BEBAS Dah Pupus Di Hulu Selangor - Hanya 2 Penjuru (Johan Cangkul Tarik Diri)


Pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor Ahad ini akan menyaksikan perebutan satu lawan satu antara calon BN dan PKR selepas dua calon Bebas menarik diri hari ini.

Siang tadi, V S Chandran mengumumkan diri, diikuti oleh seorang lagi calon Bebas, Johan Mohd Diah.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengesahkan Johan Mohd Diah telah menarik diri.

Berikutan itu, calon BN, P Kamalanathan akan berdepan dengan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim Ahad ini.

Kerusi tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya dari PKR, Datuk Zainal Abidin Ahmad bulan lalu.

Arak Menjahanamkan Manusia - Pemimpin UMNO Terkena Tempiasnya...

Beberapa pemimpin utama Umno kini turut terkena tempias kepanasan kempen serangan peribadi terhadap calon PKR Datuk Zaid Ibrahim yang dikaitkan dengan tabiat minum arak.

Ia ekoran tindak balas penulis blog pro-Pakatan yang menyiarkan foto yang dikatakan menunjukkan pemimpin Umno itu, turut melakukan perkara yang sama.

Dua blog memulakan 'perang' dengan mendakwa mereka akan menyiarkan bukti tabiat minum Zaid tengahari ini. Berita tersebut turut disiarkan di muka depan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

Dua blog pro-Umno - Gerakan Anti-PKR dan Pisau.net- masing-masing menyiarkan gambar Zaid meletakkan tangannya atas meja dengan memegang sebotol wiski yang belum dibuka.

Selepas beberapa jam berlaku, posisi ganjil tangan dan botol tersebut, membuat warga internet membuat kesimpulan bahawa gambar itu telah diubahsuai.

Gambar asalnya disiarkan pada 2008 oleh portal berita Nut Graph,yang menunjukkan Zaid sedang diwawancara di sebuah restoran, tanpa botol wiski tersebut.

'Gambar menteri dan isteri'

Menurut artikel Gerakan Anti-PKR, gambar tersebut diberikan oleh 'orang dalam PKR' dan penulisnya berjanji banyak lagi pendedahan akan menyusul.

Penulisnya mendakwa dia memiliki lapan lagi gambar dan video selama lapan minit mengenai tiga pemimpin PKR dalam "situasi yang memalukan".

Dalam reaksi tindakan balas, blog bernama Salt, Pepper and a little kicap menyiarkan satu siri foto yang dikatakan menunjukan seorang pemimpin kanan Umno yang juga menteri kabinet, sedang memegang satu tin bir. Foto itu juga menunjukkan isteri pemimpin Umno tersebut, juga melakukan perkara yang sama.

Artile tersebut kemudiannya dipetik oleh peguam terkemuka Haris Ibrahim dalam blognya, di mana beliau mengecam menteri berkenaan kerana mendakwa Umno tidak terbabit dalam serangan peribadi terhadap Zaid.

Ahli parlimen Kota Belud yang juga bekas setiausaha Pemuda Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan terus menjawab melaluitwitternya,mendakwa gambar tersebut telah diubahsuai.

Kemudiannya, satu lagi gambar muncul di internet di mana seorang individu yang kelihatan seperti ahli parlimen Rembau yang juga ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bersama dengan seorang lelaki yang tidak dikenali dan dua orang wanita.

Suasananya kelihatan seperti di kelab malm dan mereka duduk di depan meja yang penuh dengan botol minuman keras.

Perkara itu sampai ke perhatian Khairy yang menjawabnya melalui Twitter.

"Apa yang betul? Adakah saya minum apa2 dalam gambar tersebut?" soalnya.

Ketika dihubungi, ketua penerangan PKR, Latheefa Koya berkata pengedaran gambar Zaid yang diubahsuai itu dan paparan besar mengenainya oleh Utusan Malaysia, menunjukkan bahawa BN sudah ketandusan idea.

