Azmin: 'BN salah guna agensi cuba tumbang kerajaan Selangor'

Kelab penyokong Pakatan Rakyat (PRBBC) menuduh BN menggunakan agensi dan jentera kerajaan bagi menggulingkan kerajaan negeri Selangor yang diterajui PKR.

Pengerusi PRBBC Azmin Ali berkata mereka mendapat maklumat bahawa tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyoal dua ADUN Pakatan semalam “bermotifkan politik”.

"Umno menggunakan institusi seperti SPRM, polis dan pejabat Peguam Negara bagi menumbangkan kerajaan Pakatan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat PRBBC pagi ini.

Semasa pertemuan itu, dua ADUN yang disoal oleh SPRM semalam - Amirudin Shari (Batu Caves) dan Shuhaimie Shafie (Sri Muda) - menceritakan kepada rakan-rakan bagaimana suruhanjaya itu menyoal mereka berhubung isu pasir kerajaan Selangor.

Azmin, yang juga ADUN Bukit Antarabangsa berkata selain itu, mesyuarat berkenaan turut membincangkan kononnya berlaku pergeseran antaranya dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Azmin menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai propaganda jentera Umno.

Katanya, mesyuarat juga membincangkan situasi semasa Pakatan di Selangor tetapi enggan mengulas lanjut.

Terikat Dengan Undang2 UK: SPRM kemuka soalan menerusi peguam

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini mengemukakan soalan kepada P Balasubramaniam melalui peguamnya, untuk dijawab oleh penyiasat persendirian itu.

Pengarah Siasatan SPRM, Mustafar Ali, berkata soalan itu sudah dikirimkan SPRM melalui kurier pada petang tadi kepada peguam Balasubramaniam, Americk Sidhu.

Katanya, Americk bersetuju untuk memberi jawapan kepada SPRM secepat mungkin.

"Kita sudah menghubungi Americk dan mencadangkan mengemukakan soalan kepada Balasubramaniam dalam bentuk akuan bersumpah atau afidavit.

"Peguam Balasubramaniam itu melalui e-mel semalam, dan bersetuju untuk mengemukakan soalan tersebut kepada dia (Balasubramaniam) dan turut bersetuju ia dihantar melalui kurier," katanya di Putrajaya.

Mengulas tempoh bagi Balasubramaniam untuk memberikan jawapannya, Mustafar berkata, jawapan itu akan diberikan secepat mungkin.

SPRM sebelum ini memutuskan tidak akan menghantar pegawainya ke London bagi mengambil keterangan Balasubramaniam berhubung kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdull, berkata sebaliknya, Balasubramaniam akan diminta menjawab soalan yang akan dikemukakan menerusi peguamnya dalam bentuk akuan bersumpah atau afidavit.

Semalam, bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari menyokong tindakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim menggesa SPRM menyiasat segera siapa yang menaja Balasubramaniam.

Anuar berkata, sudah tiba masa untuk SPRM membuat siasatan terperinci berikutan selok belok kisah Balasubramaniam seakan menyerupai kisah pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang turut menjadi perhatian SPRM sebelum ini.

Rabu lalu, Zahrain menggesa SPRM menyiasat penaja kehidupan Balasubramaniam di London dan mendapatkan bukti lengkap terdahulu mengenai isu tajaan tersebut dan seterusnya memanggil Balasubramaniam pulang bagi mendapatkan keterangan lanjut.

- Bernama

Isu Judi: Dato' Husam Sifatkan Vincent Tan Lebih Gagah Dari PM Malaysia

Ahli jawatankuasa PAS pusat, Datuk Husam Musa menyifatkan ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan lebih gagah dan berani dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan beliau memang mendapat surat untuk melaksanakan perjudian bola sepak daripada kementerian kewangan.

Menurut Husam, Tan dalam pertemuannya dengan penganalisis perniagaan 29 Jun lalu menunjukkan surat kelulusan asal yang diterimanya yang bertarikh 13 Januari.

