Kilang Carlsberg Dilawati Pemimpin PAS - Ada Apa Disebalik Lawatan Tu..?

Seorang ahli parlimen PAS yang terkenal dengan kontroversinya tersendiri, Khalid Samad kini mengambil langkah berani dan mengejutkan dengan melawat sebuah kilang arak di kawasannya.

Lawatan kerja wakil rakyat Shah Alam itu ke kilang Carlsberg di Seksyen 15 petang semalam mungkin yang pertama seumpanya dilakukan seorang pemimpin parti Islam itu.

"Mungkinlah (yang pertama), saya pun tidak tahu," katanya sambil ketawa ketika ditanya sama ada beliau orang pertama yang memecahkan kepantangan (tabu) itu.

Khalid (
kanan) yang juga anggota biro politik PAS menulis dalam blognya, beliau dan beberapa ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melawat kilang itu bagi membincangkan cadangan pemindahan stesen bas Shah Alam daripada Sekyen 16 ke tapak itu.

Bagaimanapun, kunjungan itu mungkin mengundang syak dan fitnah ekoran arak merupakan minuman haram dalam Islam dan dianggap sebagai "ibu segala maksiat".

Dalam lawatan itu, rombongannya disambut oleh timbalan pengarah urusan syarikat itu Datuk Chin Voon Loong, yang kemudiannya memberikan taklimat berhubung latar belakang dan prestasi kilang itu sejak dibangunkan 38 tahun lalu.

Ketika dihubungi
Malaysiakini hari ini, Khalid menegaskan beliau mengambil inisiatif melawat kilang tersebut hanya bagi melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat.

"Tentulah saya kena pergi. Kilang tersebut terletak dalam kawasan (parlimen) saya," jelas Khalid.

Tidak mungkin digunakan

Bagaimanapun, beliau dilihat telah bersedia dengan kemungkinan itu apabila menulis ayat pertama dalam artikel berjudul 'Lawatan Kerja ke Kilang Carlsberg dengan' dengan:

"Tajuk
posting saya kali ini barangkali akan memeranjatkan sesetengah pihak."

Malah, Khalid mengakui merasa bimbang gambar yang diambil di kilang tersebut akan disalahgunakan oleh penyokong parti lawan bagi menyerangnya.

"Terdetik juga rasa khuatir bahawa gambar itu akan disalahgunakan oleh pihak penyokong UMNO sepertimana yang terjadi dengan isu kuil Seksyen 19 dahulu di mana ianya diputar-belitkan.

"Namun, saya berserah kepada Allah dan saya rasa tiada yang perlu saya takutkan kerana saya tahu mengapa saya ke situ," katanya.

Bagaimanapun, di sebalik 'kejutan' itu, rundingan dengan pihak kilang dilihat mungkin mengalami laluan sukar apabila Khalid menulis "kemungkinan mereka (Carlsberg) berpindah adalah amat tipis sekali"

"Sekiranya diminta berpindah sekalipun, ianya memerlukan perbelanjaan yang terlalu besar yang perlu ditanggung oleh pihak kerajaan negeri.

"Oleh itu, walaupun tapak itu kelihatan yang paling strategik, ia tidak mungkin digunakan untuk terminal bas Shah Alam," tambah Khalid.

"Satu tapak yang lain, yang berhampiran landasan keretapi komuter dan juga lebuh raya perlu dikenalpasti."

Keputusan Mahkamah Rayuan Sahkan Teori Konspirasi Umno-BN Terhadap Anwar


Keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan nota perubatan Hospital Kuala Lumpur bagi membantu pembelaannya dalam perbicaraan Fitnah II, membuktikan kes ini tidak lagi mengambil pendekatan undang-undang, tetapi bertindak di luar amalan perundangan Malaysia dan negara Komanwel serta sekali gus mengesahkan teori konspirasi.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff menjelaskan mendapatkan bahan bukti adalah asasi pihak yang dituduh dan keputusan mahkamah mencerminkan prinsip ini telah dinodai.

Apatah lagi permohonan Anwar dibuat selaras dengan peruntukan Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah yang dipinda pada 2006 yang membenarkan pendakwaan mendedahkan bukti kes secara automatik sebelum perbicaraan.


