Mengapa orang Penan tidak lapor polis? Sukar Sungguh2

Kumpulan Sokongan Penan, Forum-Asia dan AIWN (Asian Indigenous Women's Network) telah mendedahkan tujuh kes baru penderaan seksual terhadap wanita Penan oleh pekerja balak pada 6 Julai 2010.

Pendedahan ini mengundang kemarahan Ketua Polis Negeri Sarawak, lantas menyangkal tuduhan bahawa polis menyembunyikan kebenaran. Beliau mendakwa bahawa polis belum menerima laporan mangsa atau orang lain setakat ini, malah mempersalahkan mangsa yang enggan bekerjasama, dan bukannya ketidaksungguhan polis sebagaimana yang dituduh.

Pada 9 Julai 2010, Menteri Pembangunan Tanah Negeri Sarawak, James Masing mencadangkan polis untuk memohon kepada mahkamah, agar waran dikeluarkan untuk menangkap mangsa eksploitasi seksual yang enggan bekerjasama, malah mengambil keterangan daripada NGO yang mendedahkan laporan ini.

Menteri Pembangunan Bandar dan Perumahan Sarawak, Amar Abang Johari Tun Openg yang pernah menjaga hal ehwal orang Penan mendakwa dirinya tidak pernah mendengar khabar sedemikian (eksploitasi seksual), dan tidak faham mengapa ia berlaku sekarang.

"Mengapa mereka tidak membuat laporan polis?" Demikianlah persoalan yang dilontarkan terhadap mangsa eksploitasi seksual.

Jauh di pedalaman

Mereka yang tidak pernah menjenguk ke kawasan pedalaman Sarawak tidak akan faham, malah Yang Arif Tuan Hakim yang pergi ke tempat ini dengan helikopter khas polis juga tidak mungkin memahami, betapa susah perjalanannya, dan betapa jauh jaraknya, jikalau mangsa pencabulan seksual ingin membuat laporan polis.

Pada November 2009, saya melawat ke satu perkampungan Penan di Uru Baram dari Miri, mengambil masa tujuh jam dalam kereta penggerak empat roda. Kemudian, kami menaiki sampan selama satu jam untuk sampai ke destinasi. Sekiranya air sungai terlalu cetek, maka kita perlu berjalan kaki untuk dua jam. Perkampungan Penan di Uru Baram terasing dari dunia kita, tanpa sebarang kemudahan telekomunikasi.

Seandainya saya didera secara seksual pada suatu malam, di perkampungan Penan sebegitu, dan saya ingin membuat laporan polis, maka saya perlu melalui halangan-halangan berikut. Pertama, saya perlu menaiki sampan, dengan syarat sampan itu mempunyai petrol yang mencukupi, dan pengemudi sampan tidak memburu di hutan (kerana pemburu perlu meninggalkan kampung untuk beberapa hari jikalau memburu di hutan). Pilihan lain untuk saya adalah, meninggalkan kampung Uru Baram dengan menyusur jalan di tepi sungai.

Sampan akan membawa saya ke jalan yang membolehkan saya menaiki kereta penggerak empat roda. Saya perlu menunggu sebuah kereta yang lalu di situ untuk membawa saya ke balai polis terdekat. Saya perlu menunggu satu atau dua jam kalau bernasib baik, sebaliknya, setengah hari akan disia-siakan begitu sahaja.

Saya perlu membayar sekurang-kurangnya RM100 hingga 200 kepada pemandu kereta penggerak empat roda, dan kereta ini kemungkinan besar dimiliki syarikat pembalak. Saya perlu sekurang-kurangnya tiga jam untuk sampai ke balai polis yang terdekat. Ia dianggap lancar jikalau laporan itu diterima. Tetapi, ia memerlukan perjalanan satu hingga dua jam (dengan menaiki kereta) lagi jikalau ingin menuju ke balai polis yang mempunyaiInvestigation Officer.

