air, memasak serta melayan anak-anak. Dia berharap agar Rasulullah dapat menyampaikan kepada Sayidina Ali, kalau mungkin boleh disediakan untuknya seorang pembantu rumah. Rasulullah saw merasa belas terhadap penanggungan anakandanya itu. Namun baginda amat tahu, sesungguhnya Allah memang menghendaki kesusahan bagi hamba-Nya sewaktu di dunia untuk membeli kesenangan di akhirat. Mereka yang rela bersusah payah dengan ujian di dunia demi mengharapkan keredhaan-Nya, mereka inilah yang mendapat tempat di sisi-Nya.

Lalu dipujuknya Fatimah r.ha sambil memberikan harapan dengan janji-janji Allah. Baginda mengajarkan zikir, tahmid dan takbir yang apabila diamalkan, segala penanggungan dan bebanan hidup akan terasa ringan. Ketaatannya kepada Sayidina Ali menyebabkan Allah SWT mengangkat darjatnya. Sayidatina Fatimah tidak pernah mengeluh dengan kekurangan dan kemiskinan keluarga mereka. Tidak juga dia meminta-minta hingga menyusah-nyusahkan suaminya.

Dalam pada itu, kemiskinan tidak menghilang Sayidatina Fatimah untuk selalu bersedekah. Dia tidak sanggup untuk kenyang sendiri apabila ada orang lain yang kelaparan. Dia tidak rela hidup senang dikala orang lain menderita. Bahkan dia tidak pernah membiarkan pengemis melangkah dari pintu rumahnya tanpa memberikan sesuatu meskipun dirinya sendiri sering kelaparan. Memang cocok sekali pasangan Sayidina Ali ini kerana Sayidina Ali sendiri lantaran kemurahan hatinya sehingga digelar sebagai 'Bapa kepada janda dan anak yatim' di Madinah.

Namun, pernah suatu hari, Sayidina Fatimah telah menyebabkan Sayidina Ali tersentuh hati dengan kata-katanya. Menyedari kesilapannya, Sayidatina Fatimah segera meminta maaf berulang-ulang kali. Apabila dilihatnya air muka suaminya tidak juga berubah, lalu dengan berlari-lari anak dia mengelilingi Sayidina Ali. Tujuh puluh kali dia 'tawaf' sambil merayu-rayu memohon dimaafkan. Melihatkan aksi Sayidatina Fatimah itu, tersenyumlah Sayidina Ali lantas memaafkan isterinya itu.

"Wahai Fatimah, kalaulah dikala itu engkau mati sedang Ali tidak memaafkanmu, nescaya aku tidak akan menyembahyangkan jenazahmu," Rasulullah SAW memberi amaran kepada puterinya itu apabila perkara itu sampai ke pengetahuan baginda. Begitu sekali kedudukan seorang suami yang ditetapkan Allah SWT sebagai pemimpin bagi seorang isteri. Betapa seorang isteri itu perlu berhati-hati dan sangat berhalus di saat berdepan dengan suami. Apa yang dilakukan Sayidina Fatimah itu bukanlah disengajakan. Apatah lagi, bukan juga dia merungut-rungut, marah-marah, meninggi suara, bermasam muka, merajuk atau lain-lain keranah yang menyusahkan Sayidina Ali k.w. Pun Rasulullah SAW berkata begitu terhadapnya.

Semasa perang Uhud, Sayidatina Fatimah telah turut sama merawat luka Rasulullah. Dia juga turut bersama Rasulullah semasa peristiwa penawanan Kota Makkah dan ketika ayahandanya mengerjakan 'Haji Wida' pada akhir tahun 11 Hijrah. Dalam perjalanan haji terakhir ini Rasulullah SAW telah jatuh sakit. Sayidatina Fatimah tetap di sisi ayahandanya. Ketika itu Rasulullah membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah r.ha yang membuatkannya menangis, kemudian Nabi SAW membisikkan sesuatu lagi yang membuatkannya tersenyum.

Dia menangis kerana ayahandanya telah membisikkan kepadanya berita kematian baginda. Namun, sewaktu ayahandanya menyatakan bahawa dialah orang pertama yang akan berkumpul dengan baginda di alam baqa', gembiralah hatinya. Sayidatina Fatimah meninggal dunia enam bulan setelah kewafatan Nabi SAW, dalam usia 28 tahun dan dimakamkan di Perkuburan Baqi', Madinah.

Begitu sekali wanita yang utama, agung dan namanya harum tercatat dalam al-Quran, disusah-susahkan hidupnya oleh Allah SWT. Sengaja dibuat begitu oleh Allah kerana Dia tahu bahawa dengan kesusahan itu, hamba-Nya akan lebih hampir kepada-Nya. Begitulah juga dengan kehidupan wanita-wanita agung yang lain. Mereka tidak sempat berlaku sombong serta membangga diri atau bersenang-senang. Sebaliknya, dengan kesusahan-kesusahan itulah mereka dididik oleh Allah untuk sentiasa merasa sabar, redha, takut dengan dosa, tawadhuk (merendah diri), tawakkal dan lain-lain. Ujian-ujian itulah yang sangat mendidik mereka agar bertaqwa kepada Allah SWT. Justeru, wanita yang berjaya di dunia dan di akhirat adalah wanita yang hatinya dekat dengan Allah, merasa terhibur dalam melakukan ketaatan terhadap-Nya, dan amat bersungguh-sungguh menjauhi larangan-Nya, biarpun diri mereka menderita.

SUMBER
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.