Selangor Tingkatkan Pendapatan Pesawah Seganda


SHAH ALAM 25 Jan - Usaha berterusan kerajaan Selangor membantu golongan pesawah keluar dari garis kemiskinan mula membuahkan hasil.

Projek Peningkatan Hasil Padi yang dilaksanakan sejak Pakatan Rakyat menerajui negeri ini berjaya meningkatkan pendapatan pesawah sebanyak 1,500 ringgit berbanding 750 ringgit sebelum ini.

Selangor juga mencatatkan purata hasil tertinggi iaitu 5.1 tan sehektar di Semenanjung Malaysia.

Walaupun Selangor hanya mempunyai 9.5 peratus kawasan jelapang padi di Barat Laut berbanding 191,191 hektar di Malaysia, pencapaian projek ini amat membanggakan sejak Pakatan Rakyat menarajui negeri ini.

Projek yang melibatkan seluas 18,355 hektar ini dipantau selia Exco Permodenan Pertanian Selangor, Yaakob Sapari membolehkan peserta meraih pendapatan lebih 1,500 ringgit sebulan berbanding 750 ringgit sebelum ini.

“Namun begitu hasil kawasan Jelapang Padi Negeri Selangor ini mengikut tahap pengeluaran hasil sehektar merupakan mencatatkan hasil tertinggi iaitu 5.1 tan sehektar semusim berbanding dengan purata keseluruhan Jelapang Padi di Semenanjung Malaysia, yang mana mencatatkan 3.95 tan sehektar semusim” katanya.

Pengarah Jabatan Pertanian Selangor, Ahmad Zakaria Mohamad Sidek bercakap kepada Tv Selangor yang ditemubual di pejabatnya baru-baru ini.

Katanya, projek peningkatan hasil padi yang dimulakan pada awal tahun lepas melibatkan seramai 9,332 pesawah yang terbahagi kepada 8 blok pengairan iaitu 6 blok di Sabak Bernam manakala 2 blok lagi terletak di Kuala Selangor.

Zakaria turut berkongsi rahsia kejayaan projek ini apabila mengguna pakai sistem penanaman padi secara berjadual.

“Sebenarnya memang bagi pesawah dia tak boleh lari daripada ikut jadual penanaman, sebab jadual penanaman ni bergantung kepada bekalan air yang disediakan melalui sistem pengairan yang diselenggarakan oleh JPS bagi keseluruhan kawasan itu” tambahnya lagi.

Tambahnya, Jabatan Pertanian Negeri Selangor turut menerbitkan Buku Model Peningkatan Hasil Padi Negeri Selangor berasaskan hasil penyelidikan dari MARDI sekaligus membantu pesawah meningkatkan pendapatan mereka.

“Kita juga memperkenalkan beberapa teknologi, kita bermula dari persediaan tanah itu, kita bermula dengan perataan tanah, kita menggunakan teknologi laser bagi sukatan untuk pastikan kita dapat kerataan tanah yang seragam bagi sawah itu adalah penting sebabnya apabila air sampai di sawah, paras keseluruhan petak sawah seragam jadi apabila kita menyemai padi secara taburan itu, pertumbuhan pokok akan seragam, dalam pada masa yang sama juga penjagaan kawalan rumpai mudah memudahkan petani dalam kawalan rumpai”. (selangorkini)

Kedah telah laksana 80% janji manifesto - Exco



PADANG SERAI, 24 Jan: Kerajaan Negeri Kedah yang diterajui oleh Pakatan Rakyat (PR) telah berjaya melaksanakan 80 peratus janji dalam manifesto pilihan raya umum yang lalu walaupun belum mencapai tempoh pemerintahan negeri selama 24 bulan.

Menurut Exco Kerajaan Negeri, Siti Aishah Ghazali, ini membuktikan bahawa kerajaan PR yang dipimpin oleh Datuk Seri Azizan Abdul Razak, mampu untuk mentadbir dan mengurus selia negeri dengan baik dalam tempoh yang singkat.

Menurut beliau lagi pada tahun 2009 yang lalu bajet sebanyak 26.5 juta kepada Maktab Mahmud telah ditambah kepada 28.5 juta pada tahun 2010 bagi menambahbaikkan institusi pendidikan agama tersebut di negeri ini.

"Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan berkebajikan kita juga telah memperuntukkan sebanyak RM600 ribu setahun kepada sekolah agama rakyat. Disamping itu sebanyak 12.5 juta telah diperuntukkan kepada guru KAFA dan juga guru-guru Quran di kampung-kampung.

"Kerajaan negeri juga telah menguntukkan sebanyak 8.75 juta kepada Universiti Insaniah bagi pengurusan dan pentadbiran supaya institusi ini akan menjadi salah sebuah institusi yang terbaik setanding dengan IPT yang lain," katanya.

