Kes Datuk Norza: Ustaz Ishak Bakar Buang Sampul Berisi Wang

Seorang ustaz memberitahu Mahkamah Sesysen Temerloh hari ini yang beliau telah membuang sampul surat berisi wang yang diterimanya pada majlis yang turut dihadiri bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Mohamad Norza Zakaria (bawah, kiri), yang sedang dibicarakan bagi pertuduhan rasuah.

Penyelia Kanan Pendidikan Islam, Pejabat Pelajaran Daerah Temerloh, Ishak Mat Bakar berkata beliau bertindak demikian selepas berasa ragu dan bimbang mengenai punca wang yang diperolehinya daripada majlis di rumah Naib Ketua Umno Temerloh Mohammad Anuar Yunus pada 20 Jan tahun lalu yang turut dihadiri Mohamad Norza.

Ishak, 53, saksi ke-15 pihak pendakwaan berkata beliau telah mencampak keluar sampul surat berisi wang itu dari keretanya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah daripada majlis itu yang beliau dijemput untuk membacakan doa selamat kerana Mohammad Anuar akan menunaikan umrah.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris kenapa beliau bertindak demikian, katanya ia disebabkan panggilan telefon yang diterimanya daripada seorang anggota polis cawangan khas yang hanya dikenali sebagai Latif bertanyakan sama ada dia menerima sesuatu pada majlis itu.

Selain itu, ia juga merupakan kali pertama beliau menerima wang ketika menghadiri sesuatu majlis, kata Ishak yang juga anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Temerloh.

Ishak memberikan keterangan pada perbicaraan Mohamad Norza, 43, yang juga bekas anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi ejennya Halimi Kamaruzzaman untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan untuk mengundinya memenangi jawatan MT pada Perhimpunan Agung UMNO Mac tahun lalu.

Beliau juga menghadapi satu lagi pertuduhan memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama.

"Duit itu satu najis"

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan pada pukul 6.30 petang, 20 Jan tahun lalu di No. 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh, Temerloh.

Halimi, 47, dari Bandar Indera Mahkota, Kuantan pula didakwa atas dua tuduhan memberikan suapan itu kepada Khadri dan Mohammad Anuar bagi pihak Mohamad Norza pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Ishak berkata beliau menerima sampul surat tersebut daripada rakannya, Norinda Othman, 49, seorang pegawai tadbir di Majlis Daerah Temerloh.

Saiful: Apa yang ustaz syak?
Ishak: Saya cuma rasa tidak selamat terima duit itu.
Saiful: Adakah ustaz rasa duit itu satu najis?
Ishak: Mungkin.

Sementara itu, ketika ditanya peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Mohamad Norza mengenai pemberian wang itu yang mungkin sebagai satu "tanda berkat" kepada pembaca doa seperti yang diamalkan di kebanyakan negeri, Ishak tidak menafikannya.

Muhammad Shafee: Sama ada duit ini diberikan untuk tujuan itu (tanda berkat) atau duit minyak, ada tidak kemungkinan antara dua tujuan ini?

Ishak: Ada.
Muhammad Shafee: Kalau untuk tujuan sedemikian, maka ia bukan duit haram?
Ishak: Ya.

Ditanya sama ada beliau bertindak mencampak wang tersebut kerana was-was selepas menerima panggilan daripada anggota polis terbabit, Ishak mengiyakannya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azuar Che Yusof bersambung 12 Mei.

Setelah 9 hari Berlalu: Mathias Chang Tamatkan Mogok Lapar Sebab Dirayu Dr M


Peguam Matthias Chang, yang dipenjarakan atas kesalahan menghina mahkamah, hari ini bersetuju untuk menamatkan mogok lapar yang dilancarkannya berikutan rayuan daripada bekas majikannya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut jurucakap dari pejabat Dr Mahathir, bekas perdana menteri dalam rayuannya kepada Chang, memberitahu bekas pekerjanya itu bahawa beliau perlu menamatkan mogok lapar itu kerana mereka mempunyai banyak lagi perjuangan yang perlu dilaksanakan.

Katanya mereka memerlukan Chang untuk meneruskan perjuangan bagi mendapatkan keadilan untuk rakyat Palestin dan Iraq.

Dr Mahathir, yang kini berada di luar negara juga memberitahu bekas setiausaha politiknya itu bahawa beliau akan berusaha untuk memastikan undang-undang yang tidak adil dimansuhkan atau dipinda dan beliau memerlukan Chang untuk memberikan nasihat kepadanya mengenai perkara itu.

Chang, yang melancarkan mogok lapar dari 1 April, bersetuju untuk menamatkan bantahan selama sembilan hari itu selepas rayuan Dr Mahathir disampaikan kepadanya.

Beliau enggan mengambil makanan sejak melancarkan mogok lapar itu dari 1 April.

Kesihatannya semakin merosot sehingga memaksa pihak berkuasa Penjara Kajang memasukkannya ke Hospital Serdang pada Isnin untuk rawatan.

