Dramatis Juhara Ayub, Pelakon Terkenal Kemalangan - Pejalan Kaki Maut

Jln KL-Ipoh
berhampiran Pasar Borong Selayang
Kuala Lumpur
30 Jun 2010
12-15 tengahari

"Saya benar-benar terkejut apabila wanita itu langsung tidak melihat kiri-kanan dan terus melintas di hadapan kereta saya."

"Saya tidak sempat mengelak kerana kejadian berlaku terlalu pantas. Saya amat sedih dengan kejadian yang berlaku dan simpati kepada keluarga mangsa"


Itu antara luahan kata-kata dari pelakon drama terbabit ketika saya temui di lokasi kejadian.

Apa yang pasti, pelakon wanita itu benar-benar trauma dan terkejut dengan apa yang berlaku malah dia kelihatan pucat dan tidak bermaya.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 12-15 tengahari tadi di laluan Jalan Kuala Lumpur - Ipoh berhampiran Pasar Borong Selayang arah Kuala Lumpur.

Kemalangan berlaku apabila seorang wanita warga emas warga Myanmar melintas di laluan yang sentiasa sibuk ini.

Mangsa yang tercampak ke arah cermin hadapan sebelah penumpang, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Dramatis Juhara Ayub, 36 tahun dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan ,Aswara di Kuala Lumpur.

Juhara bertugas sebagai Kordinator di Aswara.

Sebaik kemalangan berlaku, Juhara segera menelefon suaminya yang bergegas ke tempat kejadian.

Keadaan menjadi lebih mengharukan apabila anak perempuan kepada mangsa dan juga beberapa rakan warga Myanmar, tiba di lokasi.

Anaknya menangis dan meratap kematian ibunya, bagaimanapun saya tidak berapa faham apa yang diperkatakan ketika saya cuba menanyakan kepadanya.

Apa yang saya faham dari tutur katanya, ibunya dari pasar dan hendak pulang ke rumah dengan melintas jalan.

Laluan ini memang terkenal dengan kemalangan maut membabitkan warga asing yang melintas jalan yang sentiasa sibuk.

Jejantas pejalan kaki terletak jauh dari lokasi ini.

SUMBER - terima kasih....

Datuk Zaid Akui Jumpa Raja Petra & Isteri di London, Siap Belanja Tengok Bola Lagi...

Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim membidas ahli parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang mempersoalkan pertemuannya dengan Raja Petra di Manchester pada tahun lalu dan menjadikannya isu di Dewan Rakyat hari ini.

Dengan sinis, Zaid berkata sebagai wakil rakyat, Zahrain sepatutnya menimbulkan cadangan yang bernas mengenai dasar negara dan berani mengkritik keputusan kerajaan.

“Itulah tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh seorang Yang Berhormat. Lebih-lebih lagi kalau kita itu, wakil rakyat Bebas yang begitu di gemari oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Kenalah jaga standard supaya orang tak mengatakan kita ini budak suruhan semata mata, dan tidak ada modal bernas untuk diketengahkan dalam Dewan,” kata Zaid dalam blognya.

Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, Zahrain kini sudah semacam menjadi wakil kepada polis perisikan yang membuat pendedahan yang beliau menginap di hotel yang sama dengan Raja Petra.

“Dia kata SPRM kena siasat petemuan ini. Inilah kerja wakil rakyat pro-BN kita hari ini. Tak ada perkara lain nak ditimbulkan. Kalau dia tanya saya, saya akan beritahu lebih dari itu.

“Jumpa Raja Petra tidak salah...Raja Petra dan isterinya, Marina kawan saya. Saya tak tinggalkan kawan semata-mata kawan ada dalam kesusahan. Jadi setiap kali saya ke London, saya jumpa mereka. Tahun lepas saya bawa Petra tengok bolasepak di Old Trattford, dia minat kepada Manchester United. Jadi saya belanjalah dia.

“Itulah sedikit hiburan baginya yang terpaksa meninggalkan tanah air kerana menuntut kebenaran. Perjuagan seperti Petra mungkin YB Bayan Baru kita itu tak mengerti atau faham,” kata Zaid.

Beliau juga mengakui bahawa Raja Petra membuat tempahan di hotel Britannia bagi pihaknya tetapi menafikan penulis blog itu turut menginap di situ kerana rumahnya hanya terletak 15 minit perjalanan dari hotel berkenaan.

“Hotel yang saya menginap itu pun tiga star, tak lah seperti hotel Zahrain guna semasa ke Washington. Maklumlah saya bayar sendiri,” katanya merujuk kepada seminar berprofail tinggi mengenai kehakiman dan kerajaan Malaysia di Washington DC yang dihadir Zahrain selepas berpaling tadah daripada PKR.

