Adakah PM Najib Akan Penuhi Impian Cuepacs Mahukan Bonus 2 Bulan Gaji

Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan akan menimbang pemberian bonus dua bulan gaji kepada penjawat awam menerusi pengumuman Bajet 2011 pada Oktober depan.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata permohonan pemberian bonus dua bulan gaji kepada kira-kira 1.2 juta penjawat awam telah dibuat oleh Cuepacs kepada kerajaan pada tahun lalu bagaimanapun ditangguhkan kerana masalah kegawatan ekonomi.

"Kini keadaan ekonomi negara kembali pulih, jadi seluruh penjawat awam amat berharap kerajaan dapat memberi bonus dua bulan gaji," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada forum anjuran Persatuan Pegawai Akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka, hari ini.

Omar berkata pemberian bonus itu akan menjadi motivasi kepada penjawat awam dalam menghadapi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Beliau juga berkata pihaknya juga memohon kerajaan menaikkan bantuan kewangan menguruskan jenazah penjawat awam daripada RM1,000 kepada RM3,000 pada Bajet akan datang.

Sementara itu, beliau berkata Cuepacs akan mengemukakan cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sama ada Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK) akan diteruskan atau digantikan dengan sistem lain dalam RMKe-10.

Beliau berkata satu kertas kerja mengenai PTK akan dibentangkan pada pra-konvensyen Cuepacs yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 17 dan 18 Julai ini.

"Ramai anggota Cuepacs bertanya adakah dalam Rancangan Malaysia Ke-10, PTK (yang diperkenalkan pada 2002) akan diteruskan atau perlu sistem baru yang lebih baik bagi menggantikannya," katanya.

Beliau berkata sasaran kerajaan dalam RMKe-10, penjawat awam antaranya mempunyai pemikiran yang kreatif, inovatif dan berintegriti tinggi.
- Bernama

Patutpun Negara Boleh Bangkrap - Najib: K'jaan belanja RM37.7 juta di Sibu PRK

Sejumlah RM37.7 juta dana dibelanjakan pada pilihan raya kecil Sibu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat hari ini.

“Bagi pilihan raya kecil Sibu, kerajaan meluluskan 107 program atau rancangan yang bernilai RM37.7 juta untuk dilaksanakan di seluruh kawasan parlimen itu,” kata Najib.

Dana itu untuk dibelanjakan bagi infrastruktur fizikal, sumbangan dan bantuan tunai sertai program sosial.

Menurut carta yang dibekalkan oleh Najib sejumlah RM28.7 juta dibelanjakan bagi sumbangan dan bantuan tunai semata-mata.

“Kerajaan tidak pernah menjanjikan program atau projek kepada rakyat semasa kempen pilihan raya di seluruh negara termasuk di Sibu,” katanya.

“Program dan projek yang dilaksanakan semasa pilihan raya kecil dirancang oleh kerajaan terlebih dahulu sebelum pilihan raya kecil tersebut diadakan sama seperti di kawasan parlimen dan dewan undangan ngeri (DUN) lain di seluruh negara.”

Najib menjawap soalan daripada Wong Ho Leng (DAP-Sibu), yang berjaya merampas kerusi Sibu daripada BN dengan majoriti tipis pada pilihan raya kecil 16 Mei lalu.

Bercakap kepada wartawan di lobi Parlimen, Wong membidas kerajaan kerana gagal membekalkan senarai pecahan penuh berhubung bagaimana wang berkenaan disalurkan.

Katanya, 66 sumbangan kewangan amat dicurigai dan kerajaan sepatutnya memberi penjelasan terperinci.

“Kita tidak tahu apa 66 barangan ini. Adakah ia termasuk RM5 juta yang dijanjikan? Adakah ia termasuk RM18 juta yang diberikan kepada sekolah vernakular? Bagaimana pula wang untuk gereja?

“Ada yang disalurkan ke kategori 'fizikal' dan 'program'. Rakyat berhak tahu mengenai pecahan perbelanjaan itu,” katanya.

