Gadai Pangkalan TUDM Bahayakan Negara: Dato' Mahfuz


KUALA LUMPUR, 16 Jun: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, rancangan untuk menggadaikan pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi kononnya untuk tujuan pembangunan membahayakan negara kerana ia bertentangan dengan konsep pertahanan menyeluruh.

"Tindakan itu akan menyebabkan negara akan kehilangan sebuah pangkalan pertahanan di tengah bandar sedangkan ia merupakan satu elemen penting kepada pertahanan nasional yang menepati konsep dan perlaksanaan pertahanan menyeluruh (Hanruh).

"Amat tidak wajar pangkalan pertahanan yang begitu strategik digadaikan semata-mata untuk memenuhi kepentingan kroni pihak yang berkuasa sedangkan pangkalan pertahanan udara seperti di Sungai Besi masih dikekalkan di kebanyakan negara maju," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menegaskan, pangkalan TUDM di Sungai Besi bukannya sekadar ruang-ruang pejabat malah ia adalah pusat operasi tentera udara serta pusat integrasi maklumat radar pertahanan udara di bawah tanah dengan hubungan terus dari Butterworth di utara, Kuantan di timur dan maklumat radar mobile dari Bukit Ibam yang mana masa yang begitu lama terpaksa diambil untuk memastikan sistem tersebut betul-betul berfungsi dengan baik dan tepat.

"Pangkalan itu juga merupakan pusat sistem MADGE (Malaysia Air Defence Ground Environment) yang menggunakan sistem Hughes Air Defence Radar," katanya.

Mahfuz juga mempersoalkan apakah jaminan kerajaan tentang jurang masa pemindahan (transfer gap time) yang mana akan melibatkan beberapa tahun lagi untuk proofing dan commissioning.

"Itu belum lagi diambilkira kosnya sedangkan segala kos yang tersembunyi dalam proses pemindahan itu akhirnya terpaksa ditanggung oleh TUDM, angkatan tentera dan rakyat Malaysia," katanya.

Beliau juga mempersoalkan tentang risiko pemindahan Electronic Warfare Support Centre (EWSC) memandangkan fasiliti tersebut amat sensitif dan kritikal sehingga terpaksa membuka kasut untuk masuk ke dalamnya.

"Mengapa kerajaan buat-buat tidak sedar mengenai perkara itu sedangkan electronic warfare amat penting dan kritikal untuk pertahanan masakini.

"Tidakkah pemindahan demi kepentingan komersil beberapa kroni itu akhirnya akan menjejaskan keupayaan sistem tersebut dalam mengumpul, menafsir, menyebar data-data dan memprogramkan semula electronic warfare termasuk dalam tindak balas elektronik dan langkah-langkah sokongan," Mahfuz mempersoalkan.

Beliau juga yakin, oleh kerana pengkalan tersebut merupakan pusat operasi tentera udara (POTU), akan wujud tempoh tertentu yang mungkin panjang di mana negara kehilangan kawalan semasa proses pemindahan fasiliti penting itu.

Beliau juga mempersoalkan mengapa tiada sebarang maklumat ke mana pemindahan akan dibuat dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanya mengumumkan pangkalan tersebut akan dipindahkan ke satu tempat yang telah dikenal pasti dan beliau akan umumkan apabila tiba masanya kelak.

"Bagaimana pula maklumat tentang kos perolehan , kos tidak langsung dan pampasan?" soal beliau.

Mahfuz juga mempersoalkan, adakah kerajaan akan mengulangi kesalahan yang dilakukan berkali-kali sebelum ini apabila ia menyisihkan komuniti tentera dari bandar seperti menjual Kem Majidee, Kem Transit Ampang, Markas 2 Div di Pulau Pinang, Kuarters Tentera di Batu Uban sehingga mengakibatkan negara ketiadaan fasiliti back up yang penting untuk keselamatan negara.

"Adakah tentera negara kita hanya layak tinggal di pedalaman dan dalam kuarters flat tanpa halaman?

"Mengapa hendak dimusnahkan keadaan pangkalan Sungai Besi yang kemas dan tersusun dengan binaan kuarters yang selesa dan dengan infrastruktur yang tersedia untuk memberi pulangan kepada beberapa kroni untuk membuat binaan konkrit yang bakal menjadi satu lagi projek gajah putih memandangkan ruang pejabat di Kuala Lumpur pun berlebihan tanpa mengambil kira ruang-ruang yang pejabat yang tidak digunakan di Bangsar South, Petaling Jaya, Cyberjaya dan lain-lain," Mahfuz mempersoalkan lagi.