Sebaliknya, kata beliau, pihaknya tidak mahu tersimpang daripada isu-isu sebenar di Hulu Selangor dan para penulis blog berkenaan "boleh buat apa sahaja yang mereka mahu".

Usaha untuk menghubungi Khairy untuk mendapatkan komennya tidak berhasil.


MalaysiaKini


Pendedahan Hangat: Siapa Zaid Ibrahim Yang Sebenarnya!


Ini cerita lama. Tapi baik juga untuk dibuka kembali agar kita semua dapat tahu apa yang berlaku puluhan tahun dahulu. Cerita-cerita ini kalau baik kita jadikan tauladan. Kalau tidak molek dapat kita jadikan sempadan. Kalau tidak pun kita baca untuk ketawa.

Ceritanya bagini:

Saya ingat lagi pada tahun 1972 - ketika itu saya anak mahasiswa yang mengulang tahun satu di Universiti Malaya. Saya telah aktif dalam perjuangan gerakan mahasiswa sejak dari awal tahun pertama lagi

.Pada tahun itu, ketika Kongres Tahunan Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia (PKPM ), saya telah dilantik untuk menjadi setiausaha agung. Badan yang bernama PKPM ini telah diharamkan pada tahun 1974 - sesudah demo pelajar menyokong warga Baling.

Ketika saya dilantik sebagai setiausaha agung PKPM – perang Vietnam sedang rancak. Kuasa imperial Amerika sedang melancarkan perang kolonial ke atas Vietnam, Laos dan Kamboja – sama seperti yang sedang berlaku di Iraq dan Afghanistan hari ini.

Justeru dalam Kongres PKPM tahun 1972 itu ada terdapat resolusi yang mengutuk imperialis Amerika Syarikat dan menyokong perjuangan menuntut keadilan oleh rakyat Indo China. Ketetapan yang dibuat dalam kongres akan menjadi dasar persatuan sehingga ke kongres tahun hadapan.

Pada zaman itu gerakan mahasiswa cukup rancak. Saya adalah seorang ahli kelab sosialis yang aktif. Justeru pandangan politik saya adalah kiri. Buku dan akhbar yang saya baca adalah kiri. Negara dan pemimpin negara yang saya hormati adalah dari jalur kiri.

Berdasarkan resolusi PKPM yang anti-Amerika, saya telah memasang poster-poster anti-perang Vietnam yang kami terima dari InternationalUnion of Students yang berpangkalan di Prague.

Rupa-rupanya ada juga kumpulan mahasiswa, terutama dari PMUKM yang yang tidak bersetuju dengan pemasangan poster ini. Lalu saya dikritik sebagai setiausaha agung PKPM yang tidak bertanggungjawab. Sebenarnya isu poster anti-perang Vietnam ini hanya alasan. Kritikan ini datang dari pelajar reaksionari bermazhab
kanan.

Akhirnya satu persidangan tergempar telah diadakan. Persidangan ini diadakan di Dewan Majlis Persatuan Universiti Malaya. Saya ingat lagi petang itu – delegasi dari PMUKM, dari Serdang College, dari Institut Teknologi Kebangsaan, KSITM dan tuan rumah PMUM turut hadir.

Saya dapat merasakan seolah-olah telah ada persetujuan untuk menyingkirkan saya dari PKPM. Idris Jusi, dari PMUKM mula bercakap membuka kes tentang saya yang dikatakan tidak mengikut dasar PKPM dan dilihat pro-komunis. Dari KSITM, presidennya Zahari tidak pula bercakap. Yang banyak bercakap ialah Ibrahim Ali.

Pandangan-pandangan kanan dan reaskioner bertaburan pada petang itu.

Sebelum keputusan dibuat untuk menyingkirkan saya dari PKPM, tiba-tiba seorang wakil delegasi dari KSITM mengangkat tangan untuk berucap. Saya masih ingat lagi anak muda itu. Dia kurus lansing dan kacak. Berkulit sawo matang. Anak muda ini memakai seluar hitam dan berbaju biru. Mustahil saya akan melupakan susuk
ini. Sampai akhir hayat saya ingat apa yang berlaku pada petang itu. Tidak mungkin saya akan lupa kerana pada petang itu saya sedang disalib.