“Yang nyata, dana RM37 juta ini menunjukkan bahawa BN akan hanya berbelanja semasa pilihan raya kecil. Justeru, tidak menghairankan rakyat suka pilihan raya kecil.”

Najib sebelum ini dikecam selepas menjanjikan RM5 juta projek tebatan banjir kepada pengundi di Rajak Park dengan syarat BN memenangi pilihan raya itu.

Judi bola: GMJ serah memorandum kepada PM Najib

PUTRAJAYA, 23 Jun: Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) hari ini menyerahkan memorandum bantahan berhubung kelulusan lesen judi bolasepak oleh kerajaan Malaysia, kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi.

Serahan tersebut diketuai pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid serta setiausaha, Suhaizan Kayat bersama Naib Setiausaha Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Goh Kean Seng, wakil Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor, Ser Choog Eng dan dari Budaywan Bertindak, Lee Ban Chen.

Hadir sama mengiringi delegasi serahan adalah Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan serta beberapa pemuda PAS lain.

Memorandum diserahkan kepada penolong setiausaha Pejabat Perdana Menteri, Husnul Hakim Jamaluddin.

Dalam sidang media selepas itu, Azmi berkata GMJ bukan sahaja membantah judi sukan, malah semua kelulusan lebih 40 jenis judi lain.

Negara, katanya terlalu pemurah sehingga terlalu mudah meluluskan lesen judi.

"Ini adalah desakan rakyat. Kita minta kerajaan pertimbang sungguh-sungguh, tarik balik lesen judi.

"Kempen akan disemarakkan lagi, kita akan anjur forum-forum, ajak mesyarakat jangan takut turun 3 Julai ini untuk bersama kita menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya lagi.

Sementara itu, Nasruddin pula berkata, banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan kerajaan untuk menambah pendapatan negara selain meluluskan lesen judi.

"Banyak lagi usaha lain untuk kaut keuntungan, tanpa menjejaskan keharmonian masyarakat," katanya.

Pada sidang media sama, GMJ memaklumkan akan ke IPK Kuala Lumpur esok bagi memohon permit untuk himpunan 3 Julai nanti.

Dalam pada itu, wakil KLSCAH, Ser Choon Ing kecewa dengan tuduhan bahawa orang bukan Islam membenarkan judi.

Katanya, persepsi itu salah kerana semua agama dan bangsa menentang judi.

- Harakahdaily

TG Haji Hadi: Saya memang belajar di universiti Wahabi & Mendapat Biasiswanya tapi...

Mengakui mendapat pendidikan di universiti Wahabi dan mendapat tajaaan 'biasiswa Wahabi', Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, itu tidak menghalangnya daripada mempunya pandangan yang tersendiri dalam hal ehwan agama.

"Saya memang belajar di universiti Wahabi, dapat biasiswa Wahabi," katanya sambil tersenyum.

"Tetapi saya ada pandangan saya sendiri," jelasnya lagi seperti dilaporkan akhbar web PAS Harakahdaily.

Malaysiakini difahamkan dalam mesyuarat anti-keganasan anjuran pihak polis Isnin lalu seorang pegawai daripada sebuah agensi agama memberikan penerangan tentang 'hubungan' beberapa tokoh agama dan politik dengan Wahabi dan Jemaah Islamiah (JI).

Menurut sumber-sumber, selain Abdul Hadi, turut dikaitkan sama dengan 'lingkaran' itu, antaranya bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas mufti negeri Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan mufti sekarang Dr Juanda Jaya.

Ditemui di pejabat pembangkang di Parlimen sebentar tadi, Abdul Hadi berkata cubaan mengaitkan fahaman Wahabi dengan Jemaah Islamiah (JI) atau terorisme adalah agenda Barat serta musuh yang mahu memburukkan Islam.

Katanya, musuh Islam sememangnya menggunakan isu perbezaan mazhab untuk memecahkan umat Islam.

"Wahabi tidak ada kena mengena dengan teroris pun, itu satu agenda Barat dan musuh Islam," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.