Sesungguhnya, saya boleh memilih untuk berjalan kaki. Menurut penduduk kampung, perjalanan dari kampung ke balai polis yang terdekat memerlukan dua hingga tiga hari. Dengan kata lain, saya perlu mengheret diri saya yang terluka dari fizikal dan mental, untuk mengharungi perjalanan ini, malah terpaksa tidur di dalam hutan pada waktu malam.

Terlupa pula saya untuk mengingatkan anda, definisi "fresh case" untuk kes pencabulan seksual oleh polis dan hospital adalah, laporan polis dalam masa 72 jam selepas kejadian berlaku. Pada hemat anda, mungkinkah mampu saya untuk melakukannya dengan syarat yang sedemikian? Andaikan diri anda yang menjadi mangsa, sanggupkah anda membuat laporan polis setelah mengalami penyeksaan sedemikian?

Kesemua puak Penan di pedalaman menghadapi masalah yang sama, iaitu balai polis di yang jauh di tepi langit, menjurus kepada masalah aksesibiliti dan kos pengangkutan yang tinggi.

Bukan soal tidak mahu pergi, tetapi tidak mampu pergi. Jika pun sampai di balai polis, ia perlu menyelesaikan masalah tidak fasih bahasa. Ada pula yang tidak mempunyai kad pengenalan, bagaimana untuk membuat laporan polis? Oleh yang demikian, kebanyakan kes yang didedahkan bukanlah kes yang baru, malah mungkin telah berlaku untuk banyak tahun dahulu. Jadi, bukan mereka tidak mahu, tetapi mereka tidak tahu kepada siapa mereka boleh mengadu.

Hubungan yang tidak sama rata

Selain faktor "jarak", satu lagi punca "tiada laporan polis dibuat" adalah, orang Penan terpaksa bergantung kepada syarikat pembalakan, khususnya di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai perkhidmatan sosial. Syarikat pembalakan menggunakan hubungan yang tidak sama rata ini untuk mengawal dan mengeksploitasi kaum Penan.

Kereta syarikat pembalakan merupakan satu-satunya alat pengangkutan yang menghubungi dunia luar. Kanak-kanak yang mahu pergi belajar, mendapatkan rawatan di klinik dan hospital, malah urusan dokumen kanak-kanak (seperti surat beranak, kad pengenalan) semuanya bergantung kepada kereta-kereta ini ini.

Syarikat pembalakan amat sedar, bahawa kaum Penan tidak mempunyai saluran aduan, lantaran masalah jarak dan kemiskinan. Maka kaum Penan dieksploitasi sepenuhnya. Tanah, hutan dirampas, malah eksploitasi seksual yang sama dahsyat tahapnya dengan pencabulan seksual.

Segala-gala ini berlaku tanpa kerelaan. Eksploitasi ini sesuatu yang yang terancang dan bersistematik. Jangan terlupa pula, bahawa pencabulan yang dilakukan bukan sahaja pencabulan seksual, malah antaranya termasuklah keganasan, melarikan orang, kahwin paksa, keganasan keluarga dan pelbagai ancaman.

Semua mangsa penderaan yang saya temui pernah menerima ancaman daripada pendera. Pendera akan mengugut untuk mencederakan mangsa dan ahli keluarganya, yang kemudiannya memberi laluan kepada kahwin paksa. Setelah dieksploitasi atau selepas mangsa mengandung, maka mereka akan dibiarkan begitu sahaja.

Malah ada yang terang-terang masuk untuk merampas perempuan di kampung, dan membawa mangsa ke asrama. Punca mereka bermaharaja rela di situ hanyalah satu, pekerja ini yakin bahawa mereka boleh mencabul orang Penan sewenang-wenangnya kerana hubungan yang tidak sama rata ini.

Prejudis kerajaan dan polis terhadap Penan

Biarpun orang Penan berjaya sampai ke balai polis setelah mengharungi pelbagai rintangan, tetapi mereka akan berdepan dengan rintangan satu lagi, iaitu prejudis kerajaan dan polis, yang membantutkan perkembangan siasatan kes sedemikian. Berulang kali ahli politik Sarawak menafikan peristiwa ini, mereka menolak tanggungjawab ini kepada orang Penan. "Mereka (gadis Penan) mudah terpedaya, diperalatkan untuk mencalar imej kerajaan."

