Pengawal dakwa isteri Sultan gangu ketenteraman

Seorang pengawal Istana Mahkota, Kubang Kerian di Kota Bharu membuat laporan polis terhadap isteri kedua Sultan Kelantan Cik Puan Elia Suhana Ahmad, yang didakwa melakukan gangguan ketenteraman awam di perkarangan Istana ketika cuba melawat suaminya pada 23 Mei lalu.

Pengawal itu, Muhamad Khairul Abdullah, 24, berkata Elia Suhana, 31, didakwa mengganggu ketenteraman awam di istana tersebut walaupun telah dimaklumkan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra tidak perkenan bertemu dengan isteri kedua baginda itu dan perkarangan istana itu merupakan kawasan yang 'sensitif'.

"Laporan tersebut di buat di Balai Polis Kubang Kerian di Kota Bharu pada jam 8.08 malam pada Khamis lalu.

"Saya mengharapkan polis selepas ini dapat menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya dengan serta merta dan seadil-adilnya," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

Katanya Elia Suhana juga membawa beberapa anggota polis dan kakitangan kerajaan negeri bagi tujuan tersebut.

Meskipun Mahkamah Tinggi Rayuan Syariah di Kota Bharu membenarkan Elia Suhana melawat suaminya, beliau sekali lagi dihalang daripada memasuki Istana Mahkota untuk menemui baginda pada 23 Mei lalu.

Pada 20 Mei lalu Mahkamah Tinggi Rayuan Syariah Rayuan telah membenarkan Elia Suhana melawat Sultan seperti yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Syariah pada 4 Feb lalu.

- Bernama

Ada pemimpian UMNO Kedah Tak Buat Kerja : Timb Pengerusi UMNO Kedah Nak Repot Kepada Ibu Pejabat


ALOR SETAR: Pemimpin UMNO Kedah yang mempunyai banyak kerenah dan tidak menjalankan tugas sebagai pemimpin dengan baik akan dikenakan tindakan kerana sikap mereka menyebabkan pembangkang semakin kuat di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata jika terdapat pemimpin yang hanya mementingkan diri tanpa menjalankan tugas dengan dedikasi, maka kredibiliti Umno akan terjejas.

"Saya tahu ada sesetengah pemimpin bawahan sering mempersoalkan macam-macam perkara sedangkan dia sendiri tidak menggerakkan ahli-ahli di bawahnya bagi melaksanakan sesuatu program yang telah dirancang.

"Kita akan membuat laporan kepada ibu pejabat supaya mereka mengambil tindakan kepada pemimpin yang tidak bertanggungjawab itu," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Alor Setar di sini, hari ini.

Tanpa menamakan pemimpin terbabit, beliau berkata, perkara seperti itu tidak harus berlaku jika mahu melihat Umno terus kuat.

"Jika perkara itu tidak dibendung, ia akan melemahkan Umno dan memberi peluang kepada pembangkang untuk terus bertapak di Kedah hanya kerana kelemahan pemimpin UMNO. Kita tidak mahu perkara itu berlaku," katanya.

Ahmad Bashah berkata, ahli UMNO akan teraniaya jika mempunyai pemimpin seperti itu dan Umno akan mengetepikan ketua yang bersikap pentingkan diri tanpa memikirkan kepercayaan yang telah diberikan oleh ahlinya.
Beliau berkata, UMNO perlu bergerak dalam satu pasukan jika mahu mengambil semula pentadbiran negeri Kedah pada pilihan raya akan datang.

"Ketepikan perkara-perkara remeh dan bekerjasama dalam pasukan bagi memastikan jentera Umno kukuh dan kuat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah turut mendesak kerajaan supaya tidak menyambung pemberian lesen menjalankan operasi pertaruhan judi bola sepak di negara ini.

"Tindakan menyambung lesen perjudian itu hanya memberi kesan negatif terhadap institusi keluarga, masyarakat dan rakyat secara keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata, kerajaan hendaklah meningkatkan penguatkuasaan dan mengambil pendirian yang tegas mencegah orang Islam daripada terbabit dengan sebarang aktiviti perjudian. - Bernama

Dua maut, Lori Rempuh Belakang Treler Rosak di Lebuhraya Elite




SHAH ALAM: Dua kelindan lori yang membawa ayam, maut apabila lori mereka merempuh sebuah treler rosak yang diletakkan di lorong kecemasan di KM2.7 Lebuh Raya Elite di sini, pagi tadi.

Kedua-duanya yang berumur lingkungan 20-an mati di tempat kejadian sementara pemandu lori berkenaan cedera parah dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu.

"Pemandu lori berkenaan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang untuk rawatan," kata Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Superintendan Che Hussin Omar.

"Lori yang membawa ratusan ayam itu dilaporkan dalam perjalanan dari sini ke Seremban dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke lorong kecemasan sebelum merempuh treler terbabit," tambahnya.

