Pelakon Popular 'Winter Sonata' Bunuh Diri



SEOUL: Pelakon dan penyanyi popular Korea Selatan ditemui mati hari ini, dipercayai membunuh diri, menurut polis dan laporan media.

Agensi berita Yonhap melaporkan Park Yong-ha, 33, menggantung diri di kediamannya di Seoul.

Seorang pegawai Seoul Metropolitan Police Agency memberitahu The Associated Press, Park ditemui tergantung dengan wayar pengecas bateri telefon bimbitnya.

Namun, polis masih menyiasat punca sebenar kematian beliau.

Park mula menampilkan diri pada akhir 1990-an dan pada 2002 membintangi drama bersiri "Winter Sonata" yang diikuti ramai penonton di Jepun dan Asia Tenggara.

Beliau mengadakan beberapa konsert di Jepun dan seorang daripada peminatnya ialah bekas Wanita Pertama, Akie Abe. - AP

Aduan SPRM dibuat ke atas Taib Mahmud : Punyai Empayar Keluarga Lebih RM3 bilion

Tiga rakyat Sarawak hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa oleh ketua menterinya Tan Sri Taib Mahmud.

Tiga pengadu itu - John Brian Anthony, Ting Cek Ming dan Kung Chin Chin menggesa suruhanjaya itu menyiasat 'empayar' perniagaan Taib dan keluarganya yang didakwa bernilai 'lebih RM3 bilion' berdasarkan apa yang dilaporkan di blog sarawakreport.org.

Aduan dibuat kepada pegawai kanan SPRM, Ranjit Singh.

Ini adalah aduan kedua yang dibuat berhubung perkara yang sama. Aduan pertama dibuat kepada SPRM di Kuching, semalam oleh Ahmad Nazib Johari.

Menurut seorang daripada pengadu itu, Ting Chek Ming, proses membuat aduan berjalan lancar berbanding minggu lalu apabila beliau bersama Ahmad Nazib dan James Wong cuba mengemukakan aduan mereka.

"Kali ini, kami datang dengan salinan laporan yang ditaip dan pegawai SPRM menandatangani mengesahkan penerimaan aduan berkenaan di salinan kami bagi memastikan tiad ada perubahaan dibuat terhadap aduan itu,” katanya.

Minggu lalu, Ting, Wong dan Ahmad Nazib terpaksa menarik balik laporan mereka kerana mendakwa pihak SPRM di Shah Alam enggan memberikan salinan aduan yang ditulis dengan tangan.

Hadir bersama menemani ketiga-tiga mereka membuat aduan hari ini adalah pemimpin wanita PKR, Rozaini Mohd Rosli bagi menzahirkan sokongan Pakatan Rakyat berhubung isu berkenaan.

Ketiga-tiga pengadu berkenaan dinasihatkan bahawa mereka mungkin akan dipanggil kemudian bagi memberikan kenyataan terhadap apa yang diistilahkan oleh suruhanjaya itu sebagai 'kes besar'.

"Kami d
iberi jaminan yang SPRM akan menyiasat kes itu dan dinasihatkan menulis kepada Pengarah Siasatan bagi mendapatkan perkembangannya,” kata Ting.

Sarawakreport.org mendakwa Taib dan keluarganya mempunyai empayar perniagaan antarabangsa, termasuk memiliki hotel mewah di Australia dan hartanah komersial di tapak utama di Kanada melalui cara yang disangsikan.

Blog, yang dikendalikan oleh “rakyat prihatin' itu juga mempersoalkan pembabitan keluarga Taib dalam konglomerate terbesar negeri itu - Cahaya Mata Sarawak.

Ia juga mendakwa 85 peratus saham CMS dimiliki oleh Taib dan keluarganya serta rakan-rakan karib mereka ketika syarikat berkaitan kerajaan itu diswastakan yang menimbulkan dakwaan salah guna kuasa.