"Mereka pandai bercerita", "NGO tempatan dan asing mencemburui pembangunan negara kita," prejudis inilah yang mengakibatkan tidak wujudnya ruang dan suasana yang mesra untuk menyokong mereka, agar mereka memilih untuk membuat laporan polis, atau sekurang-kurangnya mendedahkan peristiwa ini.

Persoalan seterusnya, apakah keadilan akan dikembalikan kepada mangsa seandainya laporan polis dibuat?

Pada tahun 2008, dua orang mangsa yang tidak mempercayai polis tempatan, memilih untuk membuat laporan polis di Kuala Lumpur. Pihak kami (NGO yang disertai Wong Su Zane) yang membantu mangsa ini tidak pernah lewat setiap kali polis memanggil kami ke balai, kecuali sekali apabila anak kepada seorang mangsa jatuh sakit.

Akhirnya, polis mengumumkan bahawa siasatan kes ini tidak berhasil kerana mangsa enggan bekerjasama dan bukti tidak mencukupi. Salah seorang daripadanya tidak dapat membekalkan maklumat pendera, tetapi pada masa yang sama polis telah mengambil DNA anak yang dilahirkan selepas didera.

Untuk kes yang satu lagi, polis mendakwa bahawa pendera yang dituduh itu adalah "suami"-nya. Memang benar, sebab kebanyakan perempuan yang dicabul terpaksa dikahwinkan kepada pendera kerana rasa takut dan malu. Tetapi apakah ini bermaksud pendera tidak perlu bertanggungjawab ke atas tindakan ganas mereka? Bahkan ahli keluarga dan kampung mangsa ini diganggu syarikat pembalakan dan polis, setelah laporan dibuat, sehingga keluarga mereka terpaksa melarikan diri ke hutan buat sementara.

Setelah mereka balik ke kampung dari Kuala Lumpur, "suami" salah seorang mangsa telah mendapat khabar, dan membawa mangsa ini ke balai untuk membatalkan laporan polisnya. Menurut ibu bapa mangsa ini, "suami" (si pendera) ini datang bersama seorang polis, dan membawa anak perempuan pergi dari rumah. Polis membenarkannya untuk membatalkan aduan itu begitu sahaja tanpa mempertimbangkan bahawa ia mungkin membuat keputusan ini kerana "dipaksa". Tiada siasatan daripada polis.

Saya diberitahu seorang rakan dari Sarawak, bahawa dua orang penterjemah yang mengiringi mangsa tersebut ke Kuala Lumpur untuk membuat laporan polis ini, telah berdepan dengan gangguan, sehingga melarikan diri bersama keluarganya, ke satu tempat dan masih gagal dihubungi sehingga sekarang.

Bukan salah mereka

Jadi, persoalannya bukan "mengapa mereka tidak membuat laporan polis", tetapi "mengapa perlu mereka membuat laporan polis". Melihat kepada malapetaka yang menimpa mereka, apa perlunya mereka membuat laporan polis?

Bukan semua kawan yang berkongsi pengalaman pahitnya mahu membuat laporan polis. Mereka cuma berharap apa yang menimpa mereka dinampak, didengar, dan tidak diulang pada orang lain. Adalah hak mereka untuk membuat laporan polis atau tidak. Tetapi, ahli politik pula mencadangkan untuk menangkap mereka yang mendedahkan pengalaman mereka, bukankah ia sesuatu yang tidak masuk akal?

Seandainya kerajaan kita gagal menjamin keselamatan mangsa, menjamin agar keluarganya tidak diganggu; seandainya kerajaan gagal mewujudkan sistem yang lebih mesra untuk menyokong mereka; seandainya masyarakat masih diselubungi dengan prejudis terhadap orang Penan -- maka apa yang terpampang di depan mata selepas laporan polis dibuat bukanlah keadilan yang ditegakkan, sebaliknya pencabulan dan penyeksaan bersistematik yang dikitar semula.