Masih terngiang di telinga saya hingga ke hari ini apa yang dikatakan oleh anak muda itu:

“Sebelum dia dibuang, dia berhak untuk diberi peluang bersuara. Ini adalah cita-cita demokrasi pelajar… dan ini adalah hak dia.”

Saya terperanjat kerana tidak ada sesiapa dari persatuan lain yang menyokong saya kecuali PMUM. Saya terperanjat kerana anak muda ini berani 'pecah regu' untuk menyokong saya. Saya kagum atas keberaniannya.

Saya tidak kenal anak muda ini. Tapi saya tahu anak muda ini datang dari KSITM – satu persatuan pelajar yang saya anggap reaksionari. Bila saya selidiki baru saya sedari anak muda ini ialah Zaid Ibrahim – pelajar jurusan undang-undang Institut Teknologi Mara. Saya juga difahamkan si Zaid ini datang dari Sekolah Tuanku
Abdul Rahman (STAR) seteru kuat sekolah saya, MCKK.

Semenjak petang itu saya tidak bertemu dengan Zaid Ibrahim. Kami meneruskan keyakinan diri. Saya difahamkan Zaid telah menjadi seorang peguam yang berjaya. Saya terus menjadi diri saya.

Lima tahun dahulu seorang kawan dari MCKK mengajak saya untuk menjadi ahli Civil Society of Malaysia. Ini badan hak asasi manusia yang cuba diwujudkan oleh Zaid Ibrahim. Cuma ada 'catch' - sesiapa yang ingin menjadi ahli wajib membayar RM250. Jumlah ini agak berat untuk saya - lalu saya menolak jemputan ini.

Seminggu sebelum NGO ini berkumpul dan bersidang, saya telah mendapat panggilan telefon mengatakan bahawa RM250 telah dibayar oleh Zaid Ibrahim. Saya hairan kerana seumur hidup saya – saya belum pernah bercakap sepatah pun dengan susuk ini. Dari panggilan telefon - saya telah diberi kebenaran untuk datang ke
persidangan pertama Civil Society ini di Hotel Renaisance.

Inilah kali kedua saya melihat Zaid Ibrahim. Kali kedua ini agak berbeza. Anak muda kurus yang berbaju biru dan berseluar hitam dahulu telah agak bersisi.

Rambutnya telah dicantikan oleh anyaman uban. Baju dan pantalon yang dipakainya kelihatan dari jenis yang baik dan bermutu. Nah! Pastilah dia telah berjaya hinggakan sanggup membayar yuran untuk orang yang tidak dikenalinya.

Dua hari sebelum nama Zaid Ibrahim dimahsyurkan sebagai calon di Hulu Selangor, saya telah pergi menemuinya. Rumah kediaman si Zaid ini bukanlah sama seperti bilik sewa tempat saya menginap. Ini kawasan lumayan yang hanya 30 minit dari Serendah Hulu Selangor.

Mata saya memerhati dengan rapi untuk mengetahui lebih dalam lagi manusia yang bernama Zaid Ibrahim ini. Rumahnya tidak mengancam tapi pastilah lebih luas dari bilik sewa saya. Dalaman tidak lucah dan bukan bermotifkan budaya 'arriviste – horray henry' yang sering kita temui di wilayah-wilayah mewah.

Tujuan saya datang kerana ingin bertanya apakah dia masih ingat lagi apa yang terjadi di Dewan Majlis PMUM 38 tahun dahulu. Zaid termenung sebentar sebelum mengakui yang dia pernah datang ke PMUM untuk bermesyurat. Tetapi tidak ingat apa tujuan dia hadir. Malah dia juga tidak ingat bahawa pada petang itu yang disalib ialah saya.

Saya tidak merasa kecewa kerana si Zaid tidak mengingati episod itu. Inilah perjalanan hidup kita sebagai manusia . Terpencar pencar - ada yang kita ingati dan ada yang kita lupakan. Untuk kita – perkara yang ini mungkin penting dan untuk orang lain perkara yang sama adalah 'non event – tidak ada apa apa yang penting'.

