Gambar2 Perkahwinan: Selamat Pengantin Baru Buat Aziz M. Osman, Beza Umur 27 Tahun Dengan Isteri

Aziz M. Osman dan Puteri Lily Lokman kini sah bergelar suami isteri. - Foto oleh RICKY LAI

KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, pengarah filem dan drama popular Aziz M. Osman, 48, kini sah bergelar suami kepada Puteri Lily Lokman, 21.

Aziz dinikahkan sendiri oleh bapa kepada pengantin perempuan yang juga aktivis teater, Lokman Ghani, 52, di hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) Abdullah Hashim serta ahli keluarga dan kenalan.

Majlis akad nikah diadakan di Masjid Negara, di sini kira-kira pada pukul 10.10 pagi tadi.

Kekosongan hati Aziz selama hampir dua tahun kembali terisi dengan kehadiran Puteri Lily menjadi suri hatinya.

Pengantin perempuan menerima mas kahwin berjumlah RM1,000 beserta sembilan dulang hantaran termasuklah sejadah, Al-Quran, baju kemeja, tali pinggang, set minyak wangi jenama Bvlgari, coklat, sireh junjung dan sebentuk cincin.

Sementara pihak lelaki membalas tujuh dulang hantaran termasuk Al-Quran, sejadah, telekung, set alat solek, set minyak wangi Bvlgari dan sebentuk cincin.

Deretan dulang hantaran daripada kedua-dua belah pihak mempelai.

Kedua-dua mempelai kelihatan cukup berseri apabila mengenakan pakaian nikah berwarna kelabu rekaan butik De Casa Impiana.

Majlis resepsi Aziz dan Lily akan berlangsung pada malam ini di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay bermula pukul 8 malam ini.

Pernikahan Aziz dan Puteri Lily merupakan perkahwinan yang keempat selepas perkahwinannya terdahulu termasuk dengan aktres dan produser drama, Nur Aliah Lee.

Aziz mengucup dahi Puteri Lily selepas menyarungkan cincin di jari manis isterinya.

Sementara perkahwinannya dengan seorang ustazah, Nor Radhiah Ramli, 22, pada 16 Ogos 2008 dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Terengganu kerana wanita berkenaan masih dalam tempoh edah ketika majlis pernikahan dilakukan.

Hasil perkahwinannya yang lalu, Aziz dikurniakan enam cahaya mata iaitu Puteri Nurul Fatehah, 20, Puteri Nur Asyiqin, 15, Putera Mohd Aiman, 13, Puteri Nur Aisya, 9, Puteri Nur Ain, 7 dan Putera Mohd. Ameen, 5.


M-star

6 Sukarelawan Malaysia Dijangka Pulang Ke Tanah Air Pada 7 Petang Esok

PETALING JAYA: Enam sukarelawan Malaysia yang menaiki MV Rachel Corrie, kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dirampas Israel semalam dijangka pulang ke tanah air pada pukul 7 petang esok.

Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria yang juga salah seorang daripada sukarelawan terbabit mengesahkan perkara itu kepada mStar Online ketika dihubungi di Amman, Jordan hari ini.

Menurut beliau, mereka kini ditempatkan di Hotel Crown Plaza di ibu kota negara itu.

“Kami semua dalam keadaan selamat dan sedang membuat persiapan untuk pulang ke Kuala Lumpur,” katanya.

Kesemua mereka telah dibebaskan di sempadan Israel-Jordan pada pukul 5.20 petang waktu Malaysia kini ditempatkan di hotel berkenaan yang disambut oleh Duta Malaysia ke Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz.

Sementara itu, Abdul Malek berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan mengenai persiapan untuk membawa pulang kesemua sukarelawan itu ke Kuala Lumpur.

“Rakyat Malaysia serta ahli keluarga sukarelawan tidak perlu bimbang kerana mereka kini selamat di Amman dan usaha giat dijalankan untuk membawa mereka pulang,” katanya.

Selain Mohd Nizar, lima sukarelawan lain adalah anggota Pertubuhan Damai Perdana Global (PGPO), Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu, serta wartawan TV3, Halim Mohamed dan jurukameranya, Mohd Jufri Judin.