Saya tidak menganggap kita layak atau mempunyai hak untuk mempersalahkan kawan-kawan kita ini berikutan keputusan mereka untuk tidak membuat laporan polis, sama ada mereka telah diuji selepas melalui prosedur laporan polis, kehakiman dan sebagainya, atau "mangsa yang mendiamkan diri".

Bukan sahaja mereka merana keseksaan eksploitasi seksual, malah mereka dengan tabah meneruskan hidupnya setiap hari selepas pencabulan berlaku. Mereka sedang mengatasi pengalaman ini. Bukankah kita harus mengkagumi ketabahan mereka?

Mangsa tersebut tidak harus memikul kesalahan kerana tidak membuat laporan polis.

*Wong Su Zane ialah Pengurus kerja sosial Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Life Line Association Malaysia para-counselor dan penyelia para-counselor. Disedut, diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal.

**Nota Editor: Penulis (Wong Su Zane) menggunakan istilah "kes penderaan" untuk merujuk kepada "mangsa penderaan", dalam tulisan asalnya. Bagaimanapun, istilah "mangsa" digunakan dalam terjemahan ini untuk memudahkan pemahaman kebanyakan pembaca. Sementara itu, perlu dinyatakan bahawa gambar yang digunakan di atas bukanlah gambar kes penderaan sebagaimana yang disebut.

Video Seks: Polis Tahan Luna Maya

JAKARTA, 15 Julai – Aktres dan model Luna Maya telah ditahan polis malam tadi atas alasan “tidak bekerjasama” dalam siasatan pihak berkuasa yang menyiasat kes rakaman adegan seks Peterpan yang tersebar luas sejak awal bulan lalu.

Jurucakap polis kebangsaan Komisioner Marwoto Soeto mengesahkan yang Luna Maya telah ditahan secara formal malam tadi.

“(Luna) telah ditahan kerana tidak bekerjasama ketika siasatan,” kata Marwoto dipetik Jakarta Globe sambil menambah, dia ditahan di bawah Akta Antibahan Lucah dan Kanun Jenayah.

Marwoto berkata Cut Tari tidak ditahan kerana memberikan kerjasama kepada polis.

Laporan Selasa lalu menyebut polis Indonesia akan melanjutkan tahanan anggota utama kumpulan Peterpan, Nazriel “Ariel” Irham manakala teman wanitanya, Cut Tari yang Ahad lalu membuat pengakuan terbuka dialah wanita dalam rakaman video, juga mungkin ditahan.

Ariel, suspek dalam skandal video seks membabitkan akstres Luna Maya dan pengacara Cut Tari, kini ditahan polis di bawah undang-undang Informasi dan Transaksi Elektronik dan Antibahan Lucah 2008 dan juga kanun jenayah melibatkan perbuatan tidak senonoh.

Marwoto berkata pihaknya juga bercadang untuk menahan Cut Tari, yang bersama Luna Maya kini dianggap sebagai suspek tetapi belum ditahan oleh polis kerana telah memberi kerjasama dan disebut sebagai “mangsa” tindakan Ariel.

“Tidak mustahil Cut Tari diletakkan di bawah tahanan rumah atau tahanan metro,” kata Marwoto.

Minggu lalu, polis telah menamakan Luna Maya dan Cut Tari sebagai suspek sehari selepas mereka memohon maaf kepada peminat dan anggota keluarga mereka.

Polis sehingga kini telah menetapkan 12 orang sebagai suspek dalam kes itu.

Tiga Lelaki Ditahan Bersama Syabu Bernilai RM140,000

ALOR SETAR: Polis menahan tiga lelaki, termasuk seorang pelajar sebuah kolej serta merampas 507.33 gram dadah jenis syabu dipercayai RM140,000 dalam operasi di Sungai Petani, Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah Supt Baharom Othman berkata semasa operasi, anggota polis cawangan narkotik telah menahan sebuah kereta jenis Honda Jazz yang dinaiki oleh ketiga-tiga lelaki berusia antara 22 dan 20 tahun pada pukul 6.30 petang.

