Dr Mohd Asri - Pemegang saham arak perlu dihukum




Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata hukuman sebatan ke atas peminum arak bersifat berat kerana taukeh-taukeh arak dan pemegang saham arak dalam industri itu tidak dihukum sama.

"Hukuman bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu kelihatan adil kerana masyarakat akan memandang serong terhadap setiap hukuman yang hanya menghukum 'ikan bilis', lalu membiarkan 'ikan jerung'.

"Maka, bukan sahaja peminum arak patut dihukum, tetapi taukeh-taukeh atau mereka yang terlibat dalam pengedaran arak dalam kalangan umat Islam patut di bawa ke pengadilan.

"Ini termasuklah individu Muslim yang memegang saham-saham arak dalam negara ini. Tuan punya pusat-pusat hiburan yang menggalakkan aktiviti tidak bermoral ini mestilah dibawa ke pengadilan," tambah beliau lagi.

Dr Mohd Asri berkata demikian menerusi laman sesawang rasminya, drmaza.com ketika mengulas hukuman sebat ke atas kaum wanita di penjara Kajang baru-baru ini.

Pihak berkuasa agama mesti berani bertindak ke atas pemegang saham arak, judi

Maka, tambahnya, pihak berkuasa agama hendaklah jujur dengan rakyat, dan berani membawa empunya, atau pemegang-pemegang saham arak dan judi yang membabitkan individu Muslim sekali pun mereka adalah dalam 'kelompok yang dianggap kebal' dalam negara ini.

Selain itu, ketika menyentuh polemik orang-ramai ke atas pelaksanaan hukum tersebut, Dr Mohd Asri berkata, beberapa buah NGO yang telah mengkritik hal itu mestilah berhati-hati dengan kenyataan mereka.

"Jika mereka Muslim, mereka hendaklah memastikan dalam diri mereka; apakah mereka membantah hukuman Islam yang asal, atau perlaksanaan semasa? Jika mereka membantah hukuman asal, maka itu memberi implikasi akidah mereka.

"Jika mereka bantah pelaksanaan hukuman semasa, mereka hendaklah tumpu kepada proses perlaksanaan semasa sahaja, jangan dipertikai hukuman Islam asal yang adil yang ada dalam al-Quran dan al-Sunnah.

"Begitu juga bukan Muslim, jangan pertikaikan al-Quran dan nabi orang Islam, itu boleh menimbulkan ketegangan dan huru-hara dalam negara yang harmoni ini," kata beliau.

Sebelum ini, beberapa pihak telah mengulas mengenai hukuman sebat yang dikenakan oleh pihak berkuasa agama ke atas beberapa wanita Muslimah. Isu itu mengundang pelbagai polemik dan kekeliruan dalam beberapa aspek tertentu.

Ketika menjelaskan isu sebatan terhadap wanita Muslimah itu, Dr Mohd Asri berkata, sebatan hukuman syariah dalam kes-kes maksiat peribadi seperti zina dan meminum arak, hukuman sebatannya mestilah tidak mencederakan mereka.

"Ini hendaklah dibuat dalam keadaan yang tidak bertujuan memberikan kesakitan yang melampau, sebaliknya sekadar pengajaran. Bahkan dalam hadis, ada yang hanya dipukul dengan kain atau tangan sahaja," tambah beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, ketika menyentuh pelaksanaan hukuman syariah Islam yang keras, beliau berkata, negara antokratik agama akan mengundang ketakutan ke atas masyarakat awam jika pelaksanaan hukuman disalahertikan dan disalahgunakan.