“Dalam perjumpaan itu, Vincent Tan tunjukkan surat kelulusan asal bertarikh 13 Januari tahun ini. Vincent Tan masih menekankan kerajaan Najib telahpun memberikan kelulusan bertulis. Enam bulan kemudian, kerana desakan bertubi-tubi, barulah kelulusan itu ditarik balik.

“Syabas Vincent Tan! Lulus kata lulus,” kata Husam dalam blognya hari ini.

Katanya, ternyata Tan tidak memperdulikan reaksi Umno dan berani mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku.

“Dia dedahkan keadaan sebenar. Ini baru betul-betul raja judi. Umno terkebil-kebil dengan tindakan berani Vincent Tan. Tak ada siapa berani tegur,” katanya.

Namun begitu, kata Husam (kanan), nasib baik ada rakyat yang menyedari perkara berkenaan dan mengadakan gerakan politik yang bersepadu.

"DAP yang memberikan ukuran moral yang memalukan Umno. Ada Umno Johor (atas pengaruh Muhyidin atau takut kalah pilihan raya?) turut sama akhirnya menolak kelulusan ini.

"Umno Kelantan dan Terengganu tak seberani Umno Johor. Kelu membisu," kata Husam.

Menurut exco kerajaan Kelantan itu, pagi sebelum Tan menemui para penganalisis industri perjudian, beliau melalui syarikatnya Berjaya Corporation mengeluarkan kenyataan bertulis menyatakan kesal yang amat sangat di atas pembatalan itu.

Katanya, dalam kenyataan bertulis itu, disebut bahawa 'pembatalan itu dibuat selepas sebelum ini kementerian kewangan telah meluluskan semula lesennya' - dan ayat berkenaan digaris untuk memberikan penekanan.

"Maknanya, Vincent Tan bercakap benar dan beliau mahu buktikan beliau bercakap benar. Ada orang lain bercakap tidak benar," kata Husam.

Pada pertemuan itu juga, menurut Husam, Tan yakin pelan perjudiannya akan diperbahurui semula pada masa akan datang.

"Bila? Selepas pilihanraya umum nanti? Selepas Pakatan Rakyat tak kuat?" soal Husam.

Beliau berkata, Tan (kiri) secara terang-terang menyalahkan Pakatan Rakyat atas pembatalan lesen judi sukan itu.

“Dia tak salahkan mufti-mufti atauUtusan Malaysia atau PERKASA. Menarik juga," katanya.

"Apa yang Vincent Tan nak kata, kalau BN menang besar pilihanraya akan datang, hidup semulalah lesen judi bola beliau,” perlinya.

Menurut Husam, dalam perjumpaan yang sama, didedahkan bahawa kerajaan pernah membayar ganti rugi kepada Berjaya Corp atas pembatalan lesen yang telah mereka perolehi sebelum itu.

Pembatalan itu dibuat pada 1990 semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah menteri kewangan sehingga membolehkan Berjaya Corp mendapat ganti rugi sebanyak RM18.9 juta.

"Beliau nak kata, kali ini, Berjaya Corp akan dapat ganti rugi sekali lagi kerana menteri kewangan memang dah bagi kelulusan.

"Vincent Tan nampaknya bukan sahaja kaya, tetapi pemimpin Umno, tak ada yang dia segan atau takut...." kata Husam.

Sekumpulan Pemaju Tubuh Dana Jatuhkan Phahrolrazi

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Isu penetapan kuota perumahan 50 peratus untuk Bumiputera oleh kerajaan pimpinan Dato’ Seri Ustaz Azizan Razak di Kedah hangat dimainkan oleh pihak pembangkang, khususnya MCA dan Gerakan sebaik sahaja diperkenalkan pada tahun 2008. BN menggunakan isu tersebut habis-habisan dalam pilihanraya kecil Bukit Selambau dalam usaha menarik sokongan pengundi bukan Melayu. Mereka gagal. Isu itu tidak berkesan pada masa itu kerana bukan Melayu langsung tidak terasa susahnya untuk memiliki rumah kerana halangan kuota.