Kenapa saya menulis kisah ini? Saya menulis kerana susuk yang bernama Zaid Ibrahim ini sedang berkempen untuk memenangi kerusi di Parlimen. Saya menulis ini kerana saya yakin bahawa manusia yang bernama Zaid Ibrahim ini adalah manusia demokrat. Tiga puluh lapan tahun dahulu – ketika kami masih lagi anak pelajar - si Zaid ini telah memperlihatkan sifat jujur dan demokratnya.

Pada petang itu – 38 tahun dahulu - si Zaid telah tidak terpengaruh dengan tohmah anti-komunis, anti-kiri dan anti-sosialis. Sifat demokratiknya telah tertanam dalam sebelum dia meletakan jawatan sebagai menteri kabinet kerana menentang ISA. Susuk yang bernama Zaid Ibrahim dapat melihat salah dan benar.

Jika saya warga Hulu Selangor saya merasa senang hati untuk menobatkan Zaid Ibrahim sebagai wakil suara saya di Parlimen.

Kisah ini di tulis oleh Hishamuddin Rais

Royalti Minyak: Umno-BN Tak Patuh Pada Janji - Dato' Mahfuz



Oleh Norasikin Samsi

KUALA LUMPUR 19 Apr - Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyokong penuh tindakan Kerajaan Negeri Kelantan membawa kes tuntutan royalti minyak daripada kerajaan pusat ke mahkamah.

Menurut beliau, penetapan itu dibuat sebagai jalan akhir selepas rundingan bersama Petronas gagal dilaksanakan dan ia wajar dilakukan berikutan keengganan kerajaan pusat menunaikan janji tersebut malah bersikap angkuh dengan menafikan hak rakyat Kelantan.

"Keputusan kerajaan Kelantan itulah tindakan paling akhir yang boleh dibuat. Tetapi sebelum pergi kepada mahkamah haruslah diberikan ruang yang masih ada untuk berbincang bagi mendapatkan royalti minyak itu dibayar kepada Kelantan. Dan ini jalan terakhir yang sepatutnya dilakukan.

"Tetapi sebagai sebuah kerajaan yang adil, amanah, demokratik yang berpegang kepada prinsip itu sendiri tidak sepatutnya menunggu keputusan itu dibuat di mahkamah.
Sebaliknya mereka sendiri harus sedar segala bentuk perjanjian yang telah dilakukan atas nama kerajaan sebelum ini harus ditunaikan oleh mereka. Jadi kerajaan yang ada hari ini mengatakan kalau hendak membuat tuntutan hendaklah dibuat di mahkamah.
"Ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak berpegang pada janji, angkuh. Kalau dia salahpun dia hanya minta mahkamah yang mengatakan dia yang bersalah. Saya fikir itu adalah satu perkara yang tidak kena. Sepatutnya kerajaan yang bertanggungjawab dan dari awal lagi tak perlu kecoh-kecoh berjanji nak bayar royalti sedangkan yang hanya mampu mereka berikan hanya wang ihsan," katanya kepada Suara Keadilan di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa dilaporkan berkata, langkah itu diambil sebagai memenuhi resolusi yang diputuskan oleh kerajaan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lepas.
Beliau berkata pada persidangan itu, semua anggota dewan bersetuju supaya tuntutan royalti minyak yang diperoleh di perairan negeri ini dibuat secara rundingan dengan Petronas dan jika gagal, barulah tindakan mahkamah diambil.

Pesuruhjaya PAS II Kelantan itu berkata, kerajaan negeri berusaha untuk berunding dengan Petronas dan sudahpun menghantar surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas yang baru, Datuk Shamsul Azhar Abbas untuk tujuan itu tetapi tiada jawapan.
"Atas dasar itulah, kita akan tetap mengemukakan tuntutan royalti minyak kerajaan negeri ke mahkamah. Bagaimanapun, bila dan bentuk tindakan itu bergantung kepada keadaan," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.