Demo Bantah Kekejaman Israel Di Dataran Zero Lepas Solat Jumaat

PM Diberi Tempoh 48 Jam Bertindak Bagi Menyelamatkan Rakyat Malaysia yang Ditawan Regim Zionis

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberi tempoh 48 jam untuk bertindak segera membentang pelan bagi menyelamatkan rakyat Malaysia yang ditawan oleh rejim Zionis.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, parti itu juga menuntut dalam tempoh 48 jam berkenaan Najib perlu memanggil sidang khas parlimen membincangkan isu serangan Israel ke atas flotila kebebasan yang menghantar bantuan ke Semenanjung Gaza.

"(Selain itu), dalam tempoh tidak lebih dari 48 jam kerajaan hendaklah menamatkan kontrak dengan syarikat perunding antarabangsa yang merupakan proksi kepentingan politik Israel dan Amerika Syarikat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pakatan Rakyat, juga katanya menuntut kerajaan menghentikan dengan segera sebarang urusan perdagangan yang rasmi atau tidak rasmi dengan Israel.

Beliau juga kecewa dengan Najib yang hanya mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan serangan itu Israel hanya pada tengah malam semalam.

"Kenyataan itu hanya dibuat selepas didesak oleh pelbagai pihak yang mengangap kerajaan terlalu lembab dan takut untuk membuat kenyataan mengecam perbuatan lanun laut rejim Israel," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kelembapan perdana menteri itu, katanya, dilihat seperti menunggu apa nasihat dari Apco Worlwide untuk kerajaan bertindak tanpa menjejas kerja firma Yahudi itu yang diamanahkan oleh kerajaan untuk memulihkan kepercayaan Amerika terhadap kerajaan Malaysia.

"Tindakan rejim Israel tersebut adalah berpunca dari sikap lunak dan pak turut dasar luar kerajaan-kerajaan di dunia termasuk Malaysia yang menyumbang kepada tindakan kejam Israel.

"Perbuatan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib yang begitu mesra Amerika dan Zionis mesti dikecam oleh seluruh rakyat Malaysia," kata beliau.

Serangan Flotila: 480 Aktivis Pro-Palestin Dihumban Ke Penjara

Israel dilaporkan menahan 480 aktivis pro-Palestin yang ditawan komandonya dalam flotila kebebasan yang membawa misi bantuan ke Semananjung Gaza, semalam.

Menurut AFP yang memetik laporan radio awam Israel, pihak berkuasa negara itu juga akan melepaskan 48 tahanan yang lain.

Mereka yang ditawan itu kini diletakkan dalam penjara Ashdod di selatan Israel.

Sementara 48 yang akan dibebaskan kini dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada 12 rakyat Malaysia yang ditawan semalam itu antara yang dibebaskan ataupun dihumban ke penjara Israel.

Presiden PAS: Tindakan Lebih Keras Dan Tegas Ke Atas Israel

KUALA LUMPUR, 1 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu tindakan lebih keras dan tegas dikenakan kepada rejim zionis Israel ekoran tindakan mereka menyerang kapal Konvoi Bantuan Antarabangsa ke Gaza pagi semalam.

Tuan Guru Abdul Hadi berkata, masyarakat dunia perlu memikirkan strategi baru yang lebih serius untuk terus memberikan tekanan kepada rejim tersebut yang nyata sudah tidak lagi menghormati meja rundingan.

"Masyarakat dunia sememangnya memerlukan satu strategi dan tindakan baru yang lebih serius, tegas, dan keras untuk memberikan tekanan kepada regim Zionis yang sudah terbukti tidak menghormati meja perundingan," katanya.

Malaysia tegasnya perlu mendahului tindakan tersebut dengan mengambil tindakan proaktif dan segera bagi membawa isu ini ke Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan PBB.

Serangan ke atas konvoi tersebut katanya, memperlihatkan wajah sebenar kejahatan rejim zionis Israel yang tidak pernah menghiraukan kutukan masyarakat antarabangsa termasuk kecaman keras oleh Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Puluhan resolusi yang dicapai di peringkat antarabangsa juga jelasnya nyata gagal menghalang regim Zionis Israel dari terus bertindak kejam dengan berleluasa.

Sehubungan itu, PAS katanya mengutuk keras tindakan tersebut dan mahu Israel segara diberi pengajaran oleh masyarakat dunia.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar semalam menyarankan OIC dan Majlis Keselamatan PBB menyerang Israel yang telah melanggar resolusi PBB ini.

Kenyataan kecaman sahaja menurutnya tidak cukup, memandangkan tindakan Israel itu terlalu biadab dan tidak berperikemanusiaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.