"Tidak pernah terjadi sebelum ini pihak pembelaan dinafikan hak ke atas dokumen berkaitan sedangkan ia merupakan prinsip asas, iaitu pihak yang didakwa mempunyai hak penuh untuk membuat pembelaan sebaik mungkin.

"Ada wujud satu pepatah perundangan yang mengatakan 'Adalah lebih baik melepaskan sepuluh orang yang bersalah, daripada menghukum seorang yang tidak bersalah,'" kata beliau.

Yusmadi menjelaskan, mahkamah sepatutnya memberikan 'benefit of doubts' atau 'keraguan pertuduhan' kepada mereka yang didakwa kerana keraguan yang muncul sepanjang perjalanan kes tersebut memungkinkan kes ini digugurkan.

Tegas beliau perkembangan yang berlaku dalam perbicaraan tersebut setakat ini secara jelas mengesahkan teori dan persepsi wujudnya konspirasi untuk menjatuh dan mencemar karier politik Ketua Umum KEADILAN itu.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datin Paduka Zaleha Zahari, Datuk Abdul Malik Ishak dan Datuk Clement Allan Skinner hari ini menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan nota perubatan daripada tiga doktor HKL. -SK


Rayuan Anwar untuk nota perubatan ditolak

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada mendapatkan nota-nota perubatan dari tiga doktor Hospital Kuala Lumpur yang merawat pengadu kes liwatnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Datin Paduka Zaleha Zahari yang mengetuai panel tiga hakim berkata keputusan itu dicapai selepas berbincang dengan panjang berhubung takat bidang kuasa.

"Ia tidak menolak hak tertuduh. Untuk menjawap soalan oleh perayu, sama ada ia menolak hak tertuduh, jawapan kami adalah negatif.

“Justeru, kami menolak rayuan itu,” katanya

Zaleha berkata mahkamah juga bersetuju dengan penghujahan yang dibuat oleh Peguam Cara II Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Hakim-hakim lain yang bersidang hari ini adalah Datuk Abdul Malik Ishak dan Datuk Clement Allan Skinner.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Julai lalu menolak permohonan Anwar Ibrahim bagi mendapatkan semua laporan perubatan yang disediakan oleh tiga doktor yang terlibat.

Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah dalam keputusannya berkata tidak ada peruntukan atau asas undang-undang yang mengatakan dokumen itu perlu dibekalkan.

Permohonan itu dikemukakan oleh peguam Anwar pada 4 Jun lalu.


Beliau meminta semua nota klinikal dan laporan perubatan, bahan, spesimen, emel, nota bertulis tangan, surat-menyurat, catatan dan pemerhatian oleh ketiga-tiga doktor yang telah memeriksa pengadu kes itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun 2008, dua hari selepas mendakwa dia diliwat oleh Anwar.

Selain itu, peguam Anwar juga mahu pihak pendakwa menyerahkan peralatan yang lazim digunakan semasa ujian untuk serangan seksual diberikan kepada mereka.

Pihak pembela juga ingin mendapatkan maklumat berhubung kelayakan dan pengalaman ketiga-tiga doktor berkenaan yang merawat Saiful - Dr Khairul Nizam Hassan, Dr Mohd Razali Ibrahim dan Dr Siew Sheue Feng.

Dr Mohd Razali adalah pakar bedah di HKL yang telah memeriksa bekas pembantu Anwar dengan pakar rawatan kecemasan Dr Khairul Nizam dan pakar patologi forensik Dr Siew.

Semasa pemeriksaan utama, Dr Mohd Razali mengesahkan berlaku penetrasi zakar berdasarkan laporan kimia yang menunjukkan kehadiran air mani pada empat kapas kesat yang diambil daripada Mohd Saiful.

Anwar juga gagal bagi mendapatkan dokumen utama termasuk sampel spesimen DNA Mohd Saiful sebelum bermulanya perbicaraan kes liwatnya, apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bagi semakan keputusan Mahkamah itu yang tidak menyebelahinya pada 2 Februari tahun ini.

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Anwar boleh dipenjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Seorang pakar forensik yang didatangkan khas dari Australia oleh pihak pembela, Dr David Wells, sebelum ini mengadu bahawa beliau tidak dapat menjalankan tugasnya jika dokumen berkenaan tidak dibekalkan.