"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menjumpai sebuah beg yang berisi 10 bungkus plastik lutsinar dipercayai dadah jenis syabu diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Berdasarkan siasatan awal, beliau percaya bekalan dadah itu adalah untuk diedarkan di Pulau Pinang.

"Susulan itu, polis turut merampas wang tunai RM8,600, telefon bimbit, barang kemas seperti rantai, subang dan cincin yang dianggarkan bernilai RM25,000, pasport, dua buah kereta iaitu Proton Iswara dan Toyota Wish," katanya.

Baharom berkata barang-barang yang disita bernilai kira-kira RM190,000.

"Ketiga-tiga suspek itu kini direman bermula semalam sehingga 20 Julai ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Katanya semakan rekod jenayah menunjukkan semua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

- BERNAMA

Potong Subsidi Rakyat: Kerajaan jimat RM750j tahun ini

Berikut adalah kenyataan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai keputusan kabinet menaikkan harga bahan api, terutamanya petrol, diesel dan Petroleum Gas Cecair (LPG), dan juga gula, diselaraskan semula sebagai sebahagian dari Program Rasionalisasi Subsidi.

-------------------------------------------------------------------

Sejak mengambil alih teraju kepimpinan negara pada tahun lepas, kerajaan di bawah pimpinan saya telah memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi.

Kita telah membuka sektor-sektor penting dalam ekonomi untuk pelabur asing, menyediakan persekitaran pelaburan yang lebih kondusif, mengurangkan perbelanjaan kerajaan sebanyak 24 bilion, mengurangkan pembaziran dan menangani ketidakcekapan. Hasilnya, kita dapat melihat kebangkitan ekonomi dengan pertumbuhan sebanyak 10.1% dalam suku pertama 2010, pencapaian terbaik kita dalam dekad ini.

Ketika mengumumkan Rancangan Malaysia Ke-10, saya telah mengatakan bahawa matlamat negara bukanlah semata-mata untuk mengeluarkan kita dari krisis ekonomi. Cita-cita kita untuk negara dan masyarakat adalah lebih tinggi dari itu. Kita ingin menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju, berdaya tahan dan berdaya saing untuk meningkatkan kesejahteraan kerana rakyat.

Model Baru Ekonomi (MBE) memperuntukkan cadangan untuk melabur dan mengembangkan sektor strategik yang penting, mengemas kini infrastruktur dan mewujudkan peluang pelaburan bagi sektor swasta yang bertujuan meningkatkan Pendapatan Negara Kasar. Namun begitu, pertumbuhan sahaja tidak akan membantu kita mencapai matlamat MBE. Kerajaan telah menyatakan bahawa kita mesti mengkaji semula pemberian subsidi bagi mengelak herotan dalam dagangan. Ia bagi memastikan subsidi diberikan kepada golongan yang layak dan membolehkan lebih banyak hasil negara digunakan untuk pelaburan yang akan memberikan faedah jangka panjang bagi keseluruhan rakyat.

Selaras dengan itu, Kabinet telah mengambil keputusan bahawa berkuat kuasa pada 16 Julai 2010, harga bagi bahan api, terutamanya petrol, diesel dan Petroleum Gas Cecair (LPG), dan juga gula, akan diselaraskan semula sebagai sebahagian dari Program Rasionalisasi Subsidi. [tm1] Penyelarasan semula harga barang ini akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini.

Keputusan untuk menyelaraskan harga minyak dan gula ini khususnya diasaskan daripada tiga perkara penting:

a. Pertama, kesemua subsidi ini tidak menepati sasaran – ia memberi faedah juga kepada pihak yang tidak layak, iaitu warga asing dan rakyat yang berpendapatan tinggi yakni mereka yang mampu untuk membayar petrol tanpa subsidi. Fokus kita sepatutnya ialah bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana bukan mereka yang memandu kereta import yang mewah. Subsidi gula yang berlebihan pula memberi faedah kepada industri-industri dan bukannya keluarga. Hampir dua kali ganda subsidi gula ini digunakan oleh sektor perniagaan berbanding isi rumah.

