Farid Kamil dan Diana Danielle
Pengantin dikejutkan dengan hadiah kereta mewah BMW daripada bapa Farid.
Sama cantik sama segak. Hampir sebulan disatukan sebagai suami isteri, pasangan serasi, Farid Kamil dan Diana Danielle diraikan dalam majlis resepsi yang berlangsung di Taman Ekuestarian Putrajaya, Sabtu lalu.
Memenuhi impian perkahwinan dalam taman si mempelai wanita, majlis turut diserikan dengan kejutan buat tetamu yang dirangka sendiri sang suami.
Dari awal lagi, perhatian tetamu sudah diraih apabila dua pelakon popular tanah air ini tiba menaiki kereta kuda yang dikendalikan pegawai khas unit berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tidak cukup di situ, pasangan pengantin yang secocok berpakaian serba putih kemudiannya diarak ke pelamin.
Tentunya, majlis ini lebih bermakna buat Farid dan Diana kerana mereka tidak berdua, sebaliknya turut ditemani 'si kecil' yang berada di dalam perut Diana.
Bakal bergelar ibu bapa sembilan bulan lagi, pengantin baru yang ditemui selepas majlis berakhir sempat berkongsi keterujaan mereka sebaik mengetahui kehamilan Diana.
"Kami tak pun jangka saya akan hamil secepat ini. Debaran itu tiada, tetapi lebih kepada teruja.
"Apa pun, saya terima kurniaan Tuhan ini dengan senang hati," kata Diana yang semakin berseri.
Memandangkan usia kandungan masih baru, Diana memberitahu dia belum mengalami simptom ibu mengandung.