Ucapan Kumuthan, Ketua Wanita DHPP jadi tumpuan perwakilan

KOTA BHARU, 10 Jun: Ucapan Ketua Wanita Dewan Himpunan Penyokong PAS, Kumutha a/p Rama, menjadi tumpuan para perwakilan dan pemerhati apabila beliau sering mengaitkan agama dalam ucapannya.

Kerana semangatnya yang melahirkan rasa syukur berada dalam sebuah parti yang memperjuangkan Islam bersama kepimpinan ulama, kedengaran anggota perwakilan bertakbir.

Kumutha dalam ucapan penangguhannya menegur sikap muslimat sewaktu muktamar yang kadang-kadang agak riuh rendah khususnya sewaktu membahaskan usul.

Menurutnya, sebagai seorang muslimat etika perlu dijaga.

“Sebagai seorang muslimat kita kena sabar, bukankah sabar itu separuh daripada imam,”ujarnya sambil disambut takbir oleh para perwakilan.

Sambungnya, agama Islam memang diakui baik dan murni kerana itu nilainya perlu dijaga oleh para ahli.

“Saya tinggal di Johor, saya dapati kaum muslimat ramai menutup aurat berbanding golongan lain yang tidak mengikuti jemaah ini,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau mengingatkan anggota parti jangan terpengaruh dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana mereka ada udang di sebalik batu.

Katanya, jangan sekali-kali terpedaya dengan Umno yang tidak pernah jujur, berfikir dulu sebelum bertindak.

Beliau turut mempertikaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini membuat slogan Satu Malaysia.

“Sebelum slogan tu Malaysia ada banyak ka? Satu ni je Malaysia,” ujarnya sambil mendapat tepukan gemuruh para perwakilan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dalam ucapan penggulungan mencadangkan perwakilan dan pemerhati mengekalkan pakaian rasminya hijau putih.

Menurutnya, keseragaman pakaian itu menandakan kesepakatan dalam perjuangan Islam.

“Walaupun warna lebih kurang pelajar Pasti tak apalah, asalkan kita ada identiti kita dan perpaduan dan kesatuan dalam parti,” ujarnya.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh ketika menggulung ucapannya, mengharapkan anak bongsu PAS dapat membantu melebarkan perjuangan PAS di seluruh negara.

Sambungnya, untuk itu Dewan Himpunan Penyokong PAS perlu diwujudkan di setiap negeri dan kawasan di seluruh negara.

Katanya, warna hijau lembut menggambarkan keceriaan dan bukannya kanak-kanak Pasti.

“Kumutha pun boleh pakai baju warna ni ya,” ujarnya.

Jom Desak Halau Kapal Zionis Israel Dari Pelabuhan Klang - Mapim & Shura

KUALA LUMPUR 10 Jun - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) hari ini mendesak kerajaan Umno-Barisan Nasional menjelaskan kenapa membenarkan kapal Israel Zim Genova yang berdaftar di Israel berlabuh di Pelabuhan Barat, Klang Isnin lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini dua pertubuhan itu berkata pendedahan yang dibuat di dalam rencana Utusan Malaysia pada 9 Jun lalu membuktikan pada haikatnya kerajaan tidak konsisten dalam hal hubungannya dengan Israel.

"Makluman bahawa ada juga barangan dari negara rejim Yahudi ini memasuki negara ini, semada secara terus atau dari negara ketiga adalah amat mengejutkan.

"Persoalan yang ditanya benarkah Israel diizinkan memasuki ke pelabuhan kita dan mengadakan aktiviti perdagangan dengan negara ini, dan ini secara jelas telah dijawab oleh Menteri Pengangkutan.

"Mapim dan Shura amat kesal dengan pendedahan yang menunjukkan hiprokasi yang amat nyata," kata kenyataan itu yang diemel kepada Suara Keadilan.

Menurut Setiusaha Agung Mapim, Azmi Abdul Hamid dan Pengerusi Shura, Abdul Ghani Samsuddin adalah anehnya ketika usul khas di Parlimen dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 7 Jun lalu berkaitan dengan kecaman dan tindakan yang akan di bawa oleh kerajaan Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk bertindak ke atas Israel, tiba-tiba pada hari yang sama dilaporkan kapal Zim Genova milik syarikat Zim Israel Navigation Company berlabuh di Pelabuhan Klang membawa kargo yang besar.

