Perlanggaran Kontrak : UiTM Disaman RM32.4 juta


SHAH ALAM 1 April - Sebuah syarikat yang mendakwa menanggung kerugian kira-kira RM32.4 juta kerana perlanggaran kontrak oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) berhubung perkhidmatan sistem permohonan kemasukan penuntut secara dalam talian, hari ini memfailkan saman terhadap universiti itu.

Trius Computers Sdn. Bhd. selaku plaintif memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman Tetuan Hazura Yusoff & Partners.

Dalam pernyataan tuntutannya, Trius Computer mendakwa pihaknya telah dilantik oleh UiTM bagi membangunkan satu sistem perisian komputer yang dikenali sebagai Aplikasi Elektronik UiTM melalui satu perjanjian bertarikh 15 Jan 2004.

Plaintif mendakwa sistem itu bertujuan memproses sistem permohonan kemasukan penuntut di peringkat Sijil, Pra Diploma, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ph.D serta kursus-kursus profesional yang ditawarkan oleh defendan.

Trius Computer mendakwa rentetan daripada perjanjian itu pihaknya telah bersetuju untuk menjadi perunding dan membangun serta mengendalikan sistem permohonan kemasukan secara dalam talian itu bagi pihak UiTM selama 15 tahun bermula 21 Ogos 2001 sehingga 20 Ogos 2016.

Bagaimanapun plaintif mendakwa, pada 7 Mac lepas, UiTM didapati telah mengiklankan dalam akhbar Mingguan Malaysia berkaitan Permohonan Kemasukan Pelajar Baru Sesi Julai 2010 melalui alamat laman web http://www.online.uitm.edu.my dan tindakan universiti itu didakwa telah melanggar perjanjian mereka kerana alamat laman web yang diiklankan bukanlah seperti yang dikendalikan oleh plaintif iaitu www.uitmonline.edu.my.

Trius Computer mendakwa tindakan UiTM mengiklankan alamat laman web yang lain selain daripada apa yang dijalankan oleh plaintif telah secara tersiratnya menunjukkan bahawa universiti itu telah menamatkan perjanjian mereka. - Bernama

Simptom Influenza (ILI) : Dua sekolah di Langkawi ditutup


112 pelajar alami simptom demam, batuk dan selesema seperti influenza

ALOR SETAR: Dua sekolah di Langkawi diarah tutup, satu daripadanya sejak kelmarin oleh Jabatan Kesihatan negeri berikutan ramai pelajarnya terkena penyakit seperti influenza (ILI).

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi Pulau Tuba, ditutup selama lima hari bermula kelmarin berikutan 112 pelajarnya terkena jangkitan demam, batuk dan selesema, manakala Sekolah Kebangsaan Bagan Selat Nyiur diarah tutup semalam berikutan lebih 50 peratus pelajarnya terkena jangkitan sama.

Sementara itu, sebuah lagi sekolah, iaitu SM Teknik Langkawi diletakkan dalam pengawasan rapi oleh Jabatan Kesihatan dan dijangka dikenakan tindakan sama jika jangkitan terus merebak hari ini.

Difahamkan, Jabatan Kesihatan Daerah Langkawi menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani kes itu dengan melakukan pemantauan dan memberi penerangan mengenai cara mencegah jangkitan daripada merebak.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Marzukhi Md Isa, berkata bagi kes di SMK Langkawi Pulau Tuba, pihaknya sudah menghantar empat sampel diambil daripada pelajar yang terkena jangkitan untuk diuji di makmal Hospital Sungai Buloh, Selangor, bagi menentukan sama ada ia berkaitan dengan jangkitan Influenza A (H1- N1).

“Buat masa ini kita belum dapat mengesahkan apa jenis jangkitan yang dihidapi pelajar kerana belum mendapat hasil ujian daripada Hospital Sungai Buloh disebabkan sampel dihantar semalam (kelmarin).
“Bagaimanapun kita terpaksa meminta supaya sekolah ini ditutup buat sementara kerana terdapat tanda bahawa rebakan jangkitan ini menular dengan cepat di kalangan pelajar.