Selepas pilihanraya kecil Bukit Selambau, isu kuota perumahan sepi untuk sekian lama. Namun baru-baru ini, maklumat dari Dewan Himpunan Penyokong PAS mendedahkan bahawa isu tersebut kembali diaktifkan. Ia digerakkan oleh segelintir pemaju yang tidak berpuas hati. MCA dan Gerakan yang sedang bergelut dalam nafas nazak, cuba menjadikan isu kuota perumahan sebagai talian hayat. Kumpulan itu dikatakan membentuk pakatan, menghimpun dana secara serius dari ‘ahli-ahli’ dan mengerakkan usaha untuk menjatuhkan Exco Kerajaan Negeri Kedah yang memegang potfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan iaitu Dato’ Phahrolrazi Zawawi.

Antara hujah yang digunakan oleh gerakan tersebut dalam membantah isu kuota perumahan ialah kerana kononnya akibat dari dasar tersebut, industri hartanah menjadi teruk. Rangkaian perniagaan yang terbabit dengan industri tersebut dikatakan menerima kesan buruk. Dalam usaha mereka untuk menakut-nakutkan orang ramai, khususnya bukan Melayu, ‘bencana kuota 50 peratus untuk Bumiputera’ dijaja sebagai perkara besar, utama dan isu yang bertaraf nasional.

Golongan masyarakat bukan Melayu yang tidak faham apa-apa akan termakan dengan isu yang dimainkan, walhal ia tidak lebih dari sebuah propaganda. Saya akan memberi penjelasan untuk membuktikan ia hanya propaganda pihak tertentu. Alangkah baiknya jika penjelasan ini sampai kepada masyarakat bukan Melayu termasuklah beberapa pemimpin dalam Pakatan Rakyat bukan Melayu, yang segelintirnya dilaporkan sudah terpengaruh.

Perkara paling penting untuk diketahui ialah kuota pemilikan rumah 50 peratus untuk Bumiputera bukan untuk semua jenis perumahan. Ia hanya untuk tanah simpanan Melayu yang ditukarganti (swapping). Misalnya terdapat sebidang tanah simpanan Melayu di Daerah Kota Setar yang mahu dibangunkan perumahan; jika pemaju mahu menukar status tanah kepada pegangan bebas (free hold) maka pemaju mesti menggantikan tanah dengan keluasan yang sama di tempat lain. Untuk tanah jenis ini sahaja yang disyaratkan pemaju mesti menjual sekurang- kurangnya 50 peratus untuk Bumiputera. Di zaman BN, syarat jualan Bumiputera cuma sekurang-kurangnya 30 peratus bagi tanah jenis ini.

Adapun bagi tanah yang asalnya bukan berstatus simpanan Melayu, ataupun memang tanah pegangan bebas dari awal, maka syarat jualan Bumiputera adalah sekurang-kurangnya 30 peratus. Sama macam dahulu. Kedua, rakyat bukan Melayu mesti tahu bahawa bukan semua tanah di negeri ini berstatus simpanan Melayu. Keseluruhan Tanah Simpanan Melayu yang terdapat di Kedah adalah 30 peratus. Daripada jumlah itu hanya kira-kira 10 peratus yang terletak di kawasan bandar yang layak untuk dibangunkan perumahan. Daripada 10 peratus itu pula, yang tinggal (dikira) layak untuk dibangunkan perumahan hanya sedikit di Daerah Kota Setar sahaja. Yang lainnya sudah habis diswapping di zaman BN dulu.

Saya tidak fikir ada orang Cina ‘tidur tak lena’ kerana memikirkan tak dapat beli rumah di atas tanah ‘segenggam’, sedangkan mereka boleh beli sebanyak-banyaknya rumah di atas tanah ‘segunung’! Begitu banyak rumah yang dibangunkan di atas tanah pegangan bebas, di mana peluang mereka memilikinya sampai 70 peratus.

