Adakah Anak Anda Minum Minuman Ni... Haram Nie?

GEORGE TOWN, 24 Ogos — Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini menggesa kerajaan mengharamkan sejenis minuman ringan berakohol yang menggunakan label buah-buahan.

Presidennya S.M Mohamed Idris (gambar) berkata minuman ringan itu didapati mengandungi alkohol sehingga 5.5 peratus dan ia dijual secara meluas di pasar raya dan kedai 24 jam dan bebas dibeli oleh golongan remaja dan kanak-kanak.

“Minuman itu dijual dalam botol dan tin yang berwarna-warni dengan tujuan untuk menarik perhatian golongan muda terutama kanak-kanak sedangkan kandungan alkohol 5.5 peratus itu adalah tinggi dan tidak wajar dijual kepada kanak-kanak,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau mendakwa maklumat mengenai kandungan alkohol dalam minuman itu dicetak dengan kecil dan sukar dibaca, membuatkan pengguna menyangka ia adalah minuman ringan berperisa buah-buahan.

Kerajaan harus memandang serius penjualan minuman itu kerana undang-undang negara dengan jelas menyatakan penjualan minuman alkohol adalah dilarang kepada golongan berumur bawah 18 tahun, katanya.

Idris berkata CAP menerima banyak aduan ibu bapa yang menyatakan anak mereka mula menggemari minuman ringan beralkohol itu. — Bernama

Karpal Bidas Keputusan Mahkamah Rayuan - Penemuan Suruhanjaya Diraja Tak Pernah Dicabar

Peguam Karpal Singh membidas keputusan mahkamah rayuan yang membenarkan permohonan tiga individu yang mencabar hasil penemuan yang terkandung dalam laporan siasatan Inkuiri Suruhanjaya Diraja mengenai kemelut pita video Lingam.

Mahkamah rayuan dalam keputusan 2-1 hari ini memberi kebenaran kepada dua bekas ketua hakim negara Tun Eusoff Chin dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim bersama peguam Datuk VK Lingam mencabar hasil penemuan Suruhanjaya pada 2008 itu berhubung peranan enam individu, termasuk ketiga-tiga mereka yang didakwa terbabit dalam perlantikkan hakim-halim utama negara.

Tiga yang lain itu adalah jutawan perniagaan Tan Sri Vincent Tan, setiausaha agung Umno yang ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan mantan perdana menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad.

Karpal berkata keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini adalah betul dengan tidak membenarkan ketiga-tiga mereka mencabar keputusan siasatan Suruhanjaya Diraja itu.

Katanya, tidak pernah dalam sejarah Malaysia, kebenaran diberikan bagi mencabar hasil penemuan sebuah suruhanjaya diraja.

"Mahkamah rayuan silap dalam keputusan hari ini yang membenarkan rayuan itu. Apa yang pihak berkuasa sepatutnya lakukan ialah bertindak ke atas cadangan dan hasil penemuan dan mengambil tindakan ke atas individu-individu yang terbabit,” kata Karpal.

Berikutan keputusan mahkamah rayuan itu, merit kes berkenaan akan diserahkan semula ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (bahagian rayuan dan kuasa khas) untuk didengar.

Menurut Karpal pihak berkuasa juga gagal memulakan tindakan berikutan cadangan suruhanjaya itu.

Karpal sebelum ini menawarkan dirinya untuk mendakwa Lingam menurut Akta Profession Peguam, tetapi peguam negara tidak menerima cabaran itu.

Karpal berkata dalam insiden mata lebam bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri
Anwar Ibrahim, pihak berkuasa bertindak ke atas bekas ketua polis negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor yang didapati bertaggungjawab oleh suruhanjaya diraja itu.

"Ini sepatutnya apa yang perlu dilakukan (dalam kes Lingam),” katanya.

Pada 12 Dis 2008, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa penemuan suruhanjaya diraja itu tidak boleh disemak atau dicabar kerana ia bukan satu keputusan, dan ia tidak memberi kesan terhadap hak individu atau obligasi mereka yang terbabit.

Dalam penemuannya, panel lima anggota suruhanjaya itu mendapati klip video yang menunjukkan Lingam sedang bercakap dengan Ahmad Fairuz mengenai pelantikan hakim, adalah tulen.

Surahanjaya itu memperakukan agar tindakan sewajarnya dikenakan terhadap enam individu iaitu Lingam, Ahmad Fairuz, jutawan Tan Sri Vincent Tan, setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Mohd Eusoff kerana salah laku.

Suruhanjaya itu juga mendapati ada bukti yang cukup bagi menyiasat keenam-enam individu mengikut Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan Kanun Keseksaan dan Akta Profesion Undang-undang 1976.

Kecuali Dr Mahathir, lima yang lain mengemukakan permohonan agar mahkamah mengadakan semakan semula supaya hasil penemuan suruhanjaya itu dibatalkan.

Bagaimanapun, Tan dan Tengku Adnan telah menarik balik rayuan mereka berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada awal tahun ini.