"Lebih pelik lagi dilapor oleh rencana tersebut selain Zim Genova, kapal-kapal Zim lain yang berulang-alik ke Pelabuhan Klang ialah Zim USA (didaftarkan di Israel), Zim Kingston, Zim Monaco (pelabuhan terakhir: Pelabuhan Klang enam hari lalu), Zim Dalian dan Zim Lovorno (yang kesemuanya didaftarkan di beberapa buah negara lain).

"Mapim dan Shura terkejut bagaimana pula ada rundingan senyap hubungan perdagangan atau perkhidmatan pelabuhan dilakukan dengan syarikat perkapalan Israel dengan Malaysia.

"Ini sudah pasti suatu penipuan kepada rakyat Malaysia dan dunia umumnya, betapa Malaysia bertalam dua muka dalam perhubungannya dengan Israel.

"Kenyataannya bila kapal kemanusiaan Mavi Marmara dan Rachel Corrie yang disertai rakyat Malaysia kita dihalau dan diserang di pengairan antarabangsa kenapa pula kapal Israel sewenang-wenangnya dibenarkan berlayar dan berdagang di negara ini!," tegas kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu mencabar sama ada kapal MISC milik Malaysia dibenarkan memasuki Pelabuhan Haifa di Israel.

Mapim dan Shura berpendirian dengan jawapan jelas pihak Kementerian Pengangkutan bahawa kapal Israel dibenar berdagang di Malaysia, membuktikan Malaysia telah mengkhianati rakyat Palestin.

"Walau apapun syarat dan peraturan dikenakan ke atas kapal Israel, membenarkan kapal tersebut berlabuh itu sendiri adalah suatu tindakan yang bertentangan dengan sikap yang diambil oleh seluruh rakyat Malaysia dan semangat dari usul yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini.

"Penjelasan Kementerian bahawa pihak West Port menetapkan syarat kepada kapal Israel itu tidak boleh diterima samasekali. Jika Malaysia mempunyai dasar tidak mahu ada apa-apa hubungan dengan negara yang tidak ditiktiraf, kenapa kapal itu dibenarkan masuk dan berlabuh di Klang?

Mapim dan Shura dengan itu mendesak supaya kerajaan mengarahkan kapal itu keluar dari Pelabuhan Klang dan menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada lagi kapal Israel yang akan dibenarkan berlabuh di pengairan Malaysia," desak pertubuhan itu lagi.

-SK

MB Selangor Pertikai RMK-10, Dakwa Abai Selangor


KUALA LUMPUR, 10 Jun – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mempertikaikan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini dengan mendakwa ia mengabaikan pembangunan di Selangor dan Lembah Klang.

Beliau juga menyifatkan pentadbiran Najib sebagai telah hilang fokus dalam mencapai matlamat RMK-10.

“Adakah keputusan mengabaikan Selangor dalam fokus pembangunan ini disebabkan politik? Jika ya, keputusan ini telah membelakangkan kepentingan rakyat.

“Saya ingin menegaskan bahawa usaha mentranformasi ekonomi Malaysia perlu diberi penekanan terhadap tiga perkara penting iaitu penilaian semula saiz sektor awam, meliberalisasi saluran tranformasi dan membina ‘talent bank’ di kalangan tempatan dan antarabangsa,” katanya lagi.

Sehubungan itu kata beliau, RMK-10 hanya memberi fokus terhadap pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), tetapi tidak di Selangor dan Lembah Klang.

“Saya menegaskan IDR, NCER dan ECER adalah projek untuk mendapatkan modal benih bagi pembangunan tanah dan infrastruktur.

“Apabila memperkatakan tentang pembangunan, Selangor dan Lembah Klang yang menjadi pemangkin pembangunan kepada Malaysia selama ini langsung tidak dinyatakan dalam RMK-10.

“Perdana Menteri hanya menyebut rangsangan ekonomi ditumpukan kepada Kuala Lumpur yang merupakan sebahagian kecil Lembah Klang,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, Selangor yang merupakan sebahagian daripada Bandar gabungan Lembah Klang adalah kawasan tengah industri dan perdagangan di negara ini sepatutnya layak dimasukkan dalam pelan pembangunan kerajaan.

“Selangor juga mempunyai penduduk berjumlah lima juta serta menyumbang kutipan cukai paling tinggi, jadi ia sepatutnya layak dimasukkan dalam pelan pembangunan kerajaan.

“Selain itu, tidak wajar jika pentadbiran Najib mengabaikan Selangor yang menempatkan paling banyak bilangan universiti dan pusat pengajian tinggi.”

Khalid juga mempersoalkan pentadbiran Najib sama ada sengaja mengabaikan fakta bahawa Selangor merekodkan jumlah projek industry paling banyak pada 2008 dan 2009.

“Adakah pentadbiran Najib sengaja mengabaikan fakta bahawa Selangor merekodkan jumlah projek industri paling banyak pada 2008 dan 2009, selain menjadi negeri paling banyak mencipta peluang pekerjaan serta mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi di Semenanjung?

“Jika Perdana Menteri melihat kepada sektor yang disasarkan pembangunannya iaitu sektor pendidikan, pelancongan dan kesihatan, kesemua sektor ini berpusat di Lembah Klang.

“Selain itu, sektor industri dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) semuanya tertumpu di Lembah Klang,” katanya.

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Dewan Ulama, Pemuda PAS Ambil Langkah Gesa Hapus Semua Judi


MACHANG, 10 Jun – Dewan Ulama PAS Pusat bergerak satu langkah ke depan dengan mendesak kerajaan pusat agar menghapuskan semua bentuk perjudian di negara ini.

Sayap ulama PAS itu juga mendesak supaya semua premis judi ditutup.

Bagaimanapun ketegasan itu tidak menyebut bila ia harus dilakukan.

Kelainan ini diperlihatkan walaupun Pemuda PAS baru-baru ini telah memulakan Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) dengan kerjasama lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan berhubung kelulusan mengendalikan operasi judi sukan.

Pendirian Dewan Ulama itu diputuskan sebagai salah satu usul Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS yang berlangsung Markas Dewan Ulama di sini hari ini.

”Judi jelas diharamkan dalam Islam. Aktiviti pelbagai bentuk judi diadakan di bawah BN sejak merdeka, dan ditambah dengan perjudian sempena musim bola sepak, maka kita sudah dapat lihat kesan-kesan buruk.

“Kita dapat melihat bahawa judi adalah seperti penyakit kanser, boleh membawa pelbagai kanser.

“Oleh itu Dewan Ulama mendesak agar kerajaan menghapuskan lessen perjudian dalam semua bentuk, mendesak menteri yang meluluskan lessen (judi) meletak jawatan,” kata usul itu.

Dewan Pemuda PAS yang mengadakan muktamarnya di Kota Baru hari ini juga dijadual meluluskan usul meminta agar judi sukan dihapuskan.

Persidangan Pemuda PAS akan disambung malam ini.

Dalam pada itu Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan Al-Tantawi berkata, sayap itu akan memberi komitmen 200 peratus untuk menggerakkan rakyat agar bangkit menentang kemungkaran judi yang tiada agama membenarkannya.

“Kini rakyat mula tertanya-tanya, agama apakah yang sedang dianuti oleh kerajaan Umno dan BN tatkala mereka meluluskan lesen perjudian ini.

“Kami turut melahirkan rasa kecewa apabila menyaksikan Menteri Agama, penasihat agama dan mufti–mufti dalam negara kita membisu sejuta bahasa berdepan dengan kemungkaran yang tiada ruang khilaf dan takwil ini,” jelasnya.

Justeru, menurut beliau, sebagai satu pengajaran dan didikan berkesan, Dewan Pemuda PAS menyeru agar negeri–negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat tidak memberi kerjasama kepada kerajaan pusat pimpinan Umno dan BN dalam menyuburkan amalan mungkar judi.

“Negeri–negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat mesti dilihat lebih baik dan mulia berbanding kerajaan Umno dan BN dengan terlebih dahulu memberi contoh dan teladan kepada mereka,” katanya.

Jelasnya, kerajaan Pakatan Rakyat mestilah memberikan komitmen serupa untuk memerangi jenayah judi ini dengan tidak lagi memperbaharui lessen premis perjudian yang beroperasi di bawah wilayah penguasaan mereka.

“Lantaran itu kami (Dewan Pemuda) yakin pengundi memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan, menjaga serta memelihara tanah air dan seluruh penghuninya dari terjebak dalam kancah mungkar seperti judi yang mampu membinasakan tamadun ummah,” tambahnya lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.