Tindakan terbaru blogger seks Alvin Tan, yang dipercayai menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam status akaun Facebooknya, disifatkan sebagai 'pengganas' oleh Mingguan Malaysia.
Melalui ruangan Awang Selamat, akhbar itu berkata, sudah terlalu banyak penghinaan dibuat Alvin terhadap pihak berkuasa seperti ketua polis negara sehinggalah kepada perdana menteri.
Malah, institusi raja turut dicemari serta dicabar, begitu juga ke atas Islam dan orang Melayu, menurut Awang.
"Awang melihat perbuatan beliau ancaman kepada keselamatan dan keharmonian negara, yang sama bahaya, malah mungkin lebih berbanding individu yang menyertai, menyokong dan menyalurkan dana untuk kegiatan Negara Islam (IS).
"Dengan kata lain, tiada bezanya antara Alvin dengan pengganas," katanya dalam akhbar mingguan itu, hari ini.
Katanya, pihak berkuasa perlu bertindak lebih agresif untuk menyelesaikannya memandangkan perbuatan Alvin itu keterlaluan.
"Kegagalan bertindak akan memberikan isyarat yang salah kepada rakyat Malaysia dan menjadi dorongan kepada individu lain untuk menghina agama, kaum dan institusi raja sesuka hati," katanya.
Alvin dipercayai memuat naik kenyataan itu di Los Angeles, California, Amerika Syarikat berdasarkan catatan lokasi di laman Facebooknya, yang mendakwa sultan tidak mempunyai kuasa untuk memberi dan menarik balik gelaran kebesaran kepada mana-mana pihak.
Status tersebut dipercayai ditujukan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas baginda menarik balik gelaran Datuk Seri daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuatkuasa 3 November lalu.
Alvin dan bekas teman wanitanya Vivian Lee didakwa di bawah Akta Hasutan kerana memuat naik posting 'bak kut teh' pada bulan Ramadan tahun lalu, namun melanggar syarat ikat jamin dan lari mendapatkan suaka politik di Amerika Syarikat.
Sementara itu, Awang dalam ruangan sama berkata negeri lain juga perlu mengambil tindakan sama dengan melucutkan darjah kebesaran Anwar yang menjadi punca kepada banyak permasalahan sehingga menggugat kepentingan Islam, institusi raja dan kestabilan negara.
"Meskipun tindakan ke atas Anwar itu diambil oleh Sultan Selangor dalam konteks negeri tersebut, persoalan berlegar apakah negeri lain akan mengambil langkah yang sama ke atas beliau.
"Memandangkan Anwar dalam reaksinya menyatakan beliau tidak minta gelaran itu, tiada masalah besar jika gelaran yang diterima daripada negeri lain mahu pun pusat, dilucutkan," katanya.
Katanya, orang kanan Anwar yang kini menjadi Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali perlu menasihati ketua umum PKR itu supaya melepaskan jawatannya sebagai penasihat ekonomi Selangor.
Katanya, Azmin tidak boleh mengheret dirinya dalam permasalah Anwar yang makin besar liabilitinya kepada kerajaan negeri selain parti.
"Kini sultan bermenteri besarkan seorang yang mendapat khidmat penasihat ekonomi negeri yang baginda sudah murka. Takkan Azmin tidak faham," katanya
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/utusan-label-alvin-pengganas-lebih-bahaya-berbanding-is#sthash.TkIPadoZ.dpuf
0 comments:
Post a Comment