Pesuruhjaya berkenaan -- pengerusi Tan Sri Haidar Mohd Noor, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Amar Steve Shim Lip Kiong, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar, bekas Peguam Cara Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim -- bersidang selama 17 hari untuk menyiasat klip video 14 minit itu.

Majlis Berbuka Puasa MB Kedah: Gejala Buang Bayi Bencana Kemanusiaan Sangat2 Hebat

Alor Setar, 23 Ogos 2010 – YAB Menteri Besar Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menyifatkan kes pembuangan bayi yang berleluasa akhir-akhir ini sebagai bencana kemanusiaan yang sangat hebat.

“Ia mengulangi apa yang berlaku di zaman Jahiliah dahulu,” ujarnya ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa Bersama Pegawai-pegawai Kanan Negeri, Persekutuan, Anak Syarikat Kerajaan Negeri, Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan dan Penghulu yang diadakan di Dewan Sri Mentaloon di sini.

Katanya, untuk mengelak berlakunya perkara negatif seperti itulah maka kerajaan negeri mengadakan sekatan-sekatan tertentu dalam penganjuran hiburan yang melampaui batas.


“Yang penting kita cari punca berlakunya perkara tersebut dalam mencari penyelesaian bukannya berubat setelah datangnya ‘penyakit’,” katanya.

Kepincangan dalam masyarakat, katanya, boleh berlaku apabila manusia dengan akal yang terbatas mengikut kehendak sendiri dalam mencari penyelesaian. Manusia sepatutnya mengikut ap yang diwahyukan oleh Allah SWT.

Antara aspek penting dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin ialah memberi makanan dari sumber yang halal.

“Sebagai ketua keluarga suami adalah pemimpin, dia harus memberi pendidikan sempurna kepada anak-anak di samping memberi makanan yang halal.

“Makanan yang halal ini bukan sahaja makanan itu adalah bersih dan boleh di makan, tetapi sumbernya juga mestilah bersih, duit itu bukan dari rasuah (contohnya),” katanya.

Menteri Besar berharap agar semua amalan yang dilakukan di bulan Ramadhan ini diterima oleh Allah SWT.

Video Hot: Mengapa Kedutaan Malaysia Di Indonesia Diserang Dalam Keadaan Yang Memalukan



Kedutaan Besar Malaysia ke Indonesia di Jakarta telah dilempar najis manusia oleh penunjuk perasaan daripada kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) pada satu demonstrasi petang ini.

Seorang daripada 37 penunjuk perasaan itu telah melemparkan najis itu ke dalam perkarangan kedutaan itu melepasi pintu pagar hadapan dan di atas kepala barisan anggota polis Indonesia yang sedang mengawal ketat di hadapan bangunan itu.

Mereka turut melepaskan najis itu ke atas bendera Malaysia yang dipijak-pijak di atas jalan tempat mereka berkumpul di hadapan kedutaan itu.

Kumpulan itu sebelumnya telah membawa lima bungkusan najis itu, ada yang diletakkan dalam kertas bungkusan makanan, dalam plastik dan dalam kotak polisterin dan dinyatakan sebagai "hadiah" untuk Duta Besar Malaysia ke Indonesia kerana Malaysia selama ini telah beberapa kali memberi "najis" yang lebih kotor kepada Indonesia.

Dengan tiba-tiba seorang daripada mereka melempar bungkusan kertas berisi najis itu ke dalam pagar kedutaan itu dan pada masa yang sama, najis turut dilepaskan ke atas bendera Malaysia yang mereka sedang pijak itu.

Demonstrasi itu diadakan bagi menandakan kemarahan mereka terhadap Malaysia yang mereka dakwa telah merendahkan maruah Indonesia dalam insiden di perairan Bintan pada 13 Ogos lalu apabila polis Malaysia menahan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia.

Ia juga untuk menyatakan kekecewaan rakyat terhadap kepemimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, yang dikatakan sangat lemah menghadapi Malaysia. Berikutan kejadian lempar najis itu polis Indonesia menangkap tiga orang pelaku berkenaan.

Demonstrasi itu berlangsung selama sejam. Seorang wakil kumpulan itu kemudian memberitahu wartawan yang meliputi peristiwa itu bahawa mereka telah memberi kata dua kepada polis Indonesia iaitu lepaskan rakan-rakan mereka itu daripada tahanan atau mereka akan melakukan operasi usir rakyat Malaysia petang ini.

Operasi yang dinamakan "Sweeping Rakyat Malaysia" itu dirancang akan dilakukan di hadapan bangunan kumpulan itu di Jalan Diponegoro, Menteng, di Jakarta. Polis Indonesia telah menugaskan ramai anggota untuk mengawal ketat di hadapan bangunan kedutaan Malaysia, setelah mendapat maklumat bahawa demonstrasi berkenaan akan disertai antara 300 dan 500 penunjuk perasaan.

Dalam insiden di perairan Malaysia-Indonesia itu, bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan menahan tujuh nelayan Malaysia manakala Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai pengkuatkuasa kementerian dari Indonesia itu, masing-masing kerana didakwa menceroboh wilayah masing-masing. Kedua-dua negara kemudian membebaskan tahanan-tahanan itu pada 17 Ogos lalu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.