b. Kedua, barangan yang bersubsidi tinggi selalunya membawa kepada aktiviti penyeludupan kerana pemberian subsidi telah menjadikan barangan ini paling murah di rantau ini. Pada tahun 2009 sahaja, ramai penyeludup telah ditangkap ketika cuba membawa keluar lebih 200 tan metrik gula. Sebenarnya, jumlah yang tidak dapat ditangkap kerana penyeludupan ini adalah lebih besar. Diesel terus diseludup dan dijual secara haram di negara jiran. Pihak berkuasa telah meningkatkan pengawalan untuk menghalang penyeludupan, tetapi selagi adanya perbezaan harga yang besar, penyeludup akan terus dengan kegiatan haram ini.

c. Ketiga, kita perlu menukar cara kita menggunakan bahan bakar dan gula. Penggunaan bahan bakar yang berlebihan akan mengurangkan sumber negara dengan cepat dan tidak menyumbang kepada usaha kita melindungi alam sekitar. Dengan 40 peratus rakyat Malaysia yang berlebihan berat badan atau obes – dan peningkatan jumlah penghidap diabetes – kita perlu menangani apa yang dilihat sebagai satu isu kesihatan. Mengurangkan penggunaan gula di kalangan anak-anak khususnya, adalah langkah yang tepat.

7. Ini adalah sebahagian dari sebab kenapa kerajaan memilih untuk menyelaraskan semula harga gula dan bahan bakar. Sebaliknya, subsidi bagi bidang pelajaran dan kesihatan akan terus dipertahankan. Ini adalah bidang perkara yang penting bagi negara di mana kerajaan seharusnya melabur, menyediakan bantuan untuk mengembangkan kemahiran dan membina tenaga kerja untuk masa depan.

8. Keputusan untuk menyemak semula pemberian subsidi ini dibuat bersama rakyat melalui aktiviti yang dijalankan di bawah Program Rasionalisasi Subsidi. Kerajaan telah mengadakan proses perundingan dengan rakyat sebelum membuat keputusan ini. Tidak lagi hanya dengan pembuat dasar di Putrajaya, tetapi beribu-ribu rakyat Malaysia melalui Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi, undian on-line, undian pesanan ringkas dan borang maklum balas menyatakan sokongan bagi menyemak semula pemberian subsidi secara berperingkat.

9. Berdasarkan proses ini, kerajaan memutuskan harga petrol RON 95 dan diesel akan diselaraskan sebanyak 5 sen seliter bagi semua sektor. LPG akan diselaraskan sebanyak 10 sen sekilogram dan petrol RON 97 akan diapung secara terkawal. Bagi gula pula, harga akan diselaraskan sebanyak 25 sen sekilogram.

10. Walaupun harga barang ini diselaraskan, kerajaan masih lagi membelanjakan lebih kurang RM7.82 bilion setahun untuk subsidi bahan bakar dan gula. Harga bahan bakar dan gula di negara ini masih lagi yang paling rendah di rantau ini walaupun adanya penyelarasan harga ini.

11. Selain itu, penyelarasan harga barang ini akan menyumbang kepada usaha kita untuk mengukuhkan urusan kewangan kerajaan iaitu mengurangkan defisit kewangan negara. Ia membolehkan kita menyediakan perbelanjaan yang lebih kepada sektor yang lebih penting seperti pendidikan dan kesihatan. Ini termasuklah pengumuman kerajaan baru-baru ini bahawa semua pelajar yang mendapat 9A+ dan pelajar miskin yang layak mendapat biasiswa dan meningkatkan perbelanjaan untuk menyediakan kemudahan kesihatan seperti Klinik 1Malaysia, termasuk klinik bergerak 1Malaysia. Selain itu, kerajaan akan meneruskan Projek Penyeragaman Harga Barang Perlu di Sabah dan Sarawak bagi mengurangkan beban rakyat luar bandar.

12. Sebenarnya, penyelarasan harga bahan api dan gula ini adalah yang paling minima berbanding dengan cadangan yang telah dikemukakan oleh Makmal Rasionalisasi Subsidi kerana kerajaan mahu mengimbangi di antara kepentingan rakyat dan keperluan menguruskan defisit negara.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.