Penggadaian pangkalan TUDM di Sungai Besi yang begitu established memusnahkan peninggalan sejarah yang penting dalam pertahanan negara sedangkan ia adalah pangkalan udara yang pertama di negara ini, kata beliau.

Dr M Setuju Beri Lesen Pertaruhan Sukan

Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan bantahan pembangkang terhadap usaha meluluskan lesen judi sukan di negara ini bukanlah disebabkan ajaran agama, tetapi demi kepentingan politik semata-mata.

"Bantahan itu kerana politik, bukan kerana Islam. Takkanlah DAP pun hendak dokong ajaran Islam. (Bila) DAP pun dapat sertai (bantahan), ini (menggambarkan) politik parti pembangkang hendak cari isu.

"Sedangkan dalam muktamar PAS ada cadangan suaya semua jenis judi diharamkan, tetapi PAS tak hendak," katanya ketika ditanya tentang bantahan pembangkang melalui pelbagai cara seperti ceramah dan demonstrasi.

Beliau mempersoalkan kenapa PAS lantang menentang judi sukan di negara ini kerana terdapat pelbagai lagi jenis judi lagi.

"Yang dia (PAS) kata tak boleh, (judi) sukan, bola sepak (sahaja). (Bantahan) ini politik, kita kena asingkan soal politik dengan soal agama.

"Bagi PAS, agama adalah alat politik mereka," katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas berucap dalam perhimpunan 'Melayu Bangkit' di Kuala Terengganu hari ini, Dr Mahathir juga berkata masyakarat hendaklah mengakui, sama ada suka atau tidak, aktiviti perjudian memang berlaku di negara ini.

'Kalau Melayu berjudi, tangkaplah'

"Saya berpendapat bahawa ada lesen ataupun tidak, judi memang ada di negara kita ini kerana orang Cina memang suka berjudi.

"Tetapi kalau dia berjudi tanpa lesen, tidak ada cara untuk kita menentukan perjudian itu tidak berleluasa," katanya menyokong cadangan kerajaan itu.

Tambahnya, orang Cina yang ingin berjudi tidak boleh dihalang bagi melakukannya kerana ia "hanya haram bagi orang Islam"

"Orang Islam jangan berjudilah. Kalau dia pergi berjudi, tangkaplah. Sama juga (bila) orang Islam tidak makan babi.

"Kalau orang bukan Islam hendak makan juga, itu hak dialah," katanya.

Ditanya tentang khabar angin kerajaan mahu melindungi hartawan Vincent Tan yang didakwa membantu Umno dalam pilihan raya, sambil ketawa kecil, Dr Mahathir menafikan perkara itu.

"Tidak, Vincent Tan selama ini dia meniaga di luar negeri, di negeri Cina, di Vietnam, di Korea. Dia tak payah cari duit di sini," katanya.

NGO tak yakin pada Umno semata-mata

Tambahnya, lagi pun, Vincent telah mendermakan wang sebanyak 500 juta hasil penjualan Ascort Sport Sdn Bhd kepada kumpulan BERJAYA.

"Dan dana itu untuk semua orang, bukan untuk Umno.... Orang lain pun dapat. Saya fikir Vincent ini, bukan saja dia bagi duit pada Umno. Saya ingat dia bagi pada parti lawan pun sama.

"Saya ingat, (itu) hendak tentukan dia tak ada masalah (dengan dua-dua pihak). Orang perniagaan macam itulah, hati-hati, sebelah itu dia sokong, belah ini pun dia sokong," katanya.

Sementara itu, mengulas tindakan 45 NGO Melayu mengadakan perhimpunan di negeri itu hari ini, Dr Mahathir berkata ia menunjukkan mereka tidak lagi yakin kepada perjuangan Umno semata-mata.

"Mereka perlu menjadi kumpulan pendesak. Ini bermakna ada sesuatu yang tidak disenangi oleh orang Melayu," katanya.

"Saya khuatir. Orang Cina nampaknya tidak hendak sokong BN lagi. Dan jika tidak juga dapat sokongan daripada orang Melayu, kemungkinan BN akan kalah."