Empat ADUN PKR Selangor Akan Mengosongkan Kerusi? Dakwaan Karut..

ADUN Taman Medan, Haniza Mohamed Talha kesal kerana namanya telah disenaraikan sebagai salah seorang daripada empat ADUN PKR Selangor yang akan mengosongkan kerusi, kononnya kerana membantah kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.

"Selain saya, YB Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), YB Amirudin Shari (Batu Caves), dan YB Shuhaimi Hj Shafiei (Sri Muda) juga turut dikaitkan dengan isu ini.

"Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Pandangan ini turut dikongsi tiga rakan YB saya yang turut dikaitkan dengan isu ini.

"Penyebaran berita palsu ini menggambarkan begitu terdesaknya pihak musuh yang cuba menimbulkan kekacauan dan keraguan dalam kerajaan Pakatan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebaliknya, katanya, beliau meyokong penuh kepimpinan Abdul Khalid sebagai menteri besar Selangor.

"Beliau merupakan seorang yang banyak berjasa kepada negeri Selangor dari segi ekonomi, pembangunan dan kebajikan rakyat negeri Selangor.

"Peralihan Majlis Pimpinan Negeri Selangor merupakan satu langkah yang baik bagi membolehkan Tan Sri Khalid Ibrahim memberi tumpuan yang penuh kepada pentadbiran negeri," tambahnya.

Sehubungan itu, Haniza menegaskan taat setianya dan menambah bahawa beliau tidak akan mengkhianati perjuangan rakyat didokongnya.

"Saya minta seluruh pendokong perjuangan rakyat supaya tidak mempercayai berita palsu ini," katanya.

Suara Perkasa lahir esok, nasib Suara Keadilan jadi tanda tanya

KUALA LUMPUR, 30 Jun — Ketika Suara Keadilan berhadapan dengan kemungkinan dikenakan tindakan oleh Kementerian Dalam Negeri ekoran isu Felda, Perkasa akan mengeluarkan edisi sulung akhbarnya — Suara Perkasa esok.

Akhbar terbitan dua kali sebulan itu akan memasuki pasaran mulai 1 Julai, kata pemimpin kanannya.

Ia sepatutnya dilancarkan ketika mesyuarat tahunan pertama Perkasa awal tahun ini, pertubuhan bukan kerajaan Melayu yang diasaskan oleh Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali selepas pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu, tetapi ditangguhkan atas sebab-sebab teknikal dan logistik.

Surat khabar itu menyuarakan kepentingan Melayu dan Islam, kata Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali.

Bagaimanapun beliau enggan memberikan maklumat terperinci atas alasan sidang media khas penerbitan akan diadakan petang ini.

Bagaimanapun Syed Hassan berkata, pihaknya bercadang untuk menjadikan Suara Perkasa sebagai akhbar harian pada tahun depan.

“Tahun ini kita tumpu pada edisi dwibulanan dan tahun depan ia akan dijadikan akhbar harian,” kata beliau ketika dihubungi lewat malam tadi.

Difahamkan edisi pertama akan diedarkan dalam lingkungan 50,000 naskhah.

Perkasa, yang kelahirannya mendapat perhatian pelbagai pihak keras pendiriannya yang lantang dan dilihat ultra Melayu, didaftarkan pada 12 Sept 2008 sebagai badan untuk membela orang Melayu dan Bumiputera.

Pendirian Perkasa mendapat sokongan berbelah bahagi dari dalam dan luar Umno.

Perkasa juga dilihat sebagai penggerak kepada penubuhan Majlis Perundingan Melayu yang dilancarkan awal Mac lalu.

Kelmarin, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Suara Keadilan berhubung laporan mendakwa Felda sudah muflis.

Ia perlu menjawab surat tunjuk sebab dalam tujuh hari.

Difahamkan permit penerbitannya berakhir bulan ini dan nasibnya akan diketahui esok.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.