Antara projek besar perumahan yang diluluskan kerajaan negeri kepada beberapa buah pemaju adalah antara RM150 juta sehingga RM600 juta. Dengan kelulusan projek sebesar itu maka dimana benarnya dakwaan bahawa kerajaan negeri tidak membantu menjayakan industri perumahan?

Satu lagi dakwaan yang dimainkan oleh kumpulan tersebut berhubung Tanah Simpanan Melayu yang diswapping ialah, kerajaan tidak berhak lagi menetapkan kuota 50 peratus untuk Bumiputera setelah tanah diganti.

Sebelum kuota 50 peratus sekarang, sudah ada kuota 30 peratus dahulu. Cuma bertambah 20 peratus. Sebabnya ialah kerana kerajaan mengambil kira bahawa walaupun tanah tersebut berganti tetapi penggantian adalah berdasarkan keluasan tanah semata-mata, bukan berdasarkan nilai atau harga tanah. Satu hektar tanah di bandar jauh lebih tinggi nilainya dari satu hektar tanah yang diganti yang terletak di luar bandar. Pastinya pemaju akan memilih tanah di luar bandar kerana lebih murah.

Ada pihak yang lebih ‘ultra’ menyoal mengapa perlu kuota? Laksanakan saja ikut meritokrasi, siapa layak dia beli? Jawapannya tentulah kerana kerajaan perlu memikirkan tanggungjawab menjaga keharmonian kaum dan kesejahteraan untuk jangka panjang. Sebahagian besar kawasan perumahan di negeri ini adalah dibangunkan di atas tanah yang asalnya adalah milik Melayu. Kebanyakannya kawasan sawah padi. Apabila dibangunkan perumahan yang pemaju memilih untuk membangunkan lebih banyak kos tinggi, maka akhirnya hanya mampu dimiliki oleh bukan Melayu.

Di samping tiada integrasi kaum, Melayu akan semakin tersisih dari bandar. Adakah fenomena ini sihat di sebuah negeri di mana kaum Melayunya Melayu 77.37%, Cina 14.01%, India 6.87%, lain-lain 1.75%. Kita jangan hanya berfikir nak senang sementara sahaja sedangkan anak cucu kita esok akan dilanda isu perkauman akibat tiadanya integrasi.

Sebenarnya masyarakat bukan Melayu umumnya tidak terasa sangat dengan isu kuota 50 peratus untuk Bumiputera ini, kerana mereka tiada masalah untuk membeli rumah. Ada yang mampu memiliki sehingga dua, tiga buah rumah. Pihak yang bermasalah ialah segelintir pemaju. Itu pun isunya bukan ‘kuota 50 peratus’ sebaliknya isu lain. Antaranya berhubung garis panduan bahawa pemaju mesti membina 10 peratus rumah kos rendah dari keseluruhan projek perumahan, atau peratusan tertentu mengikut unit rumah yang dibina.

Mengikut amalan di bawah kerajaan terdahulu pemaju tidak membina rumah kos rendah tetapi menggantikannya dengan levi. Atau menggunakan apa-apa cara ‘silap mata’ untuk tidak membina rumah kos rendah (jika tidak disiasat SPRM). Akibatnya keperluan terhadap rumah kos rendah oleh rakyat yang sederhana pendapatannya tidak dapat dipenuhi. Hari ini lebih 23 ribu rakyat negeri ini memohon rumah mampu milik.

Dalam sistem kapitalis, pihak yang kaya terus menghimpun kekayaan tanpa memikirkan tanggungjawab sosial. Yang miskin terus tertindas dan terus tidak berumah. Kerajaan yang prihatin kena memikirkan nasib dan hak si miskin. Kerajaan Pakatan Rakyat mahu membetulkan pengabaian hak terhadap si miskin yang diabaikan sejak separuh abad oleh kerajaan BN. Iabukan isu perkauman tetapi keadilan sosial.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.