MAPPIM Anjur Konvoi Ramadhan ke Gaza - Bertemakan "Ramadhan March For Freedom"

AZmiOleh Jamilah Kamarudin

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPPIM) akan menganjurkan misi Konvoi Ramadhan ke Gaza Ogos ini dalam misi bantuan keamanan melalui sempadan Rafah di Mesir.

Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, bertemakan "Ramadhan March For Freedom", tujuan misi ini merupakan lanjutan usaha ‘Freedom Flotilla’ yang dihalang oleh rejim Zionis Israel pada 31 Mei lalu.

"Misi ini adalah inisiatif rakyat Malaysia dan MAPPIM akan menerajui misi ini sebagai satu usaha masyarakat di Malaysia dan dunia untuk membebaskan Gaza sebagai sebuah wilayah Palestin yang berdaulat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, walaupun konvoi ‘Freedom Flotilla’ dihalang Israel, peristiwa itu telah membangkitkan semangat rakyat Malaysia untuk meneruskan usaha menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Walaupun risiko yang akan dihadapi sama berat seperti yang dihadapi oleh misi sebelum ini, namun MAPPIM berpendirian sikap jenayah Israel ini harus dicabar sehingga keadilan dan hak rakyat Palestin di Gaza dapat dikembalikan.

Azmi yang juga Pengarah konvoi ini berkata, kerajaan Mesir telah membuka pintu sempadannya di Rafah namun tidak pasti sama ada Mesir akan terus mengekalkan keputusan itu.

"MAPPIM juga akan melancarkan lobi antarabangsa untuk mendesak Mesir mengubah polisinya bagi penduduk Palestin mendapat akses kepada dunia luar seperti sebelumnya.

"Kita juga bermatlamat dengan pembukaan Rafah di bulan Ramadhan oleh kerajaan Mesir akan memulakan proses kemerdekaan Gaza bagi menamatkan kesengsaraan rakyat Palestin sejak lebih tiga tahun yang lalu," ujarnya lagi.

Sementara itu, wakil Perdana Global Peace Organisation (PGPO), Datuk Mukhriz Mahathir menyambut baik usaha MAPPIM dan akan membentangkan cadangan itu kepada mesyuarat PGPO yang akan datang.

"Kita perlu terus memberi tekanan kepada Israel. Tidak timbul soal melanggar undang-undang Israel kerana kita tidak pernah iktiraf sekatan tersebut yang jelas melanggar undang-undang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya.

Misi ini akan turut membabitkan 300 hingga 500 aktivis keamanan termasuk daripada wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan media.

Apakah Tragedi Sama Akan Berulang? Kontraktor Stadium Gong Badak Bina Istana Baru

Keselamatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bakal dalam keadaan berbahaya, kata ahli parlimen Taiping, Nga Kor Ming kerana seorang daripada kontraktor yang dipertanggung-jawabkan membina laluan ke istana baru itu adalah kontraktor yang sama membina Stadium Gong Badak di Kuala Terengganu yang runtuh tahun lalu.

Pada kejadian itu, struktur bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang bernilai RM300 juta itu runtuh, kurang setahun selepas siap pada 2008 dan digunakan sempena Sukan Malaysia Ke-12 (Sukma) yang Terengganu menjadi tuan rumah. Ia kini tersadai tanpa sebarang usaha pemulihan.

Syarikat yang dipertanggung-jawab membina laluan dari Jalan Duta ke istana baru itu pada kos RM130 juta adalah kontraktor yang sama membina stadium berkenaan.

Sehubungan itu, Ngar hari ini di lobi parlimen mendesak Kementerian Kerja Raya memberi penjelasan mengapa kontraktor yang mempunyai reputasi buruk dibenar terbabit membina Istana Negara yang bakal menempatkan kediaman Yang Dipertuan Agong.

Semalam, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa kos pembinaan istana baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur meningkat dua kali ganda dalam tempoh empat tahun.

Semasa sesi soal-jawab semalam, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng berkata istana tersebut dianggar menelan belanja RM400 juta pada tahun 2006 tetapi kini kosnya meningkat kepada RM811 juta.

Kontrak pembinaan istana itu diberikan kepada tiga syarikat melalui perundingan langsung, dan bukan melalui tender terbuka, kata Yong.

Katanya, kontrak tersebut diberikan melalui cara tersebut kerana Istana Negara adalah "unik" dan memerlukan pertimbangan keselamatan tambahan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.