“Selain itu ia juga dibuat atas tujuan berjaga-jaga untuk menyekat sebarang jangkitan daripada merebak,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, se-malam.

Selain itu, Dr Marzukhi berkata, setakat ini juga belum ada tanda jangkitan yang serius kepada mana-mana pelajar terbabit dan semua yang berkaitan sedang dirawat mengikut prosedur biasa.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abdul Rahman berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama jika terdapat beberapa lagi sekolah yang perlu dikenakan tindakan sama berdasarkan nasihat Jabatan Kesihatan.

“Bagi kes di SMK Langkawi Pulau Tuba pihak sekolah sebelum ini menyedari terdapat tanda jangkitan penyakit yang tidak diketahui dan memaklumkannya kepada Jabatan Kesihatan untuk tindakan lanjut.

“Selepas menjalankan pemeriksaan, kami diminta Jabatan Kesihatan supaya sekolah ini ditutup sementara ujian dan pengesahan dibuat.

“Buat masa ini kita menutup sekolah berkenaan dan semua pelajar termasuk yang menginap di asrama diarahkan pulang,” katanya ketika dihubungi.

Api... Api... Api... Stor Barangan Plastik Terbakar


ANGGOTA bomba bertungkus lumus memadam kebakaran sebuah stor menyimpan barangan plastik di Kawasan Perindustrian Menglembu dekat Ipoh, hari ini.

Datuk Zaid antara dipanggil Anwar : Calon Hulu S'gor




Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi telah menemui kira-kira 10 orang, termasuk penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim, yang disebut-sebut bakal dipilih menjadi calon parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya Hulu Selangor tidak lama lagi.

Menurut sumber-sumber, pertemuan tersebut diadakan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya selepas tamatnya mesyuarat biro politik parti itu kira-kira jam 11 malam tadi.

“Mereka masuk (bertemu Anwar) secara berperingkat-peringkat, dimulakan dengan dua anggota biro politik, Datuk Zaid Ibrahim (kiri) dan Shamsul Iskandar Md Akin,” kata mereka ketika ditanya tentang pertemuan tersebut.

Kerusi parlimen Hulu Selangor kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad ada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Berikutan itu spekulasi berhubung siapakah bakal dicalonkan bagi bertanding mempertahankan kerusi tersebut, berterusan dalam PKR.

Pelbagai nama disebut-sebut telah dikemukakan kepada parti. Selain Zaid dan Shamsul (kiri), turut disebut-sebut ialah penceramah popular, Badrul Amin; presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud; bekas setiausaha akhbar Anwar, Khalid Jaafar; dan aktivis peguam, N Surendran.

Manakala PKR cabang tersebut pula menamakan dua anak tempatan - Razali Mokhtar dan Datuk Dr Halili Rahmat.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, sumber-sumber memberitahu kesemua nama yang disebut-sebut itu dipanggil, termasuk beberapa nama lagi yang tidak diketahuinya.

“Jumlah kesemuanya kira-kira sepuluh orang,” kata sumber-sumber itu. Terdapat sumber lain memberitahu, jumlah keseluruhannya 11 orang.

Tambah mereka, pertemuan tersebut hanya sesi “sembang-sembang” dengan Anwar bagi mengenalpasti calon yang paling layak untuk dipilih.

Ditanya tentang perbincangan biro politik yang bersidang malam tadi, sumber-sumber memaklumkan bahawa soal pemilihan calon ditimbulkan tetapi “tidak dibincangkan sangat” kerana ia merupakan bidang kuasa presiden dan ketua umum.

“Presiden dan ketua umumlah yang akan memilihnya,” katanya yang menjangka pemilihan calon tidak akan dibuat tergesa-gesa, termasuk dalam mesyuarat majlis tertinggi PKR Ahad ini.

Ditanya tentang nama-nama yang dianggap selesa, sumber tersebut menamakan Syed Shahir dan Khalid.

“Yang lainnya masih 50-50,” katanya sambil menambah, kemungkinan terdapat di kalangan mereka yang dipanggil semalam tidak berminat dan akan memberikan laluan kepada pihak lain.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.