Malahan pada ketika itu Chang masih enggan mengambil makanan.

Chang dibenarkan keluar hospital pada Rabu dan kembali ke Penjara Kajang tetapi tetap meneruskan mogok lapar.

Sementara itu, rakan-rakan beliau yang bimbang dengan kesihatannya telah mengumpulkan wang untuk membayar denda RM20,000 pada Isnin, yang diterima oleh mahkamah, tetapi permohonan bagi perintah pembebasan ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Noor Azian Shaari atas alsan permohonan itu tidak boleh dilakukan oleh pihak ketiga,

Hakim Noor Azian sebelum itu mensabitkan Chang bagi kesalahan menghina mahkamah dan mengenakan denda RM20,000 atau penjara sebulan jika gagal melunaskan denda itu. Beliau enggan membayar denda itu dan dipenjarakan.

- Bernama

KEPUTUSAN TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT MAKTAB MAHMUD SELURUH NEGERI KEDAH 2010 M/1431H

Khamis,8/4/2010

Alhamdulillah,majlis tilawah al-quran berjalan dengan lancar dan sempurna.Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan majlis ini.semoga segala kerja-kerja yang dibuat akan dibalas dengan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda nanti. InsyaAllah.

Bahagian Qari:
Tempat pertama : Fawwaz Hamdi b.Mohd Imran ( Maktab mahmud Alor Star )
Tempat kedua : Muhammad Amirul Aiman b.Fauzi ( Maktab mahmud Merbok)
Tempat ketiga : Mohd Rayyan b.Abdullah ( Maktab mahmud Padang Terap)

Bahagian Qariah:
Tempat pertama : Norlabibah Jannah bt.Zainudin ( Maktab Mahmud Alor Star )
Tempat kedua : Nur Zafirah Diayana bt.Zainudin ( Maktab Mahmud Pendang)
Tempat ketiga : Nurul Syifa bt. Suhaimi ( Maktab Mahmud Yan)

Tahniah kepada yang berjaya,yang tidak berjaya jangan berputus asa kerana belum ada rezeki untuk anda semua,berusaha lagi !!!!.


(Gambar-gambar sekitar Majlis Tilawah Al-Quran )

Astaka yang direka khas oleh AJK Persiapan Tempat.


para peserta sedang bersarapan pagi !!!


Urusetia Pengadilan dari Lembaga Maktab Mahmud





Belum Lagi Penamaan Calon : Mula Dah Dua Kes Gaduh di Hulu S'gor

Meskipun kempen pilihan raya kecil bagi Parlimen Hulu Selangor belum bermula tetapi dua laporan pergaduhan di kawasan tersebut yang melibatkan penyokong parti politik telah pun diterima polis dalam minggu ini.

Satu daripada laporan itu dilaporkan berlaku ketika Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu melakukan lawatan di Taman Bukit Teratai baru-baru ini manakala satu lagi kes dilaporkan berlaku di kawasan Kuala Kubu Bahru.

Tanpa menamakan parti politik yang terlibat, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata kes pergaduhan itu disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Punca pergaduhan masih disiasat. Polis telah mengambil beberapa keterangan daripada yang terlibat manakala beberapa orang lagi akan diambil keterangan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Hospital Selayang sempena Hari Polis di Kuala Lumpur hari ini.

Khalid berkata orang ramai termasuk orang luar perlu mematuhi undang-undang serta tidak melakukan tindakan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan mencemar proses demokrasi ketika pilihan raya.

MIC yakin 70 peratus pengundi India kembali sokong BN

Dalam perkembangan lain, MIC Hulu Selangor yakin kira-kira 70 peratus daripada 12,453 pengundi India akan kembali menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

Ketua Penerangannya, Raily Muniandy berkata MIC bahagian yakin sasaran itu akan dicapai bagi membaik pulih rekod kurang memberangsangkan parti komponen BN pada pilihan raya umum Mac 2008.

"Pa

da pilihan raya umum lepas cuma dapat sokongan 30 peratus. Kali ini kami yakin boleh dapat 70 peratus sokongan pengundi India untuk pastikan BN menang,” katanya ketika ditemui di Kuala Kubu Baru di sini.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor dimiliki MIC menerusi Datuk G. Palanivel sejak 1990 sebelum Timbalan Presiden MIC itu tewas kepada Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR dengan majoriti 198 undi pada Mac 2008.

Pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini diadakan ekoran kematian Zainal Abidin pada 25 Mac lepas.

Muniandy berkata, BN berpeluang merampas semula kawasan itu berdasarkan perubahan sentimen rakyat, terutama pengundi India, yang sebelum ini tidak menyokong MIC antara lain kerana terpengaruh dengan dakwaan Hindraf.

Selaku pencabar di kawasan parlimen itu, BN akan meletakkan calon daripada MIC yang akan diumumkan pada 15 April iaitu dua hari sebelum tarikh penamaan calon

- Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.