Hishammuddin: 3 Wanita Disebat Ikut Kaedah Syarak


PUTRAJAYA 17 Feb. – Di sebalik kontroversi hukuman sebatan ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor, 33, sebenarnya tiga wanita Islam telah selamat menjalani hukuman sebatan mengikut kaedah syarak pada 9 Februari lalu.

Hukuman yang pertama kali dilaksanakan ke atas wanita itu membabitkan antara empat hingga enam sebatan.

Selain itu terdapat empat pesalah lelaki turut dikenakan sebatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mereka disabitkan di bawah Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari lalu.

Hukuman tersebut dilaksanakan di Penjara Kajang, manakala pesalah wanita di Penjara Wanita Kajang. – Utusan

Anwar Lantik 3 Pakar DNA, Forensik Asing


Pasukan peguam perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelantikan tiga pakar asing dalam bidang DNA dan forensik untuk membantu mereka dalam kes tersebut.

Dalam satu kenyataan, peguam Anwar, Sankara Nair berkata beliau akan membawa tiga pakar tersebut ke Mahkamah tinggi Kuala Lumpur esok.

Mereka ialah pakar DNA, Dr Brian Mc Donald dari Sydney Australia, dan pakar forensik - Dr C Damodaran, dari Chennai, India, Dr David Wells dari Melbourne, Australia.

Esok ialah keputusan terhadap permohonan Anwar supaya Hakim yang sedang mendengar kesnya - Datuk Mohamad Zabidin Mohd Dian - menarik diri.

Manakala Mahkamah Rayuan pula telah menetapkan hari ini untuk memutuskan rayuan ketua umum PKR itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk membatalkan tuduhan liwat terhadapnya.

Sejak beberapa hari lalu, Malaysia berdepan dengan tekanan dari ahli parlimen Australia yang mendesak supaya digugurkan tuduhan liwat terhadap Anwar.

Pada masa yang sama, ahli parlimen Amerika pula mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memastikan perbicaraan kes Anwar berjalan secara adil.

Dr Mc Donald adalah seorang ahli patologi dari Universiti Western Australia. Beliau juga merupakan pengarah DNA Consults.

Beliau dipanggil untuk menyediakan Kepakarannya dalam bidang DNA yang dijangka dikemukakan dalam perbicaraan nanti.

Dr Damodaran pula mempunyai 28 tahun pengalaman dalam bidang forensik dan pengalaman mengajar, di samping 36 tahun pengalaman dalam bio-kimia, toksilogi dan forensik.

Sementara itu, Dr Wells merupakan prof madya dalam bidang jenayah di Universiti Melbourne.

Beliau kini merupakan ketua bahagian Perubatan Klinikal Forensik, Institut Perubatan Forensik Victoria.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Ketua pembangkang dan ahli parlimen Permatang Pauh itu, dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

TGH Hadi terjun ke laut Selamatkan mangsa lemas


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang memancing pada petang Ahad lalu di Pantai Rusila, Marang bersama dua orang anaknya apabila beliau mendengar jeritan meminta tolong.

Lantas, beliau bersama anaknya berusia 20-an itu, terjun ke laut untuk menyelamatkan seorang lelaki yang nyaris lemas ketika mandi di pantai berkenaan.

Ini diceritakan oleh Herman Shamsudeen, timbalan ketua pemuda PAS Wilayah Persekutuan, yang juga menulis mengenai perlakuan 'hero' Hadi di blognya. Selain sedikit butiran umum mengenai kejadian tersebut, Herman turut memuatkan dua keping gambar yang dirakam oleh seorang individu pada masa itu.

"Saya dapat gambar ini melalui seseorang melalui Facebook (foto). Itu memang gambar (Hadi), susah sikit untuk dikenali sebab dia tidak memakai serban," kata Herman ketika dihubungi.

Salah sebuah foto berkenaan menunjukkan seorang lelaki yang dikatakan sebagai Hadi -- berbaju kemeja-T, berkain pelikat sambil duduk berlunjur di atas pasir pantai. Di sebelah 'Hadi' itu pula duduk seorang lagi lelaki yang dikatakan sebagai mangsa kejadian tersebut.

Herman bagaimanapun enggan mendedahkan nama individu yang menghantar gambar berkenaan kepadanya.

Menurut Herman lagi, Hadi, 63, ternyata masih "gagah" dan mampu bertindak pantas semasa menyelamatkan mangsa tersebut.

"Memang tidak disangka, seorang pemimpin yang punyai ramai pengikut sanggup terjun ke laut sendiri tanpa mengharapkan anak-anak buahnya mendahuluinya.

"Selalunya, orang-orang besar dan pemimpin utama akan suruh anak buah mereka terjun untuk selamatkan mangsa," kata Herman dalam tulisannya.
Dalam catatan tambahan dalam tulisan tersebut, beliau juga memohon maaf kerana menyiarkan dua keping foto tersebut.

"Tok Guru pasti marah kalau tahu ana siarkan gambar dan tulis macam nie. Ana minta maaf pada dia.
"Beliau tidak suka perkara ini dibesarkan, tapi itulah hakikat dirinya yang kita kena tahu. Semoga kita dapat mencontohi beliau," katanya.

Pecah Amanah: Kerabat Raja Selangor Mengaku Tidak Bersalah


PETALING JAYA: Seorang kerabat Diraja Selangor, Tengku Mohd Kamil Tengku Shahrudin Shah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melakukan pecah amanah melibatkan dana syarikat sejumlah RM1.15 juta antara tahun 2005 dan 2006.

Tengku Mohd Kamil, 61, yang merupakan salah seorang pengarah syarikat pembinaan Aneka Melur Sdn Bhd didakwa melakukan kesalahan tersebut dengan menggunakan 16 cek.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat berkenaan di D216, Blok D, Tingkat 2, Kelana Square, Petaling Jaya. Tengku Mohd Kamil menghadapi pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sekurang-kurangnya dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya S.Devanandan mencadangkan agar jaminan ditetapkan pada RM150,000 dengan seorang penjamin serta dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Beliau berkata, jaminan tersebut adalah munasabah memandangkan jumlah yang terlibat di dalam kes itu adalah tinggi dan kesalahan tersebut tidak boleh dijamin.

Devanandan juga memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaaan akan memanggil 12 orang saksi.

Peguam Tengku Mohd Kamil, Md Yunus Shariff berkata, jaminan itu terlalu tinggi dan meminta jaminan dikurangkan kepada RM30,000 memandangkan anak guamnya masih menyara dua anaknya yang masih belajar di luar negeri.

Hakim Rozina Ayob meletakkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Beliau juga meminta Md Yunus mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Imigresen sama ada Tengku Mohd Kamil mempunyai pasport yang lain.

Rozina menetapkan perbicaraan selama empat hari bermula 17 Mei depan. Tengku Mohd Kamil membayar jaminan itu
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.