Penduduk Di Daerahku Mendapat Sumbangan Daripada Kerajaan Negeri

http://www.wartakedah.net/images/gerek1.jpg

GUAR CHEMPEDAK, 27 Disember 2011 – Kira-kira enam puluh orang pelajar sekitar daerah Yan menerima sumbangan basikal dan beg sekolah sebagai persediaan persekolahan sesi 2012 sempena Majlis Penyampaian Bantuan Basikal Dan Beg Sekolah anjuran Pejabat Kebajikan Daerah Yan.

Dalam ucapan perasmian yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kebajikan Masyarakat, YB Ustazah Siti Ashah Ghazali, beliau memaklumkan, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta selain peruntukan sedia ada sebanyak RM17 juta dalam bajet 2012 untuk program-program Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Ini kerana keperluan untuk membantu rakyat bawahan selain kita menaikkan bantuan am dari RM75 hingga ke RM150.

“Sedikit sebanyak hasil kerajaan negeri seperti keuntungan balak, cukai-cukai dan lain-lain dapatlah dikongsi bersama dan seterusnya membantu rakyat bawahan ,” tambahnya.

http://www.wartakedah.net/images/gerek.jpg

Beliau juga mengingatkan, bantuan dari JKM lebih kepada membantu dan bukan berterusan. Sekiranya penerima boleh berdikari atau mempunyai sumber pendapatan yang agak baik, JKM akan menamatkan bantuan tersebut tetapi ianya tidak temasuk kepada orang kurang upaya (OKU), orang sakit dan warga emas yang tiada saraan hidup.

“Untuk ibu-ibu tunggal dan golongan muda, JKM memperuntukan bantuan modal untuk memulakan perniagaan. Dengan modal tersebut, mereka bolehlah memulakan perniagaan mengikut kemahiran masing-masing,” jelasnya.

Dalam majlis berkenaan, beliau turut mengingati agar ibubapa perihatin kepada masalah sosial yang melanda golongan remaja. Walau pun terpaksa bekerja lebih masa mencari rezeki, perhatian dan pantauan kepada anak-anak jangan dilupakan. Ibubapa perlu memberi perhatian sewajarnya memandangkan kemudahan teknologi terkini membuatkan para remaja terdedah kepada perkara-perkara negatif dan sekiranya tiada kawalan boleh mengundang masalah-masalah sosial.

“Kepada adik-adik yang mendapat basikal hari ini, saya nak pesan, jangan gunakan kemudahan yang diberikan ini untuk perkara tidak baik. Gunakannya sebagai kemudahan untuk kita ke sekolah, menuntut ilmu sehingga berjaya dan suatu hari nanti boleh membantu ibubapa kita.

“Saya tak mahu tengok, waktu kita bagi tayar basikal ada dua, tapi bila dapat tayar tinggal satu,” nasihatnya sambil berseloroh.

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan basikal kepada kira-kira enam puluh orang penerima. Ahli Parlimen Jerai, YB Firdaus Zakaria turut hadir bersama.

Majlis tersebut diadakan di dewan Sekolah Rendah Islam Integrasi Faizin (SAIF), Guar Chempedak.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.