Profesor dari Victoria Institute of Forensic Medicine itu berkata peranannya sebagai penasihat pihak pembela akan terjejas tanpa dokumen berkenaan.

Prosedur lazim bagi kes jenayah adalah bagi pihak pendakwa membekalkan semua dokumen berkaitan kepada pihak pembela sebelum permulaan perbicaraan. -mk


Ulasan GB

Sistem kehaikman yang digunakan di negara ini sudah ketinggalan. Laksanakan sistem juri. UMNO BN takut untuk melaksanakan sistem juri kerana mereka tidak akan dapat memperkudakan institusi kehakiman negara lagi nanti.

"Rancangan politik kerajaan adalah untuk menghumban Anwar ke penjara supaya pembangkang menjadi kucar-kacir dan tidak bersedia. Kemudiannya, pilihan raya mengejut diumumkan dan mereka akan menang dengan mudah,” kata duta Amerika Syarikat ke Malaysia, John R Malott, melalui rencana pengarangnya yang disiarkan di The Wall Street Journal - akhbar yang paling tinggi edarannya di Amerika.

Menurut Malott adalah mustahil bagi Anwar bagi menang pada perbicaraan itu, lebuh-lebih lagi apabila bukti-bukti penting kes itu dinafikankepada peguamnya. Malah, media-media yang dikuasai kerajaan telah juga menghukumnya dengan mendapati beliau 'bersalah' dalam laporan mereka.

"Malaysia tidak mempunyai sistem juri. Keputusan ditentukan oleh seorang hakim yang dilantik oleh kerajaan yang sama yang mahu Anwar dikeluarkan dari politik,” katanya.

Dalam artikelnya itu juga, Malott mendakwa kerajaan BN sekarang dibelenggu oleh pelbagai masalah dan mereka bertekad untuk mengurung Anwar agar segala kepincangan itu tidak dihebohkan.

Sistem Kehakiman Negara Makin Reput : Hakim Azahar Tolak Petisyen Zaid

Mahkamah Putra JayaOleh Kim Quek

Keputusan Hakim Azahar Mohamed untuk menolak permohonan Zaid Ibrahim membuka lembaran sejarah paling kotor dalam pilihan raya kecil (kawasan parlimen Hulu Selangor). Keputusan ini memang dijangka.

Malahan, sebaik sahaja saya mendapat tahu Ketua Hakim Zaki Azmi – bekas pemimpin Umno – melantik Azahar untuk mengendali kes ini, saya tahu bahawa prospek Zaid menuju kehancuran.

Bukankah Azahar merupakan hakim yang mengendalikan penghakiman bersifat "double standard" dalam kes Speaker melawan Speaker di Perak pada 8 September 2009?

Dalam penghakiman itu, berhubung isu kekecuhan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 7 Mei 2009, beliau menolak aduan V Sivakumar, speaker dari Pakatan Rakyat terhadap Speaker Barisan Nasional Ganesan atas alasan beliau tidak mempunyai bidang kuasa untuk mencampuri urusan DUN.

Tetapi beliau gagal untuk menyedari hakikat bahawa dengan mengisytiharkan pelantikan Ganesan sebagai speaker ketika dalam sidang DUN yang sama adalah satu tindakan yang melanggar undang-undang. Malahan beliau telah campur tangan di mana beliau berkata beliau cuba mengelak dari campur tangan.

Tindakan Azahar yang bercanggah ini begitu ketara, ibarat menampar muka sendiri. Sila baca rencana bertajuk "Speaker melawan Speaker: Hakim Azahar Menampar Mukanya Sendiri" dalam buku saya, "The March to Putrajaya."

Reputasi Azahar dicurigai

Dan bukankah Azahar sebagai pendakwa yang dituduh memalsukan bukti terhadap Anwar Ibrahim ketika perbicaraan rasuah 10 tahun lalu, yang mendapat kutukan dari seluruh dunia sebagai pencabulan terhadap keadilan dan pendakwaan bermotifkan politik semata- mata? (Ini merupakan suatu pertuduhan di mana Azahar tidak menafikannya, lihat nota 1 di bawah).

