Batal Nikah Hanya Dengan SMS walaupun Hanya Tinggal 11 Jam Untuk Diijab Kabul Kerana Wali Enggan

KANGAR: “Maafkan sayang abang, abang sayang yang nak jadi wali itu tidak boleh terima abang lagi atas apa yang abang cakap keluarga sayang zalim.”

Begitu antara kandungan SMS diterima jurujual kenderaan dikenali sebagai Aizat 37, daripada bakal isterinya menyebabkan majlis ijab kabul pasangan berkenaan yang sepatutnya diadakan kira-kira jam 10 pagi semalam, dibatalkan.

Semuanya berpunca daripada pertelagahan baki wang hantaran yang sepatutnya dipersetujui kedua-dua pihak dilangsaikan ketika majlis akad nikah semalam.

Justeru, Aizat yang berasa dirinya dipermainkan dan ditipu keluarga gadis berkenaan membuat laporan di Balai Polis Kangar, kira-kira jam 10 pagi.

Aizat berkata, dia menerima SMS terbabit daripada bakal isterinya berusia 20 tahun yang dikenali sejak tiga bulan lalu jam 11.44 malam kelmarin iaitu 11 jam sebelum majlis akad nikah dijadual berlangsung di sebuah masjid di Simpang Empat, dekat sini. -HM


Tunang batal nikah melalui SMS

AIZAT merenung barang-barang hantaran untuk majlis pernikahan yang dibatalkan oleh tunangnya melalui SMS di Kangar semalam.

KANGAR - Impian seorang jurujual kereta di sini untuk berkahwin dengan gadis pilihannya berkecai selepas tunangnya itu membatalkan majlis pernikahan mereka melalui satu kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS).

Lebih melukakan hati lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Aizat, 37, kiriman SMS oleh gadis tersebut dibuat kira-kira 11 jam sebelum majlis perkahwinan mereka diadakan di sebuah masjid di Simpang Empat di sini pukul 10 pagi semalam.

Ekoran terkejut dan terkilan dengan keputusan pasangannya itu, Aizat tidak dapat tidur semalaman dan akhirnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar di sini semalam.

"Saya buat laporan ekoran rasa ditipu dan teraniaya oleh tindakan tunang saya dan keluarga perempuan yang membatalkan majlis akad nikah secara tiba-tiba.

"Saya sepatutnya bernikah dan bersanding hari ini (semalam) di rumah pengantin perempuan, namun impian saya musnah tiba-tiba," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Aizat, pasangannya yang dikenali sebagai Amira, 20, membatalkan pernikahan mereka atas alasan abang gadis itu yang merupakan wali perempuan berubah fikiran pada saat-saat akhir.

"Dalam SMS itu, Amira kata dia tidak boleh meneruskan perkahwinan kerana abangnya yang patut menjadi wali perkahwinan marah kerana saya pernah menuduh keluarga Amira sebagai zalim," ujarnya.

Menurut Aizat, sebelum itu dia ada terlepas cakap perkataan zalim itu ekoran tertekan dengan keluarga tunangnya itu yang berkeras mahu wang hantaran sebanyak RM8,860 diserahkan sebelum majlis pernikahan diadakan.-kosmo

Pengarah KL Gangster Bercinta Dengan Gadis Ini, Sudah Jalin Hubungan 3 Bulan... Bukan Kalangan Artis Lagi...

Syamsul Yusof lebih selesa menjalin hubungan dengan orang biasa. - Foto RAYMOND OOI

PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon Syamsul Yusof, 27, mengakui keintimannya dengan aktres Liyana Jasmay, 23, yang diperkatakan sejak tiga bulan lalu hanya cerita lama kerana mereka tidak bercinta seperti yang didakwa.

"Kami memang pernah rapat sebelum ini, itu tidak saya nafikan. Tapi hanya sekadar kawan dan ia cerita tiga bulan lepas pun.

"Masing-masing cuba untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih mendalam tetapi ia tidak menjadi serius.

"Sebagai lelaki, saya berkawan dengannya dan cuba untuk membawa hubungan itu ke fasa percintaan tetapi tiada keserasian," katanya yang ditemui di Menara Star, baru-baru ini.

Jelas Syamsul lagi, aktres bertubuh kecil itu bukan saja memiliki paras rupa yang cantik, malah turut mempunyai budi pekerti dan sikap yang baik.

Namun, faktor tiada keserasian antara mereka menjadikan hubungan itu lebih selesa dijalani atas dasar persahabatan saja.

"Sebagai lelaki, memang saya suka dan tertarik dengan ciri-ciri kewanitaan dan budi bahasa yang dimilikinya.

"Selepas lebih sebulan berkawan rapat, dia memang seorang wanita yang menawan tetapi faktor kurang serasi menjadikan hubungan kami tidak boleh pergi jauh," tuturnya.

Dalam pada itu, bekas kekasih kepada aktres Diana Danielle ini turut mengakui sedang menjalin hubungan dengan seorang gadis biasa yang masih menuntut.

"Saya sedang mengenali dan berkawan dengan seorang gadis yang berusia 20 tahun. Dia orang biasa dan masih belajar lagi.

"Mungkin jiwa saya ini lebih selesa menjalin hubungan dengan orang biasa dan bukannya artis atau selebriti.

"Lagipun, ayah saya selalu berpesan kalau hendak bercinta, sebolehnya cari pasangan daripada orang biasa saja,” katanya yang sudah tiga bulan mengenali gadis yang digelar 'S' itu.

Tiga nadi utama filem KL Gangster, Ady Putra (kiri), Aaron Aziz dan Syamsul Yusof.

Menyorot perkembangan terbaru kariernya, Syamsul mengakui berasa puas dengan filem kelima arahan dan lakonannya iaitu KL Gangster.

"Untuk filem kali ini, saya akui berasa lebih puas daripada filem-filem sebelum ini. Banyak aspek baru dan segar yang saya tekankan dalam KL Gangster.

"Ia bukan hanya filem aksi yang sarat dengan pertarungan semata-mata tetapi mempunyai keseimbangan pada aspek lakonan, skrip dan plot.

"Ini adalah filem aksi pertama saya yang tiada heroin dan hanya mempertaruhkan hero sahaja, saya harap kelainan ini dapat diterima oleh penonton," katanya.

Selain Syamsul, filem terbitan Skop Productions itu turut membariskan Aaron Aziz, Ady Putra, Zizan Raja Lawak dan Ridzuan Hashim.

KL Gangster akan mula ditayangkan pada 9 Jun ini di 90 pawagam seluruh Malaysia.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.