Almarhum Dato' Ust. Fadzil Noor Mempunyai Pemikiran dan Tindakan Bijak


KUALA LUMPUR: PAS merampas Kelantan dalam pilihanraya umum 1990 adalah hasil pemikiran dan tindakan bijak presidennya ketika itu, Datuk Fadzil Noor.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, pemikiran dan tindakan bijak yang dimaksudkan itu ialah kesediaannya berunding dengan Tengku Razaleigh Hamzah dan bergabung dengan Semangat 46.

"Walaupun tindakan itu dikecam sendiri oleh penyokong PAS, ia menguntungkan PAS dari segi jangka masa panjang.

"Walaupun Datuk Fadzil mengalah sedikit, Pas tetap memerintah Kelantan sejak tahun 1990 lagi," katanya dalam ucaputama wacana pemikiran Fadzil Noor di ibu negara hari ini.

Ia dihadiri oleh kira-kira 100 orang penyokong parti Islam itu.

Salahuddin berkata, Fadzil setuju dengan pemintaan Tengku Razaleigh yang mahu menjadi menteri besar Kelantan tetapi PAS bertanding di lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan
"Kata Datuk Fadzil, biarlah Tengku Razaleigh nak jadi menteri besar. Tetapi beliau mahu PAS bertanding lebih banyak kerusi DUN dan biarkan Semangat 46 bertanding lebih banyak kerusi parlimen.
"Akhirnya PAS menjadi menteri besar Kelantan sejak tahun 1990 lagi," katanya.
Salahuddin juga berkata, tindakan bijak Fadzil dapat dilihat dalam isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari jawatan timbalan perdana menteri pada tahun 1998.

Katanya, Fadzil terbang dari Alor Setar ke Kuala Lumpur untuk bertemu Anwar.
"Ramai penyokong PAS yang membantah dan menentang tindakannya itu," katanya.

Salahuddin berkata, Fadzil bertindak bijak dengan menubuhkan Gerak terlebih dahulu tanpa membawanya dalam mesyuarat PAS.

"Saya yakin jika dibawa ke mesyuarat PAS, ia tidak akan diluluskan dan Gerak tidak akan ditubuhkan," kata ahli parlimen Kubang Kerian itu.

Gerak merupakan petubuhan membabitkan parti poitik pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membela pemecatan Anwar oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, tindakan bijak bijak dan berpandangan jauh Fadzil itu nyata menguntungkan PAS.

"PAS menang 27 kerusi parlimen dalam pilihanraya umum 1999- yang terbanyak di kalangan parti politik pemabngkang.

"Hari ini pula, PAS memerintah dua negeri iaitu Kelantan dan Kedah," katanya.

5.20 petang: 6 Aktivis Malaysia Dibebaskan Israel

KUALA LUMPUR, 6 Jun — Enam aktivis keamanan Malaysia atas kapal MV Rachel Corrie yang ditawan ketika dalam pelayaran ke Gaza, telah dibebaskan hari ini oleh Israel di Jambatan Raja Hussein di sempadan Israel-Jordan pada kira-kira 5.20 petang waktu Malaysia.

Sukarelawan Malaysia itu yang berada atas kapal itu bagi misi bantuan kemanusiaan ke Gaza terdiri daripada anggota Parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria, anggota Perdana Global Peace Organisation (PGPO) Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu, serta dua wakil media Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin dari stesen televisyen swasta TV3.

MV Rachel Corrie, kapal terakhir dalam flotila yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dikepung Israel, telah ditawan oleh Pasukan Pertahanan Israel pada kira-kira 2.45 petang (waktu Malaysia) semalam dan diiring ke Pelabuhan Ashdod, Israel.

Turut berada atas kapal itu bersama aktivis keamanan Malaysia itu ialah bekas Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Dennis Halliday, pemenang anugerah Nobel Mairead Maguire, Derek dan Jenny Graham daripada Free Gaza Movement dan penerbit filem dokumentari Fiona Thompson.

Misi bantuan itu ditaja oleh PGPO, sebuah badan bukan kerajaan di Malaysia.

Kapal Rachel Corrie dinamakan sempena nama wanita Amerika yang terbunuh akibat dirempuh jentolak tentera Israel di Semenanjung Gaza pada 2003, semasa cuba membantah tindakan meroboh rumah. — Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.