ADUN Pelabuhan Klang Cuai Dalam Tanggungjawab Sebagai Suami, Berkawan dengan Perempuan Lain: Setuju Ceraikan Isteri Dengan Talak Satu

KLANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya, Ramizah Mazlan di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Isnin.

Badrul Hisham, 51, dan Ramizah, 40, mendirikan rumah tangga pada 31 Julai 1993 dan dikurniakan lima anak iaitu Dzarul Ashroff, 17; Dzety Ashikin, 15; Dzureen Arysha, 11; Dzaleen Aryffa, 10, dan Dzarif Ashakimi, 5 tahun.

Perceraian tersebut dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Abdul Malek Soleh, sedangkan pada asalnya prosiding itu ditetapkan sebagai sambung bicara permohonan fasakh yang difailkan oleh Ramizah.

Bagaimanapun, peguam syarie Mahyuddin Md Zahari memberitahu, Badrul Hisham bersedia untuk melepaskan Ramizah, yang turut bersetuju untuk menarik semula dakwaan dan keterangan yang telah dikeluarkannya pada perbicaraan lalu.

Pada prosiding itu, Ramizah yang pernah bekerja sebagai penjaga stor diwakili oleh peguam syarie Norrasyada Osman.

Badrul Hisham memenangi kerusi Pelabuhan Klang pada Pilihan Raya Umum 2008 menerusi tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagaimanapun membuat keputusan untuk menjadi ADUN Bebas selepas keluar daripada parti tersebut pada 29 Oktober 2009.

Beliau akhirnya menjadi ahli UMNO secara rasmi apabila mengisi borang keahlian pada Mei 2010.

Pergolakan perkahwinan Badrul Hisham mula menjadi perhatian apabila Ramizah memfailkan permohonan fasakh mengikut Seksyen 52, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Kes tersebut dibicarakan kali pertama pada 28 Jun 2010 dan semasa itu Ramizah diwakili oleh peguam syarie Ahmad Nazib Johari yang merupakan calon PKR pada Pilihan Raya Sarawak baru-baru ini.

Berdasarkan penyataan tuntutannya yang dikemukakan di mahkamah sebelum ini, Ramizah mendakwa rumah tangga mereka sering bergolak disebabkan oleh sifat Badrul Hisham yang dikatakan berkawan dengan perempuan lain dan cuai dalam tanggung jawabnya sebagai suami.

Ramizah juga mendakwa mereka telah tinggal berasingan sejak 4 Januari 2010 ekoran berlaku salah faham selepas dia mempersoalkan tindakan Badrul Hisham.

KM Umumkan Anggota Kabinet Negeri Sarawak Tiada Perubahan - 8 Bekas Menteri Dilantik Semula

KUCHING, 18 April – Lapan bekas menteri negeri yang menang pilihan raya Sarawak kelmarin mengangkat sumpah sebagai anggota Kabinet negeri yang baru hari ini.

Bagaimanapun Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Tan Sri George Tan, yang juga timbalan ketua menteri, yang tewas pilihan raya negeri kelmarin tidak disenaraikan dalam barisan kali ini.

Barisan Nasional (BN) memperoleh 55 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengekalkan kuasa kerajaan negeri buat penggal ke-10.

Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri malam kelmarin – kira-kira 45 minit selepas BN Sarawak memperoleh majoriti dua pertiga.

Lima daripada daripada lapan pemimpin yang mengangkat sumpah adalah daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) dan masing-masing seorang wakil Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan SUPP.

Laporan media menyebut mereka mengangkat sumpah memegang jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di bangunan baru Dewan Undangan Negeri Sarawak di Petra Jaya di sini.

Anggota Kabinet yang mengangkat sumpah ialah Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu yang juga Timbalan Presiden PBB, Presiden PRS Datuk Seri Dr James Masing, Presiden SPDP Datuk Seri William Mawan, seorang lagi Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Timbalan Setiausaha Agung SUPP Datuk Seri Wong Soon Koh, Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Naib Presiden PBB Datuk Seri Michael Manyin dan Timbalan Ketua Wanita PBB Datin Fatimah Abdullah.

Bagaimanapun portfolio baru masing-masing belum diumumkan.

Giliran Blogger Sabahkini.net Disaman Oleh Menteri Dakwa Memfitnah

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim telah menfailkan satu lagi saman fitnah terhadap penulis blogger Sabahkini.net, Abdul Mutalib Mohamed Daud untuk menuntut ganti rugi dan injunksi setelah mendakwa difitnah dalam beberapa siri artikel antara 1 dan 7 Januari lalu.

Writ saman tersebut difailkan melalui firma guaman Tetuan Shahabudin dan Rozima di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Februari lalu.

Dalam pernyataan tuntutan, Rais berkata, defendan pada 1 Januari lalu telah menerbitkan artikel berunsur fitnah bertajuk 'Pak Lah halalkan rogol, UMNO halalkan zina?' dan 'PKR cabar Rais sumpah laknat' dipaparkan pada 3 Januari lalu.

Sementara pada 5 dan 7 Januari berjudul 'Rais Yatim seperti belut' dan ‘Video pengakuan rakan Robe Ngah' di http://sabahkini.net/v1 bersama gambar plaintif. Peguam Norhani Nordin mewakili plaintif memberitahu pemberita, pengurusan kes itu akan didengar pada 6 Mei ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.