Apa lagi keputusan yang boleh kita harapkan daripada seorang bekas pemimpin Umno yang melantik seorang hakim yang mempunyai reputasi buruk untuk mendengar kes politik berprofil tinggi ini?

Sekarang, mari kita melihat penghakiman Azahar secara teliti dan terperinci.

Azahar membenarkan permohonan P Kamalathan dari Barisan Nasional (BN) untuk menyingkir petisyen Zaid berdasarkan alasan-alasan berikut:
  • Zaid gagal untuk mengenalpasti penerima dari perbuatan rasuah.
  • Zaid gagal membuktikan bagaimana tindakan-tindakan dakwaan rasuah telah mempengaruhi keputusan pilihan raya itu.
  • Zaid gagal menyediakan teks penuh atau transkrip dakwaan rasuah.
Dakwaan Zaid tentang berlakunya rasuah dalam petisyen ini hanya tertumpu kepada tawaran Perdana Menteri Najib Tun Razak sebanyak RM3 juta kepada sebuah sekolah Cina dan tawaran bayaran tunai kepada para peneroka Felda walaupun terdapat banyak lagi tawaran kebendaan sebagai umpan oleh BN melibatkan nilai berjuta-juta ringgit ketika kempen pilihan raya.

Bukti rasuah yang berleluasa

Apabila Najib membuat tawaran RM3 juta ketika menjelang hari mengundi, beliau memberitahu para pengundi di Rasa bahawa mereka boleh datang ke pejabatnya untuk mendapatkan bayaran itu pada keesokan harinya jika Kamalanathan menang. Tetapi beliau menambah, "jika kita kalah, tak payah datang."

Tawaran rasuah yang sensasi ini dengan secepat kilat dimuat dalam internet, yang dibaca di seluruh dunia, termasuk muatan di dada akhbar-akhbar pada hari esoknya.

Peristiwa ini menggemparkan orang ramai, tetapi Najib bukan sahaja tidak merasa bersalah tetapi beliau nampak berbangga dengan tindakan itu apabila beliau menyatakan bahawa ini membuktikan "kebolehpercayaan" terhadap dirinya ketika kempen pilihan raya parlimen di Sibu.

Beliau membuat kenyataan yang serupa kepada para pengundi Sibu menjelang hari mengundi. Kali ini ucapan penuhnya dirakam dalam video dan dimuat dalam YouTube hingga menarik minat audien yang lebih luas.

Tawaran tunai oleh Najib kepada para peneroka Felda Sungai Buaya ialah RM160,000 kepada bekas para peneroka untuk setiap ekar tanah yang dimajukan dan RM50,000 untuk waris-waris peneroka yang telah meninggal dunia. Tawaran ini diumumkan di depan khalayak ramai dan dilaporkan oleh media.

Adakah perbuatan-perbuatan ini membuktikan berlakunya sogokan dan rasuah pilihan raya di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954? Marilah kita lihat Seksyen 32 (a) dan 32 (c) Akta yang sama, di mana Zaid menjadikannya sebagai asas dalam petisyen beliau.

Seksyen 32, bertajuk "Mengelak berlakunya pilihanraya dalam petisyen pilihanraya" berbunyi:
"Pemilihan calon pada mana-mana pilihan raya harus diisytihar sebagai terbatal dalam petisyen pilihan raya berdasarkan salah satu, yang mana terbukti Hakim Pilihan Raya berpuas hati:
  • Rasuah umum, layanan umum atau gangguan umum berlaku secara berleluasa sehingga dianggap boleh memberi kesan kepada keputusan pilihan raya.
  • Bahawa perbuatan rasuah atau perbuatan tidak sah berlaku berhubung dengan pilihan raya oleh calon atau dengan pengetahuannya atau persetujuannya atau oleh mana-mana agen calon.
  • " (Terdapat 5 sub-seksyen di bawah Seksyen 32).

Asas penghakiman adalah pelik

Selepas membacanya, adakah seorang rakyat biasa, mempunyai keraguan walau sedikit, bahawa rasuah untuk meraih undi telah berlaku?

Bukankah amat jelas bahawa tawaran RM3 juta merupakan tawaran untuk pertukaran undi-undi untuk Kamalanathan? Adakah tawaran tunai kepada para peneroka Felda merupakan umpan secara terang-terangan untuk mendapatkan undi kepada BN?