Kesemua ayam di dalam lori tersebut terbang keluar dan berkeliaran di atas lebuh raya sehingga ada antaranya mati dilanggar kenderaan yang lalu lalang di situ. - Bernama

Parlimen Serahkan Kepada SPR, AG Tentukan Status Tian Chua



KUALA LUMPUR, 19 Jun — Dewan Rakyat akan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Peguam Negara untuk menentukan status Ahli Parlimen Batu Tian Chua yang kini berhadapann dengan risiko dilucutkan kerusi walaupun dendanya diturunkan kepada RM2,000 kelmarin.

Timbalan Speaker Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bagi mengelakkan masalah berkaitan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Dewan Rakyat akan merujuk kes berkenaan kepada SPR untuk diputuskan.
“Dewan Rakyat tidak perlu membincangkan kes ini... ini adalah kes (kadar denda) yang marginal di mana denda yang dikenakan RM2,000 (di paras sempadan), lebih elok statunya diputuskan oleh Peguam Negara,” katanya lagi.

“Apabila mahkamah memaklumkan kepada kami (Parlimen), kami akan merujuk kes ini kepada SPR, yang saya percaya akan mendapatkan nasihat Peguam Negara bagi menentukan kerusi Batu, yang pada pandangan saya kemungkinan sudah kosong (dengan keputusan mahkamah kelmarin),” kata Wan Junaidi ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Wakil rakyat itu berhadapan dengan risiko itu meskipun hukumannya dikurangkan daripada RM3,000 kepada RM2,000.

Ketika ditanya sama ada Pejabat Speaker Dewan Rakyat akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan kes ini dalam waktu terdekat, “kita akan berbincang bila tiba masa.”

“Kami belum dimaklumkan apa-apa lagi (oleh mahkamah)... kami akan bercakap bila kami merentasi jambatan,” katanya dengan berseloroh.

Tanpa menolak wujudnya kes-kes rujukan masa lalu, Wan Junaidi berkata, usul bagi memutuskan status jika dibawa ke Dewan Rakyat, berdasarkan kedudukan semasa, secara logik akan menyumbang kepada undi tidak memihak kepada wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat itu.

Barisan Nasional (BN) masih memiliki kelebihan dari segi kerusi di Dewan Rakyat sekarang dengan 137 anggota.

“Dalam hal ini, saya secara peribadi berpandangan bahawa jika majoriti wakil rakyat mengundi mengesahkan kerusi Batu kosong, orang ramai akan mencemuh (seolah-olah Parlimen tidak adil)... ia juga akan mengakibatkan implikasi dari sudut peruntukan perlembagaan.

“Akan ada yang berpandangan bahawa Parlimen bertindak bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi, saya berpendapat lebih baik perkara ini diteliti oleh SPR dengan nasihat Peguam Negara,” kata Wan Junaidi lagi.

Peguam Tian Chua, 47, yang gagal menemui hakim kes pagi semalam akan bertemu beliau Isnin ini.
Bagaimanapun peguam Tian Chua memaklumkan hakim kes menerusi timbalan pendaftar berpendapat bahawa peruntukan hukuman cukup jelas dan tidak memerlukan sebarang penjelasan lanjut.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, usul mengenai status kedudukan wakil rakyat boleh dibawa oleh mana-mana anggota Dewan Rakyat, katanya.

“Bukan Speaker yang membawa usul, tetapi anggota Dewan akan membawa usul ini,” kata Wan Junaidi.
Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa seseorang anggota Dewan Rakyat boleh hilang kerusi dimenanginya jika dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang RM2,000 dan ia tidak mendapat pengampunan.

Mengenai keputusan hilang status kelayakan, Perkara 53 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa “jika berbangkit apa-apa soal sama ada seseorang ahli Majlis Parlimen telah hilang kelayakan menjadi ahli, maka soal itu hendaklah diputuskan oleh Majlis itu dan keputusannya itu adalah muktamad.”

Peruntukan ini menambah, “dengan syarat bahawa Perkara ini tidak boleh ditafsirkan sebagai menghalang amalan Majlis menangguhkan sesuatu keputusan supaya langkah-langkah (termasuk langkah-langkah membatalkan hilang kelayakan itu) yang mungkin menyentuh keputusannya boleh diambil atau ditamatkan.”

Peguam Karpal Singh berkata Tian Chua yang juga Pengarah Strategi PKR tidak lagi sah sebagai anggota Dewan Rakyat.

Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata kerusi wakil rakyat Batu itu secara automatik menjadi kosong ekoran keputusan Mahkamah Tinggi itu, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya kecil.

“Jika denda RM2,000 (beliau) habis. Kerusi menjadi kosong. Perlembagaan Persekutuan dengan jelas mengatakan bahawa RM2,000 atau lebih, anda sudah hilang kelayakan.

“Tiada hujah lagi dalam soal ini,” kata Karpal.

Dengan merujuk kepada Ahli Parlimen Menglembu Fan Yew Ting pada 1975 sebagai kes rujukan, Karpal memberitahu Speaker Dewan Rakyat telah mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas beliau didenda RM2,000 ekoran kesalahan di bawah Akta Hasutan.

Karpal memberitahu, undang-undang itu telah dipinda selepas kes Fan yang membolehken kelucutan secara automatik apabila seseorang Ahli Parlimen didapati bersalah tanpa perlu melalui Dewan Rakyat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.