"Beberapa pengalaman di Pakistan dan di Afghanistan sebelum ini patut diteliti. Maka, badan pemantau kepada perkembangan ini yang terdiri daripada cendekiawan-cendekiawan Muslim yang terbuka dan tidak bersifat ortodoks perlu diwujudkan untuk memberi maklum balas terhadap kerajaan," tambah beliau lagi. -erapakatan

Royalti: ADUN Umno tarik balik sokongan



Kesemua enam ADUN Umno/BN menarik balik sokongan mereka terhadap usul berhubung isu royalti kepada Kelantan selepas usul awal yang dibentangkan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dipinda kemudiannya.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Mat Yusof Abdul Ghani (Umno/BN–Nenggiri) menjelaskan mereka menyokong usul untuk membawa isu royalti itu ke mahkamah.

Bagaimanapun, mereka menarik balik sokongan tersebut apabila pindaan dibuat terhadap usul tersebut, bagi memaksa Petronas membayar royalti yang dituntut oleh kerajaan negeri secepat mungkin.

Mat Yusof menegaskan demikian ketika diminta mengulas laporan lidah rasmi PAS - Harakahdaily - bahawa usul tersebut diluluskan sebulat suara selepas turut disokong oleh semua ADUN Umno/BN.

lamanweb tersebut menyebut usul tersebut disokong oleh ketua pembangkang Umno/BN, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad (Umno/BN-Kok Lanas) dan Datuk Abdul Aziz Derashid (Umno/BN–Kuala Balah).

Manakala Datuk Nozula Mat Diah (Umno/BN–Paloh) dan Adhan Kechik (Umno/BN–Bukit Bunga) pula dilaporkan oleh Harakahdaily, tidak bangun. Datuk Noorzahidi Omar (Umno/BN–Pengkalan Kubur) pula tiada dalam dewan ketika itu.

Menjawab soalan, Mat Yusof berkata, keputusan untuk menyokong usul awal tersebut telah disepakati oleh keenam-enam ADUN Umno/BN berkenaan.

Perkara itu juga, tambahnya, telahpun dimaklumkan kepada badan perhubungan Umno negeri yang dipengerusikan oleh Datuk Mustapa Mohamed yang juga ahli parlimen Jeli.

Bagaimanapun, katanya, mereka memutuskan untuk tidak mengundi usul pindaan tersebut kerana ianya tidak sepertimana yang mereka persetujui sebelumnya.

semangat “Al-Marari" Meresap ke MARA


KUALA LUMPUR 1 Mac — Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang genap 44 tahun hari ini, akan bergerak dengan semangat baru yang dikenali sebagai “Al-Marari” untuk menjadi lebih cemerlang, kompetitif dan global.

Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, “Al-Marari” adalah semangat perjuangan dan pemikiran baru Mara yang bakal membawa organisasi itu menjadi sebuah organisasi bertaraf global.

"Bukan hanya bertaraf global, tetapi juga cemerlang dan kompetitif di peringkat global, satu semangat dan pemikiran baru,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis bacaan Yassin dan tahlil sempena ulang tahun Mara yang ke-44.

Beliau berkata, Mara juga akan bermula dengan semangat “Azharvard compatible" iaitu gabungan antara Azhar dan Havard bagi memastikan pelajar yang menamatkan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mampu ke Universiti Al-Azhar dan Universiti Havard.

Ditanya mengenai sasaran Mara pada ulang tahun penubuhannya yang ke-50 nanti, beliau berkata: “Enam tahun akan datang kita akan pergi global sepenuhnya, sekarang ni kita masih lagi mengasah semangat dan bakat”. — Bernama

Fathul Bahri Dituduh Mengajar Tanpa Tauliah



Anak bekas mufti Perlis Mat Jahaya Hussin dituduh mengajar agama tanpa tauliah selepas ditahan ketika berceramah di sebuah sebuah pusat pengajian agama di Kuala Pilah malam tadi.

Fathul Bahri yang dituduh di bawah Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah 2003 Negeri Sembilan mengaku tidak bersalah dan dan mohon dibicarakan.

Mahkamah Rendah Syariah memutuskan, kes tersebut akan dibicarakan pada 5 April depan. - Malaysiakini
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.