Adakah para hakim kita mempunyai fikiran yang waras dan logik sepertimana yang dimiliki oleh rakyat biasa?

Hakim Azahar menyatakan bahawa penerima-penerima sogokan mesti dikenalpasti dan bukti dikemukakan tentang berlakunya sogokan dan oleh sebab itu, memberi kesan kepada keputusan pilihan raya, ketika beliau belum lagi mendengar kes ini dengan sepenuhnya.

Tetapi bukankah percubaan untuk memberi rasuah sudah cukup untuk membuktikan kesalahan? Kenapa hakim mesti meminta bukti yang bukan-bukan pada peringkat awal apabila responden memohon kes ini ditolak sebelum mendengarnya?

Adakah terdapat bukti yang cukup pada peringkat ini untuk sekurang-kurangnya menarik keprihatinan hakim untuk terus mendengar supaya keadilan tidak dinafikan.

Apa guna hakim Azahar berada di sini – untuk menegak keadilan atau berkhidmat untuk sesuatu?

Adakah beliau sedar bahawa beliau telah mencabul sistem kehakiman, dan keseluruhan sistem demokrasi kita, apabila membuat penghakiman yang disifatkan menjangkau batas keadilan.
Penerima dakwaan rasuah tidak dikenalpasti?

Balik kepada alasan Azahar untuk tidak mendengar petisyen Zaid. Beliau berkata, para penerima dakwaan rasuah tidak dikenalpasti.

Bukankah para pengundi Rasa dan Sungai Buaya penerimanya? Jika seluruh negara, dan malahan seluruh dunia, mendapat akses kepada berita ini, maka kenapa Azahar begitu curiga tentang fakta ini sehinggakan beliau enggan mendengar lebih lanjut?

Azahar berkata Zaid tidak menyerahkan bukti bahawa dakwaan rasuah telah memberi kesan kepada keputusan pilihan raya. Apa jenis bukti yang beliau fikirkan?

Adakah beliau mengharapkan pengundi A bersumpah bahawa beliau hendak mengundi Zaid tetapi memandangkan terdapat tawaran daripada Najib, beliau merubah fikiran dan mengundi Kamalanathan?
Jika pengundi A benar-benar berbuat demikian, adakah Azahar boleh menerima pengakuan pengundi A sebagai suatu kebenaran yang murni?

Jika tidak, apakah bukti lain yang beliau ada dalam benaknya sebelum beliau bersetuju bahawa tawaran itu merupakan umpan yang boleh merubah keputusan para pengundi?

Hakim Azahar…… janganlah membuat perkara karut ini hingga menjadi pelik!

Azahar juga berkata beliau menolak kes ini kerana Zaid tidak menyediakan teks ucapan penuh Najib atau transkrip. Tetapi jika seluruh dunia tahu ucapannya dan malahan beliau sendiri merasa megah dengan perkara ini, adakah Azahar membuat sesuatu perkara yang memperlihatkan kebodohannya sendiri dengan menolak kes atas alasan yang remeh ini?

Kita telah melihat banyak peristiwa karut dan pengkhianatan terhadap mahkamah di negara ini. Apa yang sepatutnya Zaid lakukan ialah membuat rayuan sehingga ke peringkat mahkamah tertinggi.

Biar seluruh dunia melihat betapa jahatnya sistem kehakiman kita. Dan biar seluruh rakyat Malaysia sedar bahawa satu-satu cara untuk mendapatkan keadilan di negara ini ialah dengan menukar kerajaan.

Nota 1:
Azahar, pada ketika itu seorang pendakwa raya, dituduh memalsukan bukti terhadap Anwar Ibrahim bersama Gani Patail ketika perbicaraan kes rasuah pada 1999 dalam kes Zainur Zakaria melawan Pendakwa Raya. Mahkamah Persekutuan kemudiannya memutuskan terdapat kes "prima facie" untuk menjustifikasikan permohonan untuk menolak penglibatan kedua-dua pendakwa raya ini, kerana kedua-duanya tidak menafikan pertuduhan pada ketika itu. Kenyataan itu tidak bercanggah atau dicabar sehingga hari ini. Anda boleh merujuk kepada laman web Majlis Peguam untuk maklumat lanjut:
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.