Malah, menurut beliau, dengan siapnya kampus baru di Kuala Ketil pada tahun 2012 yang akan datang universiti ini akan memberi peluang kepada 7 ribu pelajar untuk mendapat peluang melanjutkan pelajaran di situ.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Merbau Pulas berkata, kerajaan yang dipimpin oleh PR adalah lebih baik jika dibandingkan dengan kerajaan yang telah dipimpin oleh Umno dan Barisan Nasional apabila kebajikan dan kesejahteraan rakyat didahulukan.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian PASTI Al Munawwarah, Taman Lagenda, Padang Serai.Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan kepimpinan PAS kawasan Padang Serai.

CERAMAH


PAKAT PI RAMAI-RAMAI LA ORANG SEDAKA

SPR kaji tukar konsep undi pos dengan undi awal


Sistem pengundian awal yang membolehkan pengundi berdaftar mengundi lebih awal, dan dua hari sebagai tempoh bertenang mungkin diperkenalkan dalam sistem pilihan raya di Malaysia.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya sedang mengkaji kedua-dua sistem itu yang kini dilaksanakan di beberapa negara, termasuk Thailand dan Indonesia.

Menurut beliau, fokus utama SPR adalah untuk menggantikan konsep undi pos, sambil menambah kata apa yang telah dilaksanakan selama ini melalui undi pos sebenarnya adalah pengundian awal.

"Hakikatnya, pada hari pilihan raya diadakan, tidak semua pengundi berdaftar yang dapat membuang undi kerana terikat dengan komitmen lain seperti telah dijadualkan bertugas pada hari tersebut dan sebagainya," katanya kepada Bernama.

Wan Ahmad berkata mereka mempunyai hak di sisi Perlembagaan dan adalah menjadi tanggungjawab SPR untuk mencari jalan bagi membolehkan mereka mengundi.

Wan Ahmad berkata beliau dan beberapa pegawai SPR telah melawat Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand akhir tahun lepas bagi mempelajari dan mengkaji proses pengundian awal serta undang-undang dan peraturan yang berkaitan.

"Tujuan lawatan saya ialah untuk mempelajari dan mengkaji peraturan dan perundangan berhubung proses pengundian awal di Thailand kerana negara itu berjaya mengendalikan sistem itu dengan cukup baik," katanya.

Beliau berkata SPR akan mengemukakan cadangan mengenai sistem itu kepada kerajaan selepas dipersetujui di peringkat suruhanjaya.

Selain menukar nama pengundian pos kepada pengundian awal, katanya SPR juga kini serius memikirkan kaedah untuk melaksanakannya.

"Kita juga akan cuba mengesyorkan kemasukan kategori lain bagi mereka yang layak melakukan pengundian awal seperti golongan wartawan, doktor, jururawat, juruterbang dan pramugari," katanya.

Pada masa ini, mereka yang layak mengundi secara pos ialah anggota polis dan pasangan, anggota tentera dan pasangan, pelajar dan pegawai kerajaan yang berada di luar negara.

Pada pilihan raya umum 2007 di Thailand, hampir tiga juta daripada 45 juta pengundi berdaftar mengundi awal pada dua hari yang ditetapkan.

Mengikut peraturan pilihan raya negara itu, kesemua pengundi berdaftar layak mengundi awal, terutamanya mereka yang mendaftar di wilayah lain tetapi tidak dapat pulang pada pilihan raya umum dan mahu mengundi awal di tempat mereka bekerja atau bermastautin.

Wan Ahmad berkata SPR sedang mengkaji cadangan untuk menetapkan dua hari sebagai tempoh bertenang tanpa sebarang kempen pada sesuatu pilihan raya.

Walaupun SPR kini menetapkan bahawa kempen pilihan raya perlu tamat menjelang tengah malam sebelum hari pengundian, beliau berkata budaya politik yang diamalkan di negara ini disifatkan sebagai tidak menghormati peraturan itu.

"Di Malaysia, tiada siapa hormat atau yang mahu mengikut peraturan cooling off period (tempoh bertenang) yang ditetapkan SPR. Walaupun dilarang, pada hari mengundi, masih ada lagi yang mengambil kesempatan untuk meraih serta merayu undi, mengibarkan bendera dan berkonvoi," katanya.

Wan Ahmad berkata perbuatan melanggar arahan itu merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ditanya mengapa SPR tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan berkenaan, beliau berkata berdasarkan senario politik negara ketika ini, keadaan akan menjadi bertambah huru-hara pada hari pengundian.

Sehubungan itu, beliau berharap tempoh bertenang boleh dilaksanakan pada pilihan raya akan datang bagi memudahkan SPR dan Pihak Berkuasa Tempatan membersihkan kawasan mengundi daripada poster dan bendera yang dipasang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.