Seminar itu anjuran sebuah badan pemikir terkemuka - Pusat bagi Strategi dan Pengajian Antarabangsa (CSIS) dan dihadiri oleh pegawai kerajaan Amerika, aktivis, diplomat dan rakyat Malaysia di sana.

Menurut Zaid, beliau akan kota London lagi minggu depan dan besar berkemungkinan akan dengan Raja Petra dan isterinya lagi.

“Saya akan bekalkan butir lanjut jika YB Zahrain atau SPRM mahu maklumat lain. Saya harap dapat juga bertemu Bala kalau SPRM tidak mahu bertemu dengannya,” katanya.

MP Bebas Dakwa Datuk Zaid Menginap di Hotel Yang Sama Ketika di UK

Ahli parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendakwa beliau mempunyai dokumen bagi membuktikan bahawa blogger Raja Petra Kamarudin dan penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim menginap di hotel yang sama ketika berada di United Kingdom, tahun lalu.

"Saya mempunyai dokumen tempahan hotel mereka. Raja Petra membuat tempahan dari 1hingga 4 Oktober di Britannia Hotel di Manchester dan Zaid membuat tempahan di hotel yang sama dari 1 hingga 3 Oktober,” katanya kepada wartawan di lobi parlimen hari ini.

Ahli parlimen PKR yang berpaling tadah Februari lalu dan mengisytiharkan dirinya wakil Bebas mempersoalkan perkara berkenaan dan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) meyiasat bagi menentukan kaitan kedua-dua mereka.

"Saya minta SPRM menyiasat siapa yang membiayai kos penginapan Raja Petra di London. Apa yang dilakukan oleh Zaid dengan penjenayah itu di Manchester?” soal Zahrain.

Diasak wartawan, sama ada beliau mendakwa Zaid yang membekalkan dana berkenaan, Zahrain menafikan perkara tersebut tetapi berkata dia mahu SPRM menyiasat perkara itu sehingga akar umbi.

Zahrain juga mendakwa beliau mempunyai salinan email dari Raja Petra kepada anak perempuannya yang menyatakan bahawa beliau menerima RM470,000 daripada Amarjit Singh.

Zahrain berkata, oleh kerana Amarjit adalah peguam bagi kedua-dua Raja Petra dan PKR, wang berkenaan mungkin datang dari bekas partinya itu.

"Berdasarkan tempahan hotel, saya tahu ada kaitan antara orang kanan PKR itu dengan Raja Petra. Justeru, saya mahu Mohd Nazri Abdul Aziz dan SPRM menyiasat,” katanya.

Zahrain berkata beliau akan menyerahkan maklumatnya itu kepada Nazri selepang sidang medianya.

Dua ADUN PR Selangor Diarah ke SPRM Putrajaya Esok

Dua ADUN Selangor telah diarahkan ke pejabat Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya esok bagi merakamkan kenyataan mereka.

Wakil PKR Mat Shuhaimi Shafiei (Sri Muda) dan Amirudin Shari (Batu Caves) menerima notis berasingan pada Isnin lalu bagi membantu penyiasatan di bawah Seksyen 17(a), Akta SPRM.

Mat Shuhaimi, ketika dihubungi mengesahkan bahawa beliau menerima notis berkenaan.

Katanya, walaupun tidak mengetahui apa yang ingin disiasat oleh SPRM, tetapi beliau akan tetap ke Putrajaya.

“Saya fikir ini adalah serangan kedua oleh BN yang menggunakan SPRM untuk memalukan perwakilan Pakatan di Selangor,” katanya sambil menegaskan bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

Sementara itu, pengarah penerangan Selangor, Badrul Amin Baharom dalam satu kenyataan berkata langkah SPRM itu merupakan satu lagi serangan baru daripada siri percubaan untuk menjatuhkan pimpinan Pakatan di Selangor.

“Kami juga tidak menyangkal kemungkinan SPRM dipergunakan untuk menjayakan agenda Umno-Barisan Nasional merampas kuasa pentadbiran Selangor, sepertimana berlaku dalam insiden rampasan kuasa kerajaan negeri Perak pada tahun 2009,” katanya.

Sehubungan itu, Badrul Amin menggesa SPRM bersikap professional dalam menjalankan tugas.

“Kami turut menggesa SPRM menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin Barisan Nasional yang terang-terang melakukan rasuah seperti bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua ADUN Pakatan itu akan hadir bersama peguam masing-masing ke pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 3 petang esok untuk memberi kerjasama yang sewajarnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.