Perlantikan Baru Suhakam: Tan Sri Hasmy Agam Sebagai Pengerusi

Tan Sri Hasmy Agam ketika dalam sidang akhbar di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Eksekutif Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDHL), Kementerian Luar Tan Sri Hasmy Agam hari ini dilantik sebagai Pengerusi baru Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga mengumumkan pelantikan anggota-anggota baru Suhakam, iaitu Muhammad Sha'ani Abdullah, Profesor Datuk Dr Khaw Lake Tee, James Deva Nayagam, Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi A.Majid, Jannie Lasimbang dan Detta anak Samen.

Pelantikan itu untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa pada 26 April lepas, menurut Perdana Menteri dalam kenyataan akhbar beliau kepada Bernama di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata menurut subseksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan anggota Suhakam tersebut.

"Selaras dengan subseksyen 6(1) Akta 597, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan Tan Sri Hasmy Agam dilantik sebagai Pengerusi Suhakam," katanya.

Pengerusi Suhakam sebelum ini ialah bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman. -BERNAMA

Menteri : Tiada Kompromi Lagi Dengan Tuntutan PPPBRM. Kita Tunggu Dan Lihat...

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kementeriannya tidak akan berkompromi lagi dengan tuntutan Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia.

Beliau mengulas ugutan daripada peruncit di seluruh negara bahawa mereka akan menghentikan jualan gula, minyak masak dan tepung gandum selepas 15 Jun jika pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mewajibkan mereka memiliki lesen runcit barang-barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Kita sudah berjumpa dengan mereka dan juga memenuhi sesetengah tuntutan awal mereka,” katanya.

Sebagi contoh, menurut Ismail Sabri bayaran RM10 untuk lesen yang dicadangkan pada awalnya telah ditarik balik dan lesen itu sekarang akan diberikan percuma.

"Untuk memudahkan proses itu, kami akan menghantar pegawai ke kedai mereka untuk mengeluarkan lesen dan ia boleh dilakukan ketika itu juga,” katanya.

Penguatkuasaan lesen barangan terkawal itu juga telah ditunda ke 1 Julai seperti yang dituntut oleh persekutuan itu.

Menurut Ismail lesen berkenaan penting bagi memantau kegiatan segelintir peruncit yang mengambil kesempatan subsidi gula dan menjualnya di pasaran gelap.

Katanya lagi, jika peruncit memulaukan penjualan barangan terkawal itu, pengguna masih boleh membelinya di tempat lain.

"Hypermarket, supermarket, pasar tani masih menjual gula. Sebagai alternatif, kedai di stesen petrol juga akan dipertimbangkan,” katanya.

Minggu Depan Gula, Tepung & Minyak Masak Tiada Di Pasaran: Kenapa PPPBRM Tak Bincang Dengan Menteri Berkenaan??

Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia mahu menghentikan perniagaan penjualan tiga barang kawalan iaitu gula, minyak masak dan tepung gandum berkuat kuasa 15 Jun ini.

Keputusan itu dinyatakan oleh persekutuan itu semasa sesi dialog dengan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek di Wisma MCA hari ini.

Dr Chua pada sidang akhbar kemudian berkata persekutuan itu menjelaskan bahawa keputusan mereka bukannya sebagai membantah pelaksanaan lesen barang kawalan oleh kerajaan tetapi kerana keuntungan yang tidak setimpal.

"Pada masa ini, keuntungan penjualan tepung gandum, gula dan minyak masak yang diperolehi oleh peruncit amatlah sedikit ditambah lagi dengan barang kawalan ini perlu memohon lesen dan mengakibatkan pendapatan peruncit terjejas.

"Keuntungan setiap satu kilogram gula yang diterima oleh peruncit adalah tiga sen, 20 sen bagi setiap lima kilogram minyak masak manakala tiga sen bagi setiap kilogram tepung gandum," katanya.

Turut hadir ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai, Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia, Lean Hing Chuan dan penasihat persekutuan Yeo Chee Soong.

Dr Chua berkata beliau difahamkan bahawa setiap kedai mempunyai sembilan hingga 11 lesen yang perlu dipohon antaranya lesen premis, lesen beras, lesen gas, lesen timbang, lesen papan tanda, lesen peralatan kebakaran dan lesen kawalan barangan sempena hari sambutan.

"Kami terkejut dengan beban peruncit kerana mereka perlu memohon dan membayar lesen RM1,107 setiap tahun," katanya.

Bagaimanapun Dr Chua merayu kepada persatuan ini agar memberi pertimbangan semula keputusan mereka kerana beliau yakin kerajaan akan mengkaji semula pelaksanaan lesen itu.

"(Timbalan presiden) Liow akan membangkitkan isu ini pada mesyuarat Jemaah Menteri pada akan datang," katanya.

Bulan Sabit Merah Iran Akan Kirim 2 Kapal Bantuan ke Gaza Akhir Minggu Ini

Bulan Sabit Merah Iran telah memutuskan untuk mengirimkan dua kapal bantuan ke Gaza bulan ini dalam sebuah tawaran terbaru untuk mematahkan perintah yang dikenakan terhadap wilayah Gaza Palestina.

Pengarah Bulan Sabit Merah untuk urusan luar negara Abdul Rauf Adibzadeh mengatakan kepada pejabat berita negara IRNA pada malam minggu bahawa keputusan untuk mengirim kapal-kapal itu diambil setelah pertemuan dengan kementerian luar negeri.

"Satu kapal akan membawa sumbangan dan kapal yang lain akan membawa pekerja bantuan. Kapal-kapal akan dikirim ke Gaza pada akhir minggu ini," kata Adibzadeh.

Dia mengatakan Bulan Sabit Merah menyerukan relawan Iran untuk bertindak sebagai pekerja bantuan dan mendampingi kapal.

"Sukarelawan yang ingin pergi ke Gaza dan membantu rakyat tertindas di Palestin yang diduduki boleh merujuk ke laman web Bulan Sabit Merah untuk mendaftar," kata Adibzadeh.

Dia mengatakan rancangan awal adalah untuk mengirim kapal bantuan melalui negara perantara, namun berdasarkan keputusan oleh masyarakat Iran, mereka akan mengirim langsung bantuan. Dia menambahkan bahawa bantuan tersebut akan terdiri dari bahan makanan dan ubat-ubatan.

Bulan Sabit Merah Iran sebelumnya telah mengirimkan sebuah kapal yang membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza pada bulan Disember 2008, tapi dicegah dari menjangkau wilayah tersebut oleh Angkatan Laut Israel